Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp tidak berminat untuk membuat sebarang perbandingan diantara Mohamed Salah dan bekas penyerang Liverpool, Luis Suarez, dan menambah perbandingan tersebut hanya untuk dijadikan tatapan di surat khabar dan laman sosial.
Penyerang antarabangsa Egypt ini telah berjaya menampilkan persembahan yang cemerlang sejak menyertai The Reds, dan Klopp jelas gembira dengan keputusannya untuk mendapatkan khidmat Salah pada jendela perpindahan pemain lalu.
Sejka menyertai Liverpool, Salah telah berjaya menjaringkan 17 gol dalam semua pertandingan setakat ini, dengan yang terbaru beliau menjaringkan dua gol dalam kemenangan 3-0 Liverpool ke atas Stoke di tempat lawan.
Dalam perlawanan tersebut, Salah yang hanya turun selaku pemain gantian membuktikan mengapa beliau telah diangkat sebagai pembelian terbaik musim ini selepas bijak menyempurnakan peluang yang terhidang di depan gol.
Dengan persembahan sedemikian rupa yang ditampilkan Salah, perbandingan diantara beliau dan Suarez memang tidak akan lari. Peminat masih merindui kellibat Suarez yang menyertai Barcelona selepas menjaringkan 82 gol dalam masa 3 tahun setengah sahaja di Anfield.
Dan kemunculan Salah hadir tepat pada masanya disaat Liverpool memburu gelaran pertama Liga Perdana Inggeris selepas kecundang disaat akhir beberapa tahun lepas.
Klopp mengalu-alukan sebarang pujian terhadap Salah tetapi menolak sebarang perbandingan dengan penyerang antarabangsa Uruguay itu.
Menjelang pertemuan Liverpool menentang Brighton & Hove Albion hujung minggu ini, Klopp telah memberikan temuramah kepada pemberita dan telah ditanya soalan mengenai prestasi cemerlang Salah.
“Saya tidak berminat. Saya amat menghormati Luis Suarez kerana beliau seorang legenda di Liverpool. Suarez adalah seorang pemain yang fantastic. Saya amat menggemari sikap dan cara beliau bermain bola. Tetapi Suarez bukan lagi seorang pemain Liverpool.”
“Bukan tugas saya untuk melakukan perbandingan diantara pemain dan impak yang dibawa mereka. Itu semua cerita untuk surat khabar dan laman sosial. Saya tidak berminat dengan perkara tersebut. Sudah tentu Salah sedang bermain baik sekarang dan kami berharap beliau mampu mengekalkannya. Saya sebenarnya tidak terkejut dengan impak yang ditunjukkan beliau dalam pasukan sekarang ini.”
“Salah sudah berada di Liverpool selama beberapa bulan dan sering terlibat dengan pasukan. Beliau juga terbuka dengan semua perkara baru yang kami lakukan ketika latihan, kerana intensiti Serie A berbeza dengan Liga Perdana Inggeris.”
“Tetapi Salah sudah bermain pada tahap tertinggi untuk AS Roma sebelum ini, jadi mungkin peminat di England sedikit terkejut dengan pemain yang mampu bermain baik di dua liga yang berbeza.”
Prestasi cemerlang Salah telah menimbulkan cakap-cakap yang pemain ini bakal memenangi Pemain Terbaik Tahunan PFA musim ini, tetapi Klopp menegaskan sebarang perbincangan mengenai perkara tersebut tidak berasas kerana kempen liga masih lagi dalam peringkat awal.
“Perkara paling penting disini adalah kami bermain selama satu musim, dan musim ini masih lagi belum mencapat separuh. Jika Salah terus menampilkan persembahan yang cemerlang selepas ini, beliau mungkin akan dicalonkan untuk anugerah tersebut tetapi perjalanan masih lagi jauh.”