Jurulatih Colombia Marah Dengan Kelakuan Pemain England Yang Suka Bermain Wayang

Jurulatih Colombia, Jose Pekerman meluahkan rasa marahnya terhadap pemain England yang suka bermain wayang ketika Colombia tumpas di tangan England menerusi penentuan sepakan penalti yang berlangsung awal pagi tadi.

Rekod pertemuan kedua-dua pasukan memihak kepada England di mana England tidak pernah tewas dalam 5 pertemuan dengan mencatatkan 3 kemenangan dan dua kali seri.England terus melebarkan rekod tanpa kalah.

Kedua-dua pasukan terikat 1-1 dalam waktu sebenar dan perlawanan terpaksa ditentukan menerusi sepakan penalti. Kapten England, Harry Kane meletakkan pasukannya di hadapan pada minit ke-57 menerusi sepakan penalti selepas beliau dikasari Carlos Sanchez dalam kotak penalti.

Barrios cuba mengikut jejak langkah Zidane dengan menanduk Henderson di dalam kotak penalti. Barrios bernasib baik kerana hanya kad kuning dilayangkan terhadap beliau

Ketika perlawanan seakan-akan bakal berakhir dengan kemenangan berpihak kepada England, pemain pertahanan Barcelona Yerry Mina muncul wira buat Colombia apabila menanduk masuk bola sepakan penjuru pada waktu kecederaan.

Perlawanan terpaksa dibawa ke waktu tambahan tetapi tiada pasukan mampu menjaringkan sebarang gol. Penentuan penalti menyaksikan England berjaya menamatkan badi mereka di kejohanan antarabangsa apabila buat pertama kali menang 4-3 selepas penjaga gol England, Jordan Pickford berjaya menepis sepakan penalti Carlos Bacca.

Kemenangan England tidak disambut baik pemain dan jurulatih Colombia yang tidak gembira dengan sikap pemain England yang didakwanya suka bermain wayang bagi meraih simpati pengadil dalam perlawanan yang penuh membosankan itu.

Mungkin kerana tidak berpuas hati dengan pemain England perlawanan kerap dihentikan kerana pemain Colombia sentiasa membantah keputusan pengadil dan suka mengadu.

Gocoh, gocoh, gocoh

Selain insiden penalti Kane, terdapat juga insiden pergaduhan di antara Jordan Henderson dan Wilmar Barrios pada penghujung babak pertama.

Ulang tayang menunjukkan Barrios menanduk Henderson menyebabkan pemain Liverpool itu terjatuh, tetapi Barrios hanya menerima kad kuning atas perbuatan beliau.

Jurulatih Colombia, Jose Pekerman kecewa dengan sikap pemain England yang sering berlakon dan menggesa pengadil melayan England dengan lebih keras apabila bertemu Sweden dalam pusingan suku akhir Sabtu ini.

“Pemain terjatuh di dalam kotak penalti kerana mereka berlanggar sesama sendiri. Anda harus cuba memahami apa yang dilalui pemain di atas padang. Pemain saya terpaksa melalui situasi yang sepatutnya tidak berlaku dalam bola sepak.”

“Sikap pengadil yang sering memberhentikan perlawanan juga tidak bagus untuk perlawanan. Apabila berlaku banyak fouls dan gangguan dalam perlawanan, ia sebenarnya tidak bagus untuk bola sepak.”

Gareth Southgate memberikan kata-kata semangat sebelum waktu tambahan bermula

“Kita harus mencari keseimbangan supaya perlawanan dapat berlangsung dengan baik dan kedua-dua pasukan dapat bermain dengan matlamat yang betul.”

“Kita tidak boleh hanya melihat pada pemain Colombia sahaja, anda juga harus lihat pada pemain England. Hari ini pemain Colombia yang banyak menjadi mangsa pengadil tetapi saya berharap perkara sebegini tidak berlaku lagi pada masa depan. Ia sangat, sangat jelas.”

“Kami melalui situasi yang kurang selesa sepanjang perlawanan kerana beberapa keputusan pengadil yang agak meragukan.”

Sebanyak 8 kad kuning telah dilayangkan pengadil sepanjang perlawanan berlangsung dengan Colombia mempunyai 6 dan selebihnya England.

Colombia (4-2-3-1): David Ospina; Santiago Arias, Davinson Sanchez, Yerry Mina, Johan Mojica; Wilmar Barrios, Carlos Sanchez; Juan Cuadrado, Juan Fernando Quintero, Jefferson Lerma; Radamel Falcao (capt).

Coach: Jose Pekerman (ARG)

England (3-5-2): Jordan Pickford; Kyle Walker, Harry Maguire, John Stones; Kieran Trippier, Ashley Young, Jordan Henderson, Jesse Lingard, Dele Alli; Raheem Sterling, Harry Kane (capt).

Coach: Gareth Southgate (ENG)

Baca Juga

Baca Juga