Jurulatih Iran Berang Dengan Keputusan Pengadil Tidak Layangkan Kad Merah Kepada Ronaldo

Jurulatih Iran, Carlos Queiroz melancarkan kritikan terhadap FIFA berhubung penggunaan VAR ketika Iran seri 1-1 menentang Portugal awal pagi tadi.

Dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan, Iran perlu mencatatkan kemenangan untuk menghidupkan peluang mereka mara ke peringkat kalah mati.

Walau bagaimanapun, Iran gagal berbuat demikian berikutan beberapa keputusan pengadil perlawanan yang agak kontroversi.

Pengadil didakwa melakukan kesilapan dengan hanya melayangkan kad kuning kepada Ronaldo

Insiden yang menyebabkan Queiroz tidak puas hati adalah insiden kapten Portugal, Cristiano Ronaldo menyiku pemain Iran, Morteza Pouraliganji. Insiden tersebut gagal dikesan oleh pengadil kerana ia adalah situasi ‘off-ball’.

Berikutan complain daripada pemain Iran, pengadil perlawanan Enrique Caceres terpaksa memberhentikan perlawanan untuk melihat kembali insiden tersebut dengan bantuan VAR di tepi padang.

Walaupun video jelas menunjukkan Ronaldo dengan sengaja menyiku Morteza, pengadil hanya memberikan kad kuning kepada bintang Real Madrid itu.

Keputusan tersebut tidak dapat diterima jurulatih Iran dan beliau menyatakan ketidak puasan hatinya terhadap mutu pengadilan dalam sidang media selepas perlawanan berakhir.

“Realitinya, apabila anda memberhentikan perlawanan untuk merujuk VAR kerana terdapat insiden menyiku. Menyiku pemain lawan hukumannya adalah kad merah. Peraturan tidak menyatakan anda akan terlepas jika anda adalah Ronaldo atau Messi.”

Perlawanan Iran-Portugal dicacatkan dengan tindakan pengadil yang sering menghentikan perlawanan untuk merujuk VAR

“Ia merupakan insiden kad merah. Apa yang menjadi persoalan buat saya bukan lah mengenai pengadil. Ia mengenai sikap, keberanian dan karakter seseorang itu dalam membuat keputusan.”

“Keputusan yang dibuat harus lah jelas kepada semua pihak. Pada pendapat saya, Mr Infantino dan FIFA, sistem VAR tidak berjalan dengan baik. Itu realiti yang sebenarnya.”

“Kebenaran harus dihormati setiap pihak dan kita mesti tahu siapa yang sebenarnya mengadili perlawanan. Seperti yang anda lihat, saya memang tiada mood untuk bercakap sekarang.”

“Apabila anda menggunakan VAR dan masih lagi melakukan kesilapan, itu bukan kesilapan manusia. Kesilapan manusia adalah apabila pengadil berada bersendirian di atas padang dan terlepas pandang sesuatu. Jika itu yang berlaku, saya boleh terima.”

“Tetapi apabila anda mempunyai teknologi tinggi, latihan dan ribuan dollars dibelanjakan untuk sistem tersebut termasuk 5 orang pegawai menonton video di atas, mereka tidak dapat lihat insiden menyiku itu.”

“Adakah kesalahan itu hanya kad kuning ? Tolong lah.”

Dalam perlawanan tersebut, Portugal mendahului perlawanan menerusi jaringan cantik Ricardo Quaresma pada separuh masa pertama.

Iran terpaksa menunggu sehingga ke waktu tambahan separuh masa kedua untuk menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti Karim Ansarifard.

Iran memperolehi penalti tersebut selepas pengadil merujuk VAR dan mendapati bola terkena tangan pemain pertahanan Portugal, Cedric Soares.

Quaresma masih berbisa

Walaupun dianugerahkan sepakan penalti, Queiroz berkata pasukannya tidak berhak disingkirkan daripada Piala Dunia.

“Kami berjaya membawa prestij kepada Piala Dunia kali ini. Ia merupakan aksi yang cukup kompetitif setiap minit, bermain menentang salah sebuah pasukan terbaik di dunia.”

“Tetapi pada pendapat saya, jika dilihat berdasarkan sikap dan disipilin yang ditunjukkan pemain saya, jika keadilan wujud dalam bola sepak yang mana ia memang tidak wujud, hanya satu pemenang sahaja yang muncul dari perlawanan tadi. Dan pasukan tersebut adalah Iran.”

BACA:  Risau Dengan Perpindahan Pemain Ronaldo Bercadang Angkat Kaki