Jurulatih Juara Liga 1 Indonesia Lelong Barang Peribadi Demi Bantu Pemain Terpalit Isu Gaji

Juara Liga 1 Indonesia musim lalu PSM Makassar dilaporkan kini mengalami krisis kewangan sehingga mengakibatkan pemain, staf dan jurulatih belum menerima gaji masing-masing.

Simpati dengan nasib pemainnya, Ketua Jurulatih PSM Makassar, Bernardo Tavares bertindak melelong beberapa barangan berharga dalam simpanan peribadinya untuk membantu pemain-pemainnya.

Sehingga kini PSM Makassar dilaporkan mengambil sikap berdiam diri dan tidak mendedahkan jumlah tunggakan terlibat.

Selain melelong barang peribadinya, Bernardo Tavares masih berharap kehadiran penyokong naib juara Piala AFC Zon Asean musim lalu itu hadir memberikan sokongan kepada pemain dalam perlawanan menentang Barito Putera di Stadium BJ Habibie pada Jumaat akan datang.

“Seperti kalian ketahui bahawa kita sedang kesulitan sekarang. Namun seperti saya selaku katakan kita harus menang sama-sama dan kalah sama-sama,” kata Bernardo Tavares di sidang media menjelang perlawanan tersebut.

“Saya juga mahu melelong beberapa barangan di sini dan mungkin ada di kalangan kalian dan penyokong yang menawarkan [bidaan].

“Hasil lelongan ini nanti akan dibahagi kepada staff [pemain dan kakitangan] dan kita harus bersepakat di dalam hal ini.”

Antara barangan yang dilelong oleh jurulatih itu termasuklah T-Shirt Polo rasmi pasukan PSM Makassar yang pernah dipakai oleh jurulatih itu pada musim lalu.

Tidak terkecuali adalah anugerah yang diperolehi oleh jurulatih itu termasuk medal selepas membawa PSM Makassar menjuarai Liga 1 Indonesia pada musim lalu.

Semua itu dilakukan oleh Tavares untuk memastikan pemain dan kakitangan kelab itu tidak tersepit dengan isu kewangan yang melanda kelab.

“Saya tawarkan baju polo saya yang saya gunakan musim lalu pada kalian semua dan bidaan terbaik dinantikan. Dan hasilnya kita akan berikan untuk staf kita dan pemain tentunya,” terangnya.

Bernardo Berharap proses lelongan yang dilakukannya turut mampu menarik penyokong dan usahawan/penaja mampu tampil untuk membantu kewangan kelab.

“Pesan terakhir saya ialah agar penyokong turun beramai-ramai ke stadium,” katanya.

Baca Juga

Baca Juga