Juventus Di Tolak 15 Mata, Pavel Nedved Digantung 8 bulan

Gergasi Itali, Juventus kini berdepan hukuman di tolak 15 mata di Serie A manakala bekas naib pengerusi yang merangkap pemain bola sepak legenda, Pavel Nedved telah digantung 8 bulan.

Hukuman penolakan sebanyak 15 mata adalah untuk musim semasa dijatuhkan oleh Mahkamah bola sepak Itali yang menyiasat kecurangan dalam urusan perpindahannya, ujar Persekutuan bola sepak Itali (FIGC).

Dengan baki 20 perlawanan lagi untuk dimainkan pada musim ini, Juventus kini berada di tangga ketiga Serie A dengan mengumpul 37 mata, 10 mata di belakang pendahulu Napoli.

Potongan mata (37 – 15 = 22) akan meletakkan Juventus turun teruk ke pertengahan carta di tangga ke-10, di luar tempat untuk pertandingan Eropah dengan perbezaan 15 mata juga.

Hukuman ini lebih keras dari yang dijangkakan kerana pihak pendakwa bola sepak hanya memohon hukuman pemotongan 9 mata sahaja sebelum ini dikenakan ke atas Juventus.

Juventus merupakan pasukan paling berjaya dalam sejarah bola sepak Itali dan kesalahan ini berkait dengan urusan perpindahan pemain lalu hukuman lebih berat perlu sebagai pengajaran kepada pasukan lain.

The Old Lady yang tidak padan tua menurut Persekutuan bola sepak Itali (FIGC) telah mengubah dan memalsukan kunci kira-kira mereka yang membabitkan nilai perpindahan pemain mereka.

Mahkamah bola sepak juga memutuskan bahawa bekas pengerusi Juventus yang telah pun meletakkan jawatan lebih awal, Andrea Agnelli dilarang daripada memegang jawatan dalam bola sepak Itali selama 24 bulan.

Ia juga memutuskan larangan selama 30 bulan untuk bekas pengarah sukan Juventus, Fabio Paratici, yang kini merupakan pengarah urusan bola sepak di kelab Premier League, Tottenham Hotspur.

Larangan itu pada masa ini tidak melarang Fabio Paratici daripada bekerja di luar Itali, tetapi FIFA dan UEFA akan diminta untuk mengekalkan ketetapan untuk pertandingan mereka sendiri.

Ketua Pegawai Eksekutif Juventus, Maurizio Arrivabene juga telah digantung dua tahun (24 bulan), manakala bekas naib pengerusi Pavel Nedved hanya digantung lapan bulan.

Juventus telah menunggu untuk mengetahui penemuan siasatan selepas diumumkan bahawa ia telah dibuka semula pada Oktober lalu yang pada mulanya telah bebas dalam siasatan pada April 2022.

Pendakwa kes mendakwa bahawa kelab itu telah memanipulasi kerugian dalam kunci kira-kira antara tahun 2018 dan 2020, terutamanya mengenai jumlah yang dikaitkan dengan jualan pemain.

Seluruh lembaga itu meletak jawatan pada November, membawa kepada pelbagai media yang mendakwa keputusan sebulat suara itu datang akibat penglibatan dalam siasatan Prisma.

Selepas terpalit dengan dengan salah laku itu, Juventus telah menafikannya dan menyatakan tiada sebarang manipulasi dalam akaun mereka yang dilakukan mengikut piawaian yang ditetapkan oleh industri.

Mereka terlepas pada mulanya dan siasatan semula membuatkan mereka terciduk teruk apabila semua pembesar telah meletakkan jawatan beramai-ramai secara mengejut dan pada ketika ini ramai sedar bahawa Juventus terjerumus sekali lagi dalam skandal kotor.

Skandal Calciopoli pada tahun 2006 yang menjadi episode hitam dalam bola sepak Itali dan juga Juventus sangat teruk, kotor dan jijik dan Juventus telah ditendang ke Serie B.

Pada ketika itu mereka telah didakwa mempengaruhi FA Itali untuk mendapatkan pengadil yang mesra Juventus untuk mengadili perlawanan membabitkan mereka.

Menurut Fabrizio Romano, Juventus masih lagi boleh membuat rayuan kepada Kolej Jaminan CONI (Jawatankuasa Olimpik Itali).

“Juventus mengesahkan dalam kenyataan rasmi mereka akan merayu sekatan yang dikenakan dengan -15 mata”

“Syarikat menunggu penerbitan sebab-sebab dan mengumumkan setakat ini rayuan kepada Kolej Jaminan Sukan dari segi Kod Keadilan Sukan”.

BACA:  [VIDEO] Ronaldo Jaringkan Gol Tandukan Ke-100 Beliau Ketika Seri Menentang Torino