KAFA Telah Langsaikan Separuh Gaji Pemain TRW

Isu membabitkan gaji tertunggak pemain Kelantan masih menjadi bualan ramai, sehingga timbul khabar angin beberapa pemain tonggak The Red Warriors mahu mengangkat kaki musim depan.

Kini pihak Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) masih bekerja keras dan menggunakan pelbagai usaha untuk melangsaikan gaji pemain, termasuk tindakan Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa, membuat pinjaman bank bagi menyelesaikan masalah tersebut.

Dalam temubual menerusi telefon sebentar tadi, Setiausaha Agung KAFA, Datuk Haji Ismail Md Noor mendedahkan pemain-pemain Kelantan hanya menerima separuh bulan gaji sejak Julai, hasil persetujuan di antara pemain dan pihak pengurusan.

“Sebenarnya, kita (pengurusan) sudah bersepakat dan berikrar dengan pemain dalam kesempitan duit ketika ini. Pemain-pemain dibayar separuh gaji dan ia telah dipersetujui pemain-pemain itu sendiri.

“Kita telah langsaikan separuh gaji tersebut pada bulan Julai, Ogos dan September. Perkara ini sudah jelas, sebagai perjanjian untuk bermain bersungguh-sungguh dalam Piala Malaysia. Sepatutnya perkara ini tidak dijadikan isu,” katanya.

Ditanya mengenai desas-desus beberapa pemain tonggak berhasrat untuk meninggalkan kem Kelantan pada musim depan akibat masalah gaji, ini jawapan Ismail: “Saya tiada maklumat. Perkara tersebut sudah menjadi kebiasaan pada setiap tahun.”

Dalam kalangan peminat dan pemerhati, nama pemain tengah Badhri Radzi, penyerang Nor Farhan Muhammad dan penjaga gol Khairul Fahmi Che Mat disebut-sebut bakal membuat penghijrahan ke Pulau Pinang pada musim depan.

Pengurus pasukan Kelantan turut dihubungi menerusi panggilan telefon untuk diminta menjelaskan khabar angin tersebut, namun tidak berjaya. Sebaliknya, pertanyaan menerusi SMS dijawap ringkas: “Boleh tanya pemain sendiri hal tu.”

Badhri dan Khairul Fahmi yang masing-masing dikenali sebagai Piya dan Apek adalah antara pemain paling setia berkhidmat untuk The Red Warrios.

Piya memulakan kerjaya bersama Kelantan menerusi skuad Piala Presiden pada 2001 dan sejak beraksi bersama skuad senior Kelantan pada 2004 hingga kini, Piya hanya membuat perpindahan satu musim,iaitu pada 2007, bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Manakala Apek, yang menyarung jersi Kelantan sejak 2006 juga bermula dengan skuad Piala Presiden,tidak pernah meninggalkan Kelantan, pun begitu dia kerap dipanggil untuk beraksi bersama skuad kebangsaan.

Sementara itu, bagi Farhan, selepas bermula dengan skuad Piala Presiden Terengganu pada 2001-2004, Kelantan dan Terengganu menjadi negeri kegemarannya di mana dia hanya bermain dengan PDRM selama dua musim iaitu pada 2007 dan 2009.

Baca Juga

Baca Juga