Kaka Dedah Lukaku Mengingatkan Beliau Kepada Salah Seorang Penyerang Legenda

Kaka menegaskan yang bintang Chelsea, Romelu Lukaku merupakan penyerang terhebat dunia pada ketika ini, dan mengingatkan beliau kepada legenda Brazil, Adriano.

Lukaku yang kini berusia 28 tahun mempunyai rekod jaringan yang sungguh luar biasa menakjubkan sejak dari musim lalu, dengan beliau berjaya membantu Inter Milan menjuarai gelaran Serie A.

Penyerang kebangsaan Belgium itu menjaringkan 24 gol dalam saingan Serie A dan berada di kedudukan kedua dalam perebutan anugerah Capocannoniere (kasut emas) dibelakang bekas bintang Juventus, Cristiano Ronaldo.

Lukaku meninggalkan Inter pada musim panas ini dengan melengkapkan perpindahan mega bernilai £97.5 juta ke Stamford Bridge.

Bekas bintang Inter Milan itu sebelum ini pernah dipinjamkan ke West Brom dan Everton ketika karier pertamanya bersama Chelsea, sebelum meninggalkan Stamford Bridge pada tahun 2014 yang lalu.

Lukaku menjaringkan gol pada debut keduanya bersama The Blues ketika beraksi bertemu Arsenal pada Ogos lalu, sebelum meledak dua lagi gol ketika membantu skuadnya menewaskan Aston Villa 3-0 minggu lalu.

Pemain kebangsaan Belgium itu menambah lagi gol jaringannya bersama Chelsea selepas meledak satu gol ketika bertemu Zenit St Petersburg dalam aksi saingan Champions League di Stamford Bridge kemarin.

Kaka yang pernah memenangi anugerah Ballon D’or ketika kariernya bersama AC Milan kini tampil memberikan pujian yang menggunung kepada Lukaku, dan menganggapnya sebagai penyerang terhebat dunia.

Legenda bola sepak Brazil yang kini berusia 39 tahun itu kemudiannya menambah lagi dengan menyatakan yang Lukaku mempunyai fizikal yang sama seperti Adriano.

Adriano satu ketika dahulu pernah dianggap antara penyerang terhebat dalam dunia bola sepak, terutama ketika era 2000 an.

Kaka mendedahkan kepada Gazetta dello Sport bahawa:

“Romelu merupakan nombor satu, dia mengingatkan saya pada Adriano ketika kemuncak kariernya. Kekuatan fizikal, kebijaksanaan, kelajuan.”

“Setahun lalu, AC Milan mendahului perlumbaan Serie A, selepas berakhirnya derby pertama, Inter merampas kedudukan pertama dan terus memenangi gelaran liga.”

Antonio Conte meninggalkan Inter Milan pada penghujung musim lalu dan bintang seperti Lukaku serta Achraf Hakimi turut sama memilih untuk meninggalkan kelab.

Kedua-dua bintang itu dijual dengan harga yang tinggi memandangkan kelab ketika ini sedang bergelut dengan masalah kewangan dan terpaksa melepaskan bintang utama mereka.

Inter Milan pada ketika ini berada di kedudukan keempat dalam saingan Serie A, selepas mengakhiri tiga perlawanan awal pada musim ini.

Napoli berada di kedudukan ketiga, sementara AC Milan berada di kedudukan kedua dibelakang AS Roma yang sedang memimpin carta saingan Serie A setakat ini.

Kaka percaya yang Milan akhirnya akan berkesempatan untuk menjuarai saingan Serie A musim ini, selepas Lukaku kembali ke Chelsea dan Ronaldo turut kembali ke Old Trafford.

“Saya rasa ia masa yang paling sesuai untuk Milan.”

Jelas Kaka lagi.

“Mereka ada kesinambungan, sementara yang lain sudah kehilangan sesuatu. Juventus sudah tiada Ronaldo, Inter terpaksa mencari gol tanpa Lukaku.”

“Pengurus AC Milan, Stefano Pioli kehilangan Ibra untuk tempoh yang lama musim lalu, Conte senantiasa ada Lukaku untuk dia.”

“Hari ini Ibra masih di sana dan Olivier Giroud dibeli untuk tambah kekuatan, saya rasa dan saya harap semuanya akan berjalan seperti apa yang dirancang.”

Sumber: SPORTbible

BACA:  Lukaku: Terpulang Kepada Manchester United Untuk Tentukan Masa Depan Saya