“Kami Tak Kawal Semua Ini” – Kante Dedah Kem Chelsea Terkejut Roman Abramovich Mahu Menjual Kelab

N’Golo Kante tampil mendedahkan pandangan beliau tentang keputusan Roman Abramovich mahu menjual Chelsea dan beliau jelas sekali sangat terkejut mendengar hal tersebut.

Ekoran dari masalah yang berlaku antara Rusia dan Ukraine pada ketika ini, kedudukan Roman Abramovich sebagai pemilik Chelsea bakal memberi masalah kepada kelab.

Dek kerana itu, billionaire dari Rusia itu awalnya sekadar memutuskan untuk menyerahkan kuasa penuh kepada yayasan Chelsea untuk menguruskan kelab.

Walau bagaimanapun, bimbang ada masalah lain yang akan timbul, beliau akhirnya memutuskan untuk menjual sahaja Chelsea.

Keputusan beliau itu telah diumumkan beberapa jam sahaja sebelum skuad Chelsea turun beraksi bertemu Luton Town dalam saingan FA Cup.

Abramovich mula memiliki Chelsea FC sejak tahun 2003 yang lalu dan pengumuman yang beliau buat itu jelas sekali sangat mengejutkan ramai pihak.

Pemain midfield Chelsea, N’Golo Kante meluahkan yang beliau sangat terkejut dengan keputusan itu dan turut menegaskan yang beliau bersama rakan sepasukannya akan tetap berusaha berikan aksi terbaik.

Bercakap kepada Sky Sports, Kante mendedahkan yang beliau sangat terkejut mendengar berita yang Roman Abramovich mahu menjual Chelsea.

“Ia merupakan sesuatu yang kami langsung tak bersedia nak hadap, ia berlaku sangat pantas. Satu-satunya hal yang boleh kami lakukan, kerana kami tak mengawal semua hal ini, adalah berikan aksi terbaik seperti apa yang kami biasa tunjukkan.”

“Yang mana kami akan bermain sehabis baik, demi kami sendiri, demi kelab, penyokong dan lihat bagaimana semua ini berjalan, dan itulah apa yang boleh kami lakukan.”

Sejak beliau mengambil alih Chelsea pada tahun 2003 yang lalu, The Blues sebenarnya sudah berjaya mengubah kedudukan kelab mereka menjadi antara pasukan digeruni di Eropah.

Pelbagai kejayaan yang berjaya dikecapi oleh kelab dari London itu sepanjang era pemilikan Roman Abramovich sehingga ke hari ini.

Lima gelaran Premier League, dua gelaran Champions League, dua gelaran Europa League, lima gelaran FA Cup, tiga gelaran League Cup, Super Cup dan terbaru, FIFA Club World Cup.

Beliau juga turut berjaya membantu menaikkan skuad wanita Chelsea dan sejak kehadiran Roman Abramovich, mereka sudah berjaya memenangi empat gelaran Women’s Super League dan tiga gelaran Women’s FA Cup.

Kerana sokongan luar biasa yang ditunjukkan oleh Roman Abramovich, para peminat jelas sekali sangat menghormati dan menyayangi beliau.

Tidak hairanlah mengapa ramai peminat yang sedih dengan berita bahawa beliau akan menjual kelab selepas hampir dua dekad memiliki gergasi London itu.

Para penyokong selain sedih dengan berita tersebut, mereka turut terharu dengan kemuliaan hati Roman Abramovich yang tidak mahu menuntut hutang kelab kepadanya bernilai £1.5 billion.

Ya, beliau menghalalkan saja dana yang beliau pinjamkan kepada kelab itu dan hal tersebut benar-benar menyentuh hati pelbagai pihak.

Lebih mengagumkan lagi, keuntungan hasil dari penjualan Chelsea juga akan sepenuhnya didermakan kepada mangsa perang di Ukraine.

Mana nak jumpa pengurus semulia ini?

Kenyataan media Roman Abramovich

“Saya ingin menangani spekulasi di media sejak beberapa hari lalu berhubung pemilikan saya terhadap Chelsea FC. Seperti yang saya nyatakan sebelum ini, hati saya sentiasa mengambil keputusan yang terbaik untuk kepentingan Kelab. Dalam keadaan semasa, saya telah mengambil keputusan untuk menjual Kelab, kerana saya percaya ini adalah demi kepentingan terbaik Kelab, peminat, pekerja, serta penaja dan rakan kongsi Kelab.”

“Penjualan Kelab tidak akan terjadi dengan pantas tetapi akan mengikut proses yang sepatutnya. Saya tidak akan meminta sebarang pinjaman dibayar balik. Ini tidak pernah mengenai perniagaan atau wang untuk saya, tetapi tentang semangat murni serta keghairahan untuk bola sepak dan Kelab.”

“Selain itu, saya telah mengarahkan pasukan saya untuk menubuhkan yayasan amal di mana semua hasil bersih daripada jualan akan didermakan. Yayasan itu akan menjadi untuk manfaat semua mangsa perang di Ukraine. Ini termasuk menyediakan dana kritikal untuk keperluan mendesak dan segera mangsa, serta menyokong kerja pemulihan jangka panjang.”

“Harap maklum bahawa ini adalah keputusan yang sangat sukar untuk dibuat, dan saya berasa sakit untuk berpisah dengan Kelab dengan cara ini. Walau bagaimanapun, saya percaya ini adalah demi kepentingan terbaik Kelab.”

“Saya berharap saya akan dapat melawat Stamford Bridge buat kali terakhir untuk mengucapkan selamat tinggal kepada anda semua secara peribadi. Menjadi sebahagian daripada Chelsea FC merupakan satu keistimewaan seumur hidup dan saya berbangga dengan semua pencapaian bersama kami. Kelab Bola Sepak Chelsea dan penyokongnya akan sentiasa berada di hati saya.”

Sumber: Sportskeeda

BACA:  Peminat Teruja Melihat Temu Bual Kante Selepas Menjaringkan Gol Bertemu Leicester City