Kane Lebih Pentingkan Konsistensi Dari Menangi Kasut Emas

Penyerang Tottenham Hotspurs, Harry Kane mendakwa konsistensi Tottenham lebih penting buatnya dari mempertahankan gelaran Kasut Emas Liga Perdana Inggeris.

Pemain antarabangsa Egypt, Mohamed Salah merupakan calon utama bagi merangkul anugerah Kasut Emas Liga Perdana Inggeris musim ini dengan pencabar terdekat, Kane ketinggalan 3 gol di belakang.

Kane mahu aksi yang konsisten melebihi nafsu memenangi Kasut Emas

Dengan liga hanya berbaki 1 perlawanan sahaja, sukar untuk melihat jumlah jaringan Salah dipintas mana-mana pemain melainkan Kane berpesta gol apabila Spurs melayan kunjungan Leicester City malam ini.

Salah setakat ini telah mengumpul 31 gol dalam musim pertamanya bersama Liverpool sejak menyertai kelab tersebut pada tirai perpindahan musim panas lalu. Jumlah tersebut menyamai rekod tertinggi Liga Perdana Inggeris bagi jaringan gol tertinggi dalam satu musim. Pemain seperti Alan Shearer, Cristiano Ronaldo dan Luis Suarez juga pernah menjaringkan 31 gol dalam satu musim tetapi tiada siapa lagi pernah sampai ke angka 32.

Dengan masa semakin suntuk untuk Kane mengejar Salah, beliau mungkin terpaksa melupakan niatnya untuk menjadi penjaring terbanyak Liga Perdana Inggeris bagi 3 musim berturut-turut.

4 gol lawan Leicester. Cayok3x

Jika tidak kerana Salah, mungkin Kane sudah bersedia untuk mengutip anugerah Kasut Emas kerana bagi dua musim sebelum ini, Kane memerlukan 25 gol (musim 2015/2016) dan 29 gol (2016/2017) sahaja untuk muncul penjaring terbanyak.

Walaubagaimanapun, prospek kehilangan Kasut Emas Liga Perdana Inggeris jelas tidak mengganggu fokus Kane kerana beliau lebih risau mengenai bagaimana untuk memperbaiki permainannya.

“Tahun ini merupakan tahun yang baik dan sekali lagi tahun yang konsisten buat saya. Saya berharap mampu menjaringkan beberapa gol lagi untuk mencecah 30 gol dalam Liga Perdana Inggeris.”

“Saya sangat gembira kerana berjaya mengharungi musim yang baik. Boleh dikatakan saya kekal konsisten hampir keseluruhan musim. Terdapat beberapa ketika dimana saya mengalami kemarau gol tetapi saya tetap berusaha untuk menjadi pemain yang lebih baik dan yakin musim ini lebih baik dari musim yang sebelumnya.”

“Sudah tentu, saya mahu mengekalkan gelaran Kasut Emas Liga Perdana Inggeris tetapi apa yang lebih penting buat saya adalah konsistensi, iaitu menjaringkan lebih 25 gol dalam Liga Perdana Inggeris setiap musim.”

Watak penting buat pasukan Tiga Singa musim panas nanti

“Akan ada ketika dimana pemain baru tiba dan mempamerkan prestasi yang cemerlang. Mohamed Salah mengharungi tahun yang fantastik dan tiada siapa sangka beliau mampu melakukannya. Tetapi bagi saya, perkara paling penting adalah mempamerkan aksi yang konsisten setiap musim.”

Spurs kini memasuki tahun ke-10 tanpa memenangi sebarang trofi selepas sekali lagi tersingkir di peringkat separuh akhir Piala FA di tangan Manchester United. Mereka juga terlepas peluang untuk mara lebih jauh dalam Liga Juara-Juara Eropah selepas tumpas di gelanggang sendiri kepada Juventus.

“Sudah tentu kami semua mahu memenangi sekurang-kurangnya satu trofi musim ini tetapi jika dilihat progress yang dilakukan kelab ini dan perpindahan ke stadium baru musim hadapan, amat penting buat kami untuk menduduki empat teratas liga.”

BACA:  Skuad Dan Pemain Paling Bernilai Di Euro 2016