Kane Sudah Tidak Seperti Dahulu Selepas Temu Bualnya Bersama Neville

Bekas bintang Tottenham Hotspur, Darren Bent mendakwa yang Harry Kane sudah tidak sama lagi selepas temu bualnya bersama Gary Neville sebelum ini.

Darren Bent mendedahkan hal tersebut selepas beliau mendengar sendiri Harry Kane menyatakan hal tersebut kepadanya.

Penyampai talkSPORT itu menjelaskan pandangan beliau tentang permulaan buruk ketua pasukan England itu pada musim ini, yang mana beliau masih belum mampu untuk menjaringkan gol dari empat perlawanan terakhirnya.

Beliau mempertahankan Kane dan masih teguh menganggap bintang Spurs itu sebagai salah seorang penyerang terhebat dunia yang beraksi bersama pasukan ‘biasa’.

Kane muncul dalam rancangan yang dikelolakan oleh Gary Neville, ‘The Overlap’ dan temu bualnya ketika itu telah mencuri perhatian seluruh dunia berkait masa depannya bersama Tottenham Hotspur.

Temu bual tersebut disiarkan pada Mei tahun ini, dengan pemain penyerang itu secara terbuka mendedahkan hasratnya untuk meninggalkan kelab kesayangannya, Tottenham Hotspur.

Beliau memutuskan untuk meninggalkan Spurs selepas mengharungi beberapa musim cemerlang secara peribadi, namun tidak pernah memenangi Piala kejuaraan.

Sejak itu, beliau telah dikaitkan dengan perpindahan menyertai Manchester City dengan yuran perpindahan mega bernilai £100 juta.

Beberapa kali tawaran mega dari Manchester City telah ditolak oleh Tottenham Hotspur dengan Daniel Levy tidak berminat untuk menjual bintang utamanya itu.

Ramai yang percaya persembahan Kane sangat teruk pada musim ini kerana urusan perpindahan beliau untuk menyertai Manchester City berakhir dengan kegagalan.

“Kita tahu dia tidak berada di tahap terbaiknya, tapi saya tak fikir dia berada di tahap terbaiknya sejak temu bual beliau bersama Gary Neville.”

Jelas Bent kepada talkSPORT Breakfast

“Jika kamu lihat pada dia sepanjang kempen Euro juga, saya tahu dia ada jaringkan beberapa gol dalam kejohanan itu, tapi dia nampak berdepan dengan kesukaran.”

“Dan pada musim ini, saya tahu dia ada menjaringkan gol dalam Europa Conference, tapi dia langsung tak nampak berada di tahap persembahan terbaiknya.”

“Sekali lagi ketika aksi bertemu Crystal Palace, saya rasa itulah perlawanan pertama sepanjang karier dia, yang dia langsung tak sentuh bola dalam kotak penalti lawan.”

Neville bahkan telah membidas kenyataan dari Bent menerusi media sosial miliknya dengan menyatakan yang semuanya merupakan salah Daniel Levy dan bukannya beliau.

Ketika temu bual bersama legenda Manchester United itu, Kane mengakui yang beliau sudah tiba di penghujung kariernya bersama Tottenham Hotspur.

Walau bagaimanapun, Kane sebenarnya pada tahun 2018 yang lalu, beliau telah menandatangani perjanjian lanjutan kontrak selama enam tahun bersama Spurs.

Dan kerana itu jugalah Chairman kelab, Daniel Levy memutuskan untuk terus menjaga Kane dan tidak mahu melepaskan beliau menyertai pasukan lain.

Bent bersetuju dengan kebanyakkan penyampai lain yang menyatakan bahawa Kane dilihat sedikit terganggu selepas urusan perpindahan beliau ke Etihad digagalkan oleh Spurs.

Namun beliau juga percaya yang Spurs seharusnya melakukan sesuatu dalam usaha mereka untuk memujuk dan memberi sokongan moral kepada bintang utama kelab itu.

“Saya rasa fikiran dia bercelaru, saya rasa mereka sekarang memiliki seorang pemain yang sebenarnya tidak mahu berada di sana, yang mana ia terlalu jelas untuk dilihat.”

“Tapi saya juga bersetuju dengan Cas (penyampai talkSPORT, Tony Cascarino), yang Tottenham Hotspur merupakan pasukan biasa sahaja.”

“Lihat pada Son Heung Min, dia sangat menakjubkan, dia sentiasa ada ketika dia diperlukan, Lucas Moura juga sungguh hebat, tapi dia merupakan generasi terakhir era Mauricio Pochettino yang mana mereka ada Christian Eriksen, Toby Alderweireld, Jan Vertonghen, mereka semua pemain yang bantu Spurs mengakhiri liga di kelompok empat teratas.”

“Kane masih ada di sana dan jelas sekali musim lalu dia minta sesuatu yang lebih berbanding sebelum ini, tukang assists, penjaring terbanyak, tapi dia masih lagi sangat, sangat bagus pada musim lalu, jadi saya rasa sekarang adalah masa untuk Spurs pujuk dia.”

“Pergi ke pasaran pemain, tandatangani beberapa pemain bintang dan kamu akan mampu untuk kekalkan dia, dan mungkin selepas itu terus majukan kelab.”

“Tapi buat masa ini, mereka masih mempunyai salah seorang pemain penyerang terhebat dunia yang bermain dengan pasukan yang biasa sahaja.”

Spurs pada musim lalu telah melantik football Director yang baru yang juga merupakan bekas pekerja Juventus, Fabio Paratici yang sedang berusaha gigih membangunkan kelab pada ketika ini.

Pemain seperti Bryan Gil, Christian Romero dan Emerson Royal merupakan pemain yang ditandatangani pada musim panas ini atas reputasi yang tinggi, namun ia masih belum pasti adakah mereka mampu atau tidak untuk memujuk Kane.

Sementara itu, ketika ditanya adakah Kane terjejas kerana saga perpindahan pada musim panas lalu, Nuno Espirito Santo mendedahkan yang:

“Itu sudah berlalu, tiada apa yang boleh kami katakan atau lakukan sekarang untuk mengubah masa lalu.”

“Apa yang perlu kita lakukan dengan masa lalu adalah melupakannya dan beri tumpuan kepada apa yang berlaku sekarang.”

“Cara bagaimana kami bekerja sekarang adalah untuk mencari jalan, cuba elak masalah dan cipta suasana baru yang boleh mengubah mutu permainan kami.”

“Harry merupakan sebahagian dari kelab, jadi segalanya akan melibatkan semua orang dan kami berusaha untuk mengubahnya.”

Sumber: talkSPORT

BACA:  Kane: Pengadil Punca England Tewas Di Tangan Sepanyol