Kante Sanggup Luangkan Masa Untuk Peminat Walau Beliau Baru Lepas Terlibat Dengan Kemalangan

Cesc Fabregas telah berkongsi satu kisah lucu tentang bagaimana Kante terlewat datang mesyuarat Chelsea, kerana keretanya terlibat dengan insiden pelanggaran.

Apa yang menjadikan kisah itu lucu adalah, Kante yang baru terlibat dengan insiden pelanggaran kereta, telah berhenti di tepi jalan untuk bergambar dengan peminatnya, kerana beliau terlalu rendah diri untuk menolak permintaan peminat itu.

Pemain midfield Perancis itu dikenali sebagai seorang pemain yang paling merendah diri dan berhati mulia, dan beliau juga terkenal kerana kereta yang dipandu olehnya.

Sebut saja N’Golo Kante, para peminat tentunya akan terkenangkan kereta Mini Cooper second hand yang telah beliau pakai selama bertahun-tahun itu.

Kante sendiri sebelum ini pernah meminta kepada para peminat supaya tidak menganggap beliau terlalu baik kerana merasakan dirinya hanya manusia biasa.

Namun begitu, status kemuliaan hatinya sekali lagi terbukti menerusi kisah menarik yang dikongsikan oleh bekas rakan sepasukannya, Fabregas.

Kante pada ketika itu telah terlewat untuk sertai mesyuarat skuad Chelsea menjelang aksi perlawanan bertemu Arsenal dalam saingan Carabao Cup.

Apa alasan beliau terlewat?

Alasan mengapa Kante terlewat adalah kerana Mini Cooper yang beliau pandu telah belanggar dengan sebuah lori di King’s Road, hingga menyebabkan cermin sisinya patah dan merosakkan sedikit keretanya.

Walau bagaimanapun, Kante telah menunggu di tepi jalan untuk membaik pulih keretanya, dan masa yang sama beliau telah didatangi oleh peminat yang mahu mengajaknya bergambar.

Kante seperti kebiasaannya, beliau langsung tak menolak dan memenuhi sahaja permintaan dari peminat tersebut, walau kereta kesayangannya baru saja terlibat dengan insiden pelanggaran.

“Semua orang tahu dia sememangnya seorang yang berhati mulia.”

Tulis Fabregas di Telegraph.

“Satu hari, kami (skuad Chelsea) bertemu di pagi hari, kami akan beraksi pada malamnya itu, dan semua orang seperti, ‘mana N’Golo, mana N’Golo?’ kami mahu mulakan perbincangan dan kebiasaannya dia sampai tepat pada masanya.”

“Tiba-tiba dia sampai dan semua orang bertepuk tangan, Antonio (Rudiger) kemudian bertanya padanya, ‘apa sudah berlaku?’

“Dan dia beritahu kami yang kereta dia berlanggar dan ramai orang di situ tak percaya yang berlanggar itu adalah dia dan mereka semua ajak dia bergambar, dan dia tak mahu menolak kerana tak mahu jadi kurang sopan.”

“Kereta dia banyak rosak dan cermin sisi dia harus dipasang semula, tapi dia masih berhenti sebab nak bergambar, bahkan dia tahu benda tu buatkan dia terlambat.”

Walaupun Kante berusaha keras untuk tidak mahu dianggap terlalu baik dan menganggap dirinya sama seperti pemain lain, semakin ramai rakan sepasukannya yang mendedahkan tentang kemuliaan hati Kante yang sukar untuk ada pada pemain lain.

Bercakap mengenai Mini Cooper tersebut, Kante pernah mendedahkan kepada BBC tentang mengapa beliau memilih untuk membeli kereta tersebut.

“Saya masih bersama Leicester City waktu itu dan ia merupakan kereta pertama saya di England. Ada seseorang mencadangkan kepada saya Mini Cooper, saya cuba dan saya suka, jadi saya beli satu.”

Kante yang juga merupakan pemain terbaik dalam aksi perlawanan akhir Champions League bersama Chelsea, dijangka akan menjadi nadi penting untuk skuad Perancis.

Perancis akan memulakan aksi peringkat kumpulan dengan bertemu Jerman, dan ia tentunya perlawanan yang sangat menarik untuk ditonton.

BACA:  Rudiger Tidak Percaya Cerita Kebaikan dan Rendah Diri Kante Sehinggalah Sertai Chelsea