Kapten Skuad Wanita Zambia Pernah Gagal Ujian Jantina Musnahkan Jerman Dengan Dua Gol

Kapten skuad wanita Zambia, Barbra Banda dibenarkan untuk beraksi di Piala Dunia Wanita yang akan berlangsung di Australia dan New Zealand pada bulan ini walaupun pernah gagal ujian jantina.

Pada Jumaat lalu Banda menjaringkan dua gol untuk membantu negaranya mengejutkan Jerman 3-2 dalam satu perlawanan persahabatan pemanas badan khas untuk kejohanan itu.

Banda sebelum ini pernah digantung dan tidak dibenarkan menyertai Piala Afrika 2022 (AFCON) kerana keputusan ujian sebelum kejohanan menunjukkan pemain itu memiliki hormon testosterone yang tinggi.

Walaupun demikian Banda dibenarkan beraksi di Piala Dunia Wanita pada bulan ini kerana FIFA membenarkan pasukan melakukan ujian sendiri secara dalaman untuk menentukan jantina pemain.

FIFA dalam kenyataan sebelum ini seperti dilaporkan BILD berkata: “Pasukan yang mengambil bahagian di Piala Dunia Wanita kali ini memberi jaminan akan melakukan ujian dalaman sendiri dan sudah membuktikan pasukan mereka semuanya terdiri daripada wanita.”

Ketika Piala Dunia pada 2011 di Jerman, pemain wanita perlu menunjukkan kemaluan untuk disahkan jantina oleh doktor yang dilantik FIFA.

Kaedah yang digunakan FIFA untuk melakukan ujian ini bagaimanapun dikritik oleh beberapa bekas pemain.

Hari ini sudah memadai untuk pasukan melakukan ujian DNA dan darah berdasarkan kes atau keraguan. Ujian fizikal pula hanya dilakukan pada kes tertentu. Ini bermakna tidak semua pemain akan diuji.

Banda merupakan seorang penyerang dan merupakan pemain kelab China, Shanghai Shengli dan telah menjaringkan 30 gol sejak melakukan penampilan pertama antarabangsanya pada 2016.

Walaupun dilarang beraksi di AFCON 2022, Banda tetap mewakili Zambia di Sukan Olimpik 2020, dan mencipta sejarah acara bola sepak wanita di temasya itu apabila menjaringkan dua hatrik di Tokyo.

Bola sepak bukan sukan pertama diceburi oleh Banda. Sebelum ini dia pernah menjadi petinju sejak berusia 14 tahun, dan memenangu lima perlawanan profesional sebelum mengalihkan fokus kepada bola sepak.

Ketika zaman kanak-kanak, Banda yang dilahirkan di Lusaka – ibu negara Zambia – bermain bola sepak dengan kanak-kanal lelaku kerana akademi bola sepak dihadirinya tidak mempunyai pasukan wanita.

Zambia akan menentang Sepanyol, Costa Rica dan Jepun di saingan peringkat kumpulan Piala Dunia Wanita yang akan bermula pada 20 Julai nanti.

Baca Juga

Baca Juga