Pada 2 Februari lepas, tanpa sebarang gembar-gembur, Chelsea secara senyap memperingati ulang tahun ke-2 melalui satu pengumuman penting di saluran digitalnya. Pengumuman itu dibuat dengan tajuk yang ringkas: “Chelsea mengesahkan jabatan sukan mereka.”
Dalam kenyataan rasmi itu, Chelsea menyatakan bahawa mereka telah menetapkan struktur baharu untuk jabatan sukan kelab dengan melantik Laurence Stewart dan Paul Winstanley sebagai pengarah sukan bersama. Mereka diberi tanggungjawab untuk mengendalikan seluruh operasi sukan termasuk pemantauan dan pengambilan pemain serta analisis data.
Kenyataan itu juga menekankan bahawa fokus utama pasukan itu adalah untuk memastikan Chelsea kekal kompetitif dan mampan di atas padang. Pada masa sama, mereka ditugaskan untuk membangunkan bakat untuk jangka panjang dengan pendekatan moden yang berasaskan data.
Sekilas pandang, kenyataan itu mungkin kelihatan biasa-biasa sahaja. Namun, jika diteliti ia memberi gambaran tentang sebab utama mengapa selepas 2 tahun penuh cabaran, Winstanley dan Stewart terus mendapat kepercayaan penuh dari pemilik Chelsea. Dalam sama yang sama, mereka semakin menerima kritikan hebat daripada penyokong. Ramai peminat meragui keupayaan mereka berdua dan menyalahkannya atas kegagalan pasukan.
Membina Struktur Baharu Chelsea
Pada separuh ke-2 tahun 2022, pemilik Chelsea meluangkan masa selama berbulan-bulan untuk mencari individu yang sesuai menguruskan operasi sukan kelab. Pencarian itu menjadi keutamaan selepas kepimpinan lama di bawah Roman Abramovich, termasuk Marina Granovskaia dan Petr Cech meninggalkan kelab.
Pemergian mereka menyebabkan kelab mengalami keadaan kucar kacir dalam pembelian pemain dan membelanjakan wang dalam jumlah besar dan kebanyakan keputusan dibuat tanpa perancangan yang jelas. Malah, sebahagian besar pembelian dilakukan atas permintaan Thomas Tuchel. Tuchel berada dalam keadaan kecewa dengan situasi kelab pada ketika itu. Kesannya Chelsea mencipta lebih banyak masalah daripada menyelesaikan masalah.
Pemilik kelab tidak mahu kesilapan itu berulang. Mereka mahu membina struktur sukan yang kukuh dan tidak bergantung sepenuhnya kepada kehendak jurulatih. Mereka kemudiannya mengkaji model pengurusan di kelab-kelab di Liga Perdana Inggeris serta kelab di seluruh Eropah.
Dalam proses pemilihan, mereka menemu duga lebih 30 hingga 40 calon termasuk eksekutif bola sepak yang berpengalaman dan juga mereka yang sedang meningkat naik dalam industri ini.
Akhirnya Winstanley dan Stewart muncul sebagai pilihan terbaik. Winstanley ketika itu berada di Brighton & Hove Albion, manakala Stewart bekerja di Monaco. Chelsea juga membawa masuk Joe Shields dari Southampton dan Christopher Vivell dari RB Leipzig untuk memperkuat jabatan sukan mereka.
Pemilik kelab yakin bahawa mereka semua adalah individu muda, bijak serta penuh semangat. Jika strategi ini kelihatan biasa, ia kerana prinsip yang sama telah digunakan dalam pembelian pemain Chelsea sejak 2 tahun lalu termasuk dalam kes pelantikan Maresca sebagai ketua jurulatih.
Perubahan Besar di Cobham
Sejak mengambil alih tugas di Chelsea, Winstanley dan Stewart tidak hanya bertanggungjawab terhadap perpindahan pemain. Mereka juga melakukan perubahan besar dalam struktur kelab khususnya di pusat latihan Cobham.
Salah satu keputusan penting mereka ialah pemilihan Sonia Bompastor sebagai ketua jurulatih baharu pasukan wanita Chelsea yang menggantikan Emma Hayes. Hayes telah menjadi legenda kelab. Selain itu, mereka juga memainkan peranan dalam membawa masuk Keira Walsh dan Naomi Girma sebagai sebahagian daripada usaha memastikan Chelsea terus menguasai Liga Super Wanita serta mengejar kejayaan di Liga Juara-Juara Wanita UEFA.
Di peringkat akademi, selepas pemergian Neil Bath dan Jim Fraser, Chelsea membawa masuk Glenn van der Kraan dari Manchester City sebagai pengarah teknikal akademi. Perubahan ini mengambil masa untuk menunjukkan kesannya tetapi ia adalah satu lagi bukti bagaimana Winstanley dan Stewart diberikan mandat besar untuk membentuk masa depan kelab.
Bagi sebahagian penyokong, perubahan drastik ini telah menghilangjan identiti kelab. Mereka percaya Chelsea sedang meninggalkan asas kejayaan mereka yang lalu. Namun, bagi pemilik kelab, langkah ini adalah sebahagian daripada proses pemodenan untuk memastikan kelab terus bersaing di peringkat tertinggi dalam era bola sepak moden.
Cabaran dan Kritikan Terhadap Winstanley & Stewart
Walaupun banyak pembaharuan telah dilakukan, prestasi pasukan utama lelaki Chelsea di Liga Perdana Inggeris masih jauh daripada memuaskan. Sejak pemergian Abramovich pada 2022, Chelsea belum menunjukkan peningkatan yang besar malah sejak pertengahan Disember lepas mereka terus bergelut.
Dalam tempoh 2 tahun ini Chelsea telah membelanjakan lebih banyak wang untuk yuran perpindahan berbanding mana-mana kelab lain di dunia tetapi hasilnya tidak memberangsangkan. Sebagai individu utama dalam strategi perpindahan ini, Winstanley dan Stewart menjadi sasaran utama kemarahan penyokong yang kecewa dengan keadaan kelab.
Walaupun begitu, pemilik kelab tetap yakin dengan perancangan mereka. Chelsea percaya bahawa kebanyakan kerja asas untuk membina skuad yang stabil sudah dilakukan. Pada masa hadapan, jendela perpindahan akan lebih fokus kepada penambahbaikan skuad dan bukan lagi perubahan besar-besaran seperti sebelum ini.
Chelsea juga percaya dengan purata gaji pemain yang lebih rendah, mereka akan lebih mudah menjual pemain yang tidak mencapai tahap yang diharapkan di Stamford Bridge.
Masa Depan Chelsea: Ke Mana Halatuju Pasukan Ini?
2 bulan yang penuh dengan keputusan buruk telah mengubah sentimen penyokong secara drastik. Jika prestasi pasukan tidak bertambah baik, kedudukan Maresca sebagai ketua jurulatih mungkin terjejas terutama jika Chelsea gagal dalam perlumbaan untuk layak ke Liga Juara-Juara Eropah.
Namun, satu perkara yang pasti adalah kritikan penyokong tidak akan mengubah keyakinan pemilik kelab terhadap Winstanley dan Stewart. Mereka bukan sekadar bertanggungjawab dalam urusan pembelian dan penjualan pemain tetapi juga dalam membina struktur jangka panjang kelab.
Chelsea sedang mencuba sesuatu yang baharu dalam pengurusan bola sepak mereka. Sama ada strategi ini akan berjaya atau tidak, hanya masa yang akan menentukan. Namun, bagi pemilik kelab, perjalanan pembaharuan ini masih jauh daripada selesai.