Keajaiban Coupe de France: Kisah Kelab Kerdil yang Mengejutkan Gergasi

Bahagian 1: Kisah keajaiban Dunkerque menentang Lille

Bahagian 2: Perjalanan Dunkerque dalam Coupe de France dan impak ke atas pemain serta kelab

Bahagian 3: Perjalanan Stade Briochin dan cabaran mereka menentang PSG

Bahagian 4: Sejarah kejutan dalam Coupe de France termasuk kisah Les Herbiers dan Calais


Keajaiban Dunkerque Menentang Lille dalam Coupe de France

Pasukan bukan pilihan sering berusaha bertahan sebaik mungkin dan kali ini segalanya kelihatan sudah berakhir.

Dunkerque, sebuah kelab divisyen kedua, berhempas pulas menangkis serangan bertali arus daripada Lille. Pada minit ke-85, Andre Gomes akhirnya memecah kebuntuan dengan jaringan yang memberikan Lille kelebihan 1-0.

Gol itu memang sudah dijangka. Lille merupakan pasukan yang pernah menewaskan gergasi Eropah seperti Real Madrid dan Atletico Madrid, malah membelasah Feyenoord 6-1 dalam perjalanannya ke pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara. Jurulatih mereka, Bruno Genesio menurunkan hampir kesebelasan utama, diketuai oleh penyerang prolifik dari Kanada, Jonathan David.

Sepanjang perlawanan, Lille mencipta banyak peluang. Dua kali percubaanya terkena palang, dua kali terkena tiang malah rembatan Thomas Meunier turut diselamatkan di atas garisan gol. Jonathan David pula mensia-siakan sekurang-kurangnya 3 peluang 1 lawan 1. Akhirnya, Lille menemui gol yang dicari dan tampak bersedia untuk mara ke suku akhir Coupe de France.

Namun, kejutan berlaku.

Ketika perlawanan memasuki saat terakhir masa kecederaan 5 minit, Dunkerque melancarkan serangan terakhir. Pemain pertahanan kiri mereka, Abner melambungkan bola ke dalam kotak penalti Lille dan pemain gantian, Kay Tejan melonjak tinggi untuk menanduk masuk gol penyamaan! Itu merupakan percubaan tepat pertama Dunkerque sepanjang perlawanan.

Dalam penentuan sepakan penalti, Lille pada mulanya mendahului 3-0 dan kelihatan bakal melangkah ke pusingan seterusnya. Namun segalanya berubah apabila sepakan Alexsandro tersasar jauh, sepakan Hakon Haraldsson diselamatkan dan sepakan kaptennya, Benjamin Andre hanya mampu mengenai palang. Keadaan mendadak berubah. Kedudukan menjadi 4-4.

Kini tiba giliran penjaga gol simpanan Dunkerque, Ewen Jaouen yang baru berusia 19 tahun, Jaouen yang sebelum ini menyelamatkan sepakan Haraldsson.  Dia dengan tenang menyempurnakan sepakan penaltinya untuk memastikan kemenangan luar biasa Dunkerque!

Dunkerque mara, Lille tersingkir dan sekali lagi keajaiban Coupe de France menjadi kenyataan.

“Ia benar-benar gila,” kata jurulatih penjaga gol Dunkerque, Christophe Lollichon.

“Kami hanyalah Dunkerque, kelab kecil yang menentang salah satu pasukan terbesar di Perancis, di stadium mereka sendiri. Apa yang berlaku sukar dipercayai—kami ketinggalan, kemudian menyamakan kedudukan pada minit ke-96, hampir tewas dalam penentuan penalti tetapi akhirnya menang. Ia benar-benar luar biasa.”


Dunkerque: Pasukan Kecil dengan Impian Besar

Dunkerque hanyalah pasukan bukan pilihan. Mereka mendapat sokongan kewangan daripada kumpulan pelaburan Turki, Amissos serta mempunyai bekas penyerang West Ham, Newcastle dan Chelsea, Demba Ba sebagai pengarah sukan. Kini, Les Maritimes (gelaran Dunkerque) berada di tangga ke-3 Ligue 2 dan berusaha melakar sejarah dengan layak ke Ligue 1 buat kali pertama.

Kejayaannya dalam Coupe de France menambah semangat dalam kalangan penyokong setia. Penjaga gol muda mereka, Ewen Jaouen yang dipinjam dari Reims, hampir meninggalkan kelab pada Januari selepas kehilangan tempat dalam kesebelasan utama. Namun selepas aksi cemerlangnya menentang Lille, dia kini menjadi wira bandar itu.

Dan dengan keajaiban bola sepak, Jaouen mendapat hadiah istimewa iaitu perlawanan suku akhir menentang Brest (Dunkerque menang 3-2), kelab yang disokongnya sejak kecil. Jurulatih penjaga gol Dunkerque, Christophe Lollichon yang pernah menghabiskan 15 tahun bersama Chelsea, percaya bahawa perlawanan ini akan menjadi detik bersejarah buat anak didiknya.

Keajaiban Coupe de France Berterusan

Sementara itu, satu lagi kejutan Coupe de France sedang berlaku di wilayah Brittany. Brest mungkin sudah tersingkir dari Liga Juara-Juara, tetapi mereka masih bersaing dalam saingan piala ini. Guingamp, kelab dari divisyen 2 juga masih bertahan dan bakal menentang pasukan divisyen 4, Cannes.

Namun, kisah paling menarik musim ini datang dari sebuah bandar kecil bernama Saint-Brieuc. Pasukan divisyen 4, Stade Briochin mencipta sensasi dengan menyingkirkan Le Havre dari Ligue 1, menewaskan Annecy melalui penentuan penalti dan mencipta kejutan terbesar dengan menundukkan Nice di pusingan 16.

Perlawanan menentang Nice berlangsung di Stade Fred Aubert, sebuah stadium kecil berkapasiti hanya 10,600 tempat duduk. Nice mendominasi keseluruhan perlawanan dan mendahului pada separuh masa kedua. Namun dalam beberapa minit terakhir, sesuatu yang luar biasa berlaku.

Pemain pertahanan Stade Briochin, Hugo Boudin muncul sebagai wira dengan menjaringkan 2 gol. Satu pada minit ke-88 dan satu lagi pada minit ke-97! Penyokong berpesta, pemain berlari kegembiraan di seluruh padang, malah pengumuman di stadium hampir kehilangan suara kerana terlalu teruja.

Dan kemudian, undian suku akhir diumumkan: Stade Briochin vs Paris Saint-Germain.


Stade Briochin: Pasukan Kerdil Lawan Gergasi PSG

Pengurus besar Stade Briochin, Coralie Labbe tidak dapat menyembunyikan keterujaannya apabila undian menempatkan pasukannya berdepan PSG.

“Kami seperti berada dalam mesin basuh sejak 3 minggu lalu—semuanya berpusing tanpa henti!” katanya. “Menewaskan Nice sudah cukup luar biasa, tetapi kini kami menentang PSG. Permintaan media, temu bual, jualan tiket—segalanya berlaku serentak.”

Jurang antara kedua-dua pasukan memang tidak masuk akal. PSG ialah kelab terkaya di Perancis dengan bajet tahunan €800 juta dan mempunyai lebih 700 kakitangan tetap. Stade Briochin? Mereka hanya mempunyai 10 pekerja tetap dengan bajet sebanyak €1.3 juta.

Kerana kapasiti stadium mereka yang kecil, perlawanan ini akan dimainkan di Roazhon Park, Rennes yang boleh memuatkan hampir 30,000 penyokong. PSG mungkin menurunkan barisan pemain simpanan tetapi mereka tetap memiliki bintang seperti Ousmane Dembélé, Marquinhos dan Khvicha Kvaratskhelia.

Bagi Labbe, ini adalah pengalaman sekali seumur hidup.

“Saint-Brieuc hanyalah bandar kecil di tepi laut dengan 42,000 penduduk. Tidak banyak yang berlaku di sini. Tetapi kini, seluruh bandar sedang menanti perlawanan ini dengan penuh debaran!” katanya.

Kisah dongeng Stade Briochin akhirnya dihentikan oleh PSG selepas mereka dibelasah 7-0 di peringkat suku akhir.

Sejarah Kejutan Coupe de France

Setiap tahun, Coupe de France menghasilkan kisah luar biasa. Stade Briochin kini menyertai senarai pasukan bukan pilihan yang pernah mencipta kejutan besar.

Gelaran “petit poucet” (Si Kecil) diberikan kepada pasukan ranking terendah yang masih bertahan dalam saingan ini. Musim ini, Stade Briochin dan Cannes telah berkongsi gelaran tersebut selepas menewaskan Lyon melalui penentuan penalti.

Sejarah Coupe de France penuh dengan kisah kelab kecil mengalahkan gergasi. Pada tahun 1957, pasukan amatur Algeria, El Biar mengejutkan Reims.

Pada 2012, pasukan kecil Quevilly menyingkirkan Marseille sebelum mara ke final. Marseille pula telah beberapa kali dikejutkan oleh pasukan bukan pilihan seperti Carquefou (2008), Andrezieux (2019), dan Canet Roussillon (2021).

Satu peraturan unik dalam Coupe de France juga membantu pasukan bawahan mencipta kejutan. Sejak 1989, mana-mana pasukan amatur yang diundi menentang kelab dua divisyen lebih tinggi akan diberikan kelebihan bermain di tempat sendiri. Dan sejak 2020, perlawanan yang terikat selepas 90 minit akan terus ke penentuan penalti tanpa masa tambahan.

Menurut Stéphane Masala, jurulatih yang membawa kelab divisyen tiga, Les Herbiers ke final pada 2018, faktor ini sangat membantu pasukan kecil.

“Lebih mudah menentang kelab profesional yang baru menyertai kejohanan daripada menentang pasukan amatur yang sudah menang beberapa perlawanan. Pasukan seperti itu mempunyai momentum yang kuat,” katanya.

Les Herbiers mara ke final menentang PSG yang ketika itu dibarisi Kylian Mbappé, Edinson Cavani dan Ángel Di María. Walaupun tewas 2-0, perlawanan itu menjadi final paling banyak ditonton dalam sejarah Coupe de France dengan 6.4 juta penonton.

Namun, kisah paling luar biasa dalam sejarah kejohanan ini ialah Calais pada tahun 2000.


Calais: Keajaiban Coupe de France yang Tidak Akan Dilupakan

Kisah paling luar biasa dalam sejarah Coupe de France berlaku pada tahun 2000, apabila Calais RUFC, sebuah kelab divisyen 4 yang terdiri daripada pemain amatur berjaya mara ke final menentang Nantes.

Dibimbing oleh jurulatih Ladislas Lozano, pasukan ini terdiri daripada pekerja biasa (guru, pekerja kilang, dan posmen) yang bermain bola sepak secara sambilan. Dalam perjalanan ke final, mereka menewaskan kelab Ligue 1 seperti Strasbourg dan Bordeaux.

Di final yang berlangsung di Stade de France, Calais mengejutkan semua pihak apabila mendahului 1-0 menerusi gol Jérôme Dutitre. Namun Nantes menyamakan kedudukan sebelum Antoine Sibierski menjaringkan gol kemenangan melalui penalti pada minit ke-90.

Walaupun tewas, Calais mendapat penghormatan di seluruh Perancis. Presiden FIFA ketika itu, Sepp Blatter menyerahkan trofi kepada kapten Calais, Regis Brouard sebagai simbol kejayaan mereka yang luar biasa.

Kisah ini kekal sebagai bukti bahawa dalam Coupe de France, apa sahaja boleh berlaku.

Baca Juga

Baca Juga