Keajaiban Piala FA, Perjalanan Luar Biasa Plymouth Argyle

Keajaiban Piala FA: Perjalanan Plymouth Argyle

Piala FA sentiasa dianggap sebagai kejohanan penuh keajaiban dan musim ini, Plymouth Argyle nampaknya dalam misi untuk memastikan magis itu terus hidup. Artikel ditulis sebelum Plymouth turun menentang City.

Selepas menyingkirkan Brentford di pusingan ke-3, pasukan dari Championship ini mengejutkan dunia dengan menewaskan pendahulu Liga Perdana Inggeris, Liverpool. Ganjaran mereka? Perlawanan pusingan seterusnya menentang Manchester City yang dibimbing oleh Pep Guardiola.

Jika mereka berjaya mencipta satu lagi kejutan besar, mereka akan menjadi pasukan bukan dari Liga Perdana pertama sejak Wigan Athletic (2018) yang menyingkirkan 3 pasukan Liga Perdana berturut-turut dalam Piala FA.

Kapten Plymouth, Joe Edwards berkongsi kisah perjalanan luar biasa pasukannya dalam sebuah diari eksklusif Piala FA. Dalam tempoh 2 bulan ini, dia bukan sahaja menjadi pemain tetapi juga jurulatih sementara dan pengulas bola sepak, semuanya berlaku di tengah-tengah perjuangan kelab untuk mengelak penyingkiran dari Championship.

Ia satu perjalanan yang menyeronokkan, walaupun penuh dengan cabaran.


31 Disember 2024: Era Baru di Plymouth

Plymouth mengumumkan perpisahan dengan ketua jurulatihnya, Wayne Rooney selepas kekalahan di tangan Oxford United yang menyebabkan kelab itu terperosok di dasar liga tanpa sebarang kemenangan dalam 9 perlawanan. Pembantu jurulatih, Kevin Nancekivell (Nance) diberi tanggungjawab sebagai jurulatih sementara dan dia meminta Edwards untuk membantunya di bangku simpanan.

Bagi Edwards, yang sudah lama berehat akibat kecederaan hamstring sejak September, ini adalah pengalaman baharu.

“Semuanya berlaku dengan pantas. Nance menelefon saya dan berkata, ‘Wayne dah pergi dan mereka minta saya ambil alih.’ CEO kelab, Andrew Parkinson tanya sama ada dia perlukan bantuan, jadi Nance cadangkan saya. Kami dah lama bersama di Argyle dan selalu bergurau bahawa suatu hari nanti kami akan bekerja bersama. Saya sanggup lakukan apa sahaja untuk membantu.”

Keesokan harinya, Edwards tidak lagi memakai jersi kelabu kelab seperti pemain lain, tetapi baju jurulatih berwarna hitam. Dia kini berada di bilik jurulatih bukan di kalangan rakan sepasukan.

Walaupun ada sedikit usikan daripada pemain lain, mereka tetap menghormati Edwards dalam peranan baharunya. Dengan pengalaman sebagai kapten yang sering menjadi perantara antara pemain dan staf kejurulatihan, dia sudah terbiasa dengan tanggungjawab ini.

“Saya sedang mengambil lesen kejurulatihan A UEFA, jadi semua pengalaman ini sangat berguna untuk saya.”


1 Januari 2025: Plymouth 2-2 Bristol City

Hari perlawanan tiba dengan satu cabaran awal – salah seorang pertahanan tengah mengalami kecederaan pada saat akhir, menyebabkan perubahan taktikal perlu dibuat.

Edwards menyedari betapa berbezanya pengalaman berada di bangku jurulatih berbanding bermain.

“Sebagai pemain, kami hanya menikmati perlawanan. Tetapi sebagai jurulatih, kami sentiasa memikirkan apa yang boleh diperbaiki. Saya mula memahami kesukaran dalam membuat keputusan tentang pertukaran pemain dan strategi.”

Walaupun ketinggalan 2-1, Plymouth berjaya menyamakan kedudukan pada minit akhir – permulaan yang baik dalam era baharu mereka.


7 Januari 2025: Persiapan untuk menentang Brentford

Selepas seri tanpa jaringan di Stoke City, Plymouth bersiap sedia untuk pertemuan dengan Brentford dalam Piala FA.

“Sebagai pemain, kami hanya datang ke pusat latihan, berlatih kemudian pulang ke rumah. Sekarang, hari saya 3 kali lebih panjang. Saya masih dalam fasa pemulihan daripada kecederaan sambil membantu dalam kejurulatihan.”

Persiapan untuk Brentford sangat teliti. Analisis perlawanan menunjukkan pasukan lawan memiliki pemain berkualiti tinggi dan Edwards tahu cabaran getir menanti mereka.

“Kami melihat video jaringan Brentford. Beberapa gol mereka sangat luar biasa. Kami hanya boleh berharap dapat memberikan aksi terbaik.”


11 Januari 2025: Brentford 0-1 Plymouth (Piala FA, Pusingan Ke-3)

Hari perlawanan tiba dengan sedikit masalah – 2 pemain utama yang sepatutnya bermula terpaksa menarik diri, menyebabkan pasukan perlu mengubah pelan permainan pada saat akhir.

Tetapi Plymouth berjaya bertahan dalam 20 minit pertama, mengekalkan bentuk permainan mereka dengan baik. Pemain dan penyokongnya memberikan sokongan padu.

“Brentford bukan dengan kesebelasan utama mereka tetapi mereka masih ada pemain berkualiti di bangku simpanan. Jika kami kekal bertahan, peluang pasti ada.”

Dengan hanya 8 minit sebelum tamat, Morgan Whittaker menjaringkan gol tunggal perlawanan menerusi satu percubaan yang menakjubkan.

“Morgan terus menggelecek… saya hampir kecewa kerana dia nampak seperti kehilangan peluang. Tapi tiba-tiba bola menerjah jaring. Kami semua hilang kawalan!”

Kemenangan ini bermakna Plymouth akan berdepan Liverpool di pusingan ke-4 – satu perlawanan yang tidak pernah mereka jangkakan.


12 Januari 2025: Liverpool Menanti

Keesokan harinya, suasana di kelab dipenuhi keterujaan selepas undian menunjukkan mereka akan bertemu pendahulu Liga Perdana, Liverpool.

Pada masa yang sama, Miron Muslic diumumkan sebagai ketua jurulatih baharu. Ketibaannya membawa aura segar ke dalam pasukan.

“Kami semua teruja dengan caranya bercakap. Sangat bersemangat dan penuh keyakinan. Dia menegaskan 3 perkara utama – intensiti latihan, bermain dengan semangat dan menjadi pasukan yang sukar ditewaskan.”

Muslic segera memberi impak kepada pasukan tetapi ada cabaran besar menanti. Plymouth perlu mengimbangi persiapan untuk perlawanan Piala FA dengan perjuangan mereka di liga.


9 Februari 2025: Plymouth 1-0 Liverpool (Piala FA, Pusingan Ke-4)

Liverpool menurunkan barisan kedua tetapi masih memiliki 7 pemain bertaraf antarabangsa.

“Kami melihat barisan simpanan mereka dan terasa sedikit lega. Jika kami boleh bertahan, mereka tiada ramai pemain bintang di bangku simpanan untuk mengubah permainan.”

Plymouth menggunakan pendekatan bertahan dengan disiplin tinggi dan mencari peluang melalui sepakan percuma serta lontaran jauh.

Pada minit ke-53, mereka mendapat hadiah penalti selepas Harvey Elliott handball. Ryan Hardie tenang menyempurnakan sepakan itu, memberi Plymouth pendahuluan yang mengejutkan.

“Kami hanya perlu bertahan untuk 10 minit terakhir. Conor Hazard melakukan beberapa aksi penyelamatan hebat untuk memastikan kemenangan kami.”

Selepas wisel penamat, suasana di stadium begitu luar biasa. Pemain Liverpool menunjukkan semangat kesukanan dengan bertukar jersi dan bergambar dengan penyokong.

“Melihat keluarga saya di sana, bersama ribuan penyokong kami, sungguh luar biasa. Ini hari yang tidak akan saya lupakan.”


Cabaran Seterusnya: Manchester City

Selepas kejayaan bersejarah ini, Plymouth kini bersiap sedia untuk cabaran terbesar mereka – pertemuan dengan Manchester City.

Namun, di sebalik kegembiraan, pasukan ini masih perlu memberi tumpuan kepada perjuangan mereka dalam liga. Dengan jadual yang padat, mereka perlu mencari keseimbangan antara impian Piala FA dan misi mengelakkan penyingkiran dari Championship.

Adakah magis Piala FA masih akan terus menyebelahi mereka? Hanya masa yang akan menentukan.

BACA:  JDT Juara Piala FA 2022