Keane Kembali Ke Manchester United?

Michael Keane telah mendapat banyak pujian setakat ini setelah muncul cemerlang bersama Burnley, selain membuat penampilan pertama buat skuad kebangsaan England. Keane menjadi pemain Burnley yang pertama dalam tempoh 43 tahun, selain pemain yang ke 33 dilahirkan oleh akademi Manchester United yang bermain untuk England.

Ya, dia adalah bekas pemain Manchester United. Sama macam Pogba.

Dilahirkan di Stockport, Keane menyertai akademi United bersama kembarnya, Will, ketika mereka berusia 11 tahun. Keane menghabiskan lebih 10 tahun di kelab tersebut sebelum berpindah secara tetap ke kelab lain pada musim 2014-15, menyertai Burnley dengan harga £3 juta. Kini, Keane telah memasuki musim ketiganya bersama Burnley dan pemain yang berusia 24 tahun ini cukup menonjol pada musim ini, dan menarik perhatian kelab lamanya.

United sebelum ini telah memecahkan rekod dunia untuk membawa Pogba kembali ke Old Trafford, dan mungkinkah mereka bakal berbelanja besar sekali lagi untuk membawa Keane pulang?

United sememangnya mengalami masalah di bahagian pertahanan tengah dengan Chris Smallling dan Phil Jones kerap cedera, atau mencederakan rakan sepasukan, atau mendapat kad merah, atau beri penalti kepada lawan atau jaringkan gol sendiri. Sepanjang musim ini, Keane kelihatan cukup tenang membaca permainan lawan sekaligus membantu mengurangkan beban penjaga gol.

Menurut Keane, dia percaya jika Pak Alex masih di kelab tersebut, dia tidak akan dijual. Begitu juga dengan Danny Welbeck dan Johnny Evans. Ketika era Van Gaal, United pernah mengalami masalah kecederaan di bahagian pertahanan tengah, namun Van Gaal bertindak tidak menggunakan Keane, sebaliknya memilih Daley Blind – pemain bek kiri secara alaminya.

Hari ini, Liverpool dan Chelsea dikatakan berminat untuk membeli Keane, namun Keane tetap berharap dia akan kembali ke United, kelab yang disokong seluruh ahli keluarganya.

“Aku adalah penyokong United, dan akan tetap sokong United,” kata Keane pada awal musim ini.

Keane juga masih lagi berhubung dengan rakan seakademinya – Jese Lingard dan Paul Pogba.

“Aku ingat aku mampu lakukannya di United. Bila aku tinggalkan kelab ni, aku rasa ada sesuatu yang perlu aku buktikan dan ini membuatkan aku bekerja keras.

“Sekarang ini aku rasa mungkin aku dah buktikan. Aku rasa aku dah main dengan cukup baik, jadi tak banyak benda dah yang aku perlu buat.” katanya mengakhiri perbualan.

Baca Juga

Baca Juga