Kebangkitan Bola Sepak Iceland Bermula Dengan Pelantikan Presiden FA Baharu

Masih belum terlambat lagi buat kami di The Sukan untuk mengucapkan tahniah dan takziah kepada Tunku Ismail di atas pelantikannya sebagai presiden FAM yang baharu. Tahniah kerana berjaya memenangi kerusi presiden setelah kerusi tersebut didominasi oleh satu keluarga untuk tempoh yang lama suatu ketika dahulu.

Takziah pula kerana tuan presiden yang baharu bakal melalui satu tempoh yang mencabar untuk merevolusikan bola sepak Malaysia. Tambahan pula, kalau dah jadi presiden FAM ni, bersin pun orang akan kutuk bagai tiada hari esok.

Iceland – sebuah negara yang kecil di eropah dengan populasi hanya seramai tidak lebih 400,000 telah muncul sebagai satu pasukan yang mencipta kejutan sepanjang Euro 2016, di mana mereka muncul sebagai pasukan yang pertama layak dan kempen mereka berjaya mara sehingga ke suku akhir sebelum tewas kepada juara, Portugal.

Presiden KSI Pencetus Revolusi

Pada tahun 2007, Encik Geir Þorsteinsson telah dilantik sebagai presiden KSI –  Íslenska karlalandsliðið í knattspyrnu atau dalam bahasa mudahnya ialah Persatuan bola sepak Iceland.

Sejurus dilantik, Geir Þorsteinsson mempunyai satu misi utama – menyediakan fasiliti bola sepak yang berkualiti kepada seluruh warga Iceland. Demi mencapai matlamat ini, Þorsteinsson telah mewujudkan satu kerjasama dengan kerajaan pusat untuk mengagihkan bajet terhadap fasiliti-fasiliti ini.

Ternyata cadangan ini mendapat sambutan daripada pihak kerajaan.

Pihak kerajaan melalui JKR Iceland telah membina dan membaikpulih padang-padang bola sepak yang bertaraf FIFA di setiap sekolah kerajaan – tak kira lah sama ada sekolah rendah atau sekolah menengah.

Lebih menarik lagi, padang-padang ini boleh digunakan oleh orang ramai secara percuma, melainkan jika sekolah melakukan aktiviti seperti hari sukan sekolah di padang tersebut.

Selain itu, Þorsteinsson telah melantik Lars Lagerback sebagai ketua jurulatih bola sepak negaranya memandangkan Lagerback mempunyai pengalaman yang luas dalam arena bola sepak antarabangsa dan bukan setakat membawa pulang pingat emas Sukan SEA atau Piala AFC semata-mata.

Pelantikan ini juga merupakan satu detik penting dalam sejarah kebangkitan bangsa serpihan Viking ini.

Penambahan Jurulatih

Þorsteinsson sendiri merupakan bekas pengadil, dan juga bekas jurulatih pasukan remaja. Jadi, dia amat faham dengan keperluan dan kepentingan jurulatih yang mempunyai lesen tertinggi untuk menaikkan bola sepak Iceland. Jadi, Þorsteinsson telah menggalakkan ramai pemuda dan pemudi untuk mengambil lesen kejurulatih peringkat tertinggi UEFA.

Pemegang-pemegang lesen kejurulatihan ini diambil oleh akademi-akademi dan juga kelab-kelab remaja di Iceland dan melalui langkah ini, ramai pemain muda Iceland mempunyai kebolehan yang tinggi. Antara pemain yang mendapat manfaat daripada usaha ini ialah Gyli Sigurdsson, Aron Gunnarson, Birkir Bjarmason atau dengan bahasa mudah, 90 peratus pemain dalam skuad Euro 2016 tempoh hari.

Kesimpulan

Momen penting dalam peningkatan bola sepak Iceland ialah pelantikan presiden yang baharu dan selama 10 tahun, dia telah membawa Iceland ke peta bola sepak dunia. KSI baru sahaja mendapat presiden yang baharu, Guðni Bergsson, bekas pemain Aston Villa dan tugasnya adalah menyambung legasi yang ditinggalkan Þorsteinsson.

Harapan seluruh rakyat Malaysia dengan pelantikan presiden baharu FAM ini bakal mencetuskan kebangkitan seperti negara Iceland, memandangkan populasi negara kita adalah 100 kali ganda lebih ramai daripada Iceland dan ini bermaksud, kita mempunyai lebih banyak bakat untuk dibawa ke tengah.

Iceland layak ke Euro pada tahun 2016, kira-kira 9 tahun selepas pelantikan Þorsteinsson. Piala Dunia 2026 pula hanya tinggal lagi 9 tahun, dan mampukah Malaysia mengambil ibrah daripada Iceland?

BACA:  Ronaldo : Iceland Parking Bas Di Padang