Manchester United terus menjadi pasukan yang sukar diramal, malah mungkin Ruben Amorim sendiri pun keliru dengan prestasi mereka dari minggu ke minggu.
Pada separuh masa kedua menyaksikan United seolah-olah sudah menyerah kalah. Mereka ketinggalan 2-0 dan Everton semakin menguasai permainan. Persembahan hambar United penuh dengan kelesuan dan kehilangan keyakinan. Sir Alex Ferguson di barisan hadapan kotak pengarah menyaksikan semuanya dengan penuh kecewa. Kontras antara tahap keyakinan kedua-dua pasukan jelas terpampang.
Namun dari kedudukan yang kelihatan mustahil, United tiba-tiba bangkit.
Sepakan percuma Bruno Fernandes merapatkan jurang sebelum voli cantik dari Manuel Ugarte dari luar kotak penalti berjaya mengikat kedudukan. Sebelum itu, kelemahan pertahanan United membolehkan Beto dan Abdoulaye Doucoure memberikan Everton kelebihan tetapi sekelip mata segalanya berubah.
Malah, United hampir tewas apabila pengadil Andy Madeley memberikan sepakan penalti selepas Ashley Young dijatuhkan oleh Harry Maguire dan Matthijs de Ligt. Namun, selepas semakan VAR, keputusan itu dibatalkan dan ia menjadi satu kelegaan besar buat pasukan pelawat.
Masalah ‘Set-Piece Bertahan’ United Berulang
Kebobolan menerusi situasi bola mati bukanlah sesuatu yang mengejutkan bagi United. Ini adalah gol ke-12 yang mereka bolos dalam situasi sebegini, hanya Wolverhampton Wanderers lebih teruk dalam statistik ini.
Tetapi adakah ia masih dikira sebagai gol set-piece jika pasukan gagal mengeluarkan bola selepas 5 percubaan dan lawan hanya menjaringkan gol 11 saat selepas mengambil sepakan sudut? Jika begitu, ini mungkin antara kesilapan paling teruk United dalam dari set-piece bertahan di bawah Amorim.
Diogo Dalot gagal mengeluarkan bola, diikuti Maguire dan Noussair Mazraoui. Patrick Dorgu dan Casemiro sebelum Rasmus Hojlund dikalahkan sepenuhnya oleh Doucoure. Gol ke-2 juga serupa, dengan Doucoure menewaskan Maguire selepas bola muntah dari Andre Onana.
Everton dikenali sebagai pasukan fizikal dan Amorim sedar bahawa pemainnya perlu bersaing dalam duel. Namun pemain United kelihatan terkapai-kapai, gagal memberi tekanan dan sekali lagi membuktikan kelemahan mereka dalam bertahan (bola mati).
Adakah Pemain Masih Berjuang untuk Amorim?
Sebelum perlawanan, Amorim menepis dakwaan bahawa pemainnya semakin hilang keyakinan terhadap metodologinya. Namun reaksi di Goodison Park menunjukkan sebaliknya.
Bekas penyerang Everton, Duncan Ferguson berkata sebelum perlawanan, “Saya tidak suka sesi pemanas badan mereka. Bahasa badan mereka tidak meyakinkan. Mereka nampak seperti boleh ditewaskan dengan mudah.” Untuk satu jam pertama permainan, kata-kata Fergusonterbukti benar.
Tetapi kebangkitan di separuh masa kedua menunjukkan bahawa para pemain masih belum hilang sepenuhnya kepercayaan. Malah, ini bukan kali pertama United menunjukkan semangat juang di bawah Amorim, mereka juga melakukannya di Piala FA ketika menentang Arsenal dan Liverpool.
Persoalannya, mengapa United tidak boleh menampilkan intensiti sebegini setiap minggu? Mereka perlu segera kembali ke prestasi terbaik walaupun kempen Liga Perdana Inggeris United sudah dianggap mengecewakan.
United sudah menjangkakan kesukaran apabila memecat pengurus di pertengahan musim dan menggantikannya dengan seseorang yang membawa sistem dan gaya permainan yang berbeza tanpa sokongan kewangan atau masa persediaan yang cukup. Tetapi setidaknya, mereka berjaya mengatasi cabaran di Goodison Park walaupun ia dibantu dengan sedikit tuah.
Bagaimana United Bangkit?
Buat pertama kali sejak kekalahan kepada Brighton, Bruno Fernandes kembali bermain di barisan serangan. Keputusan ini perlu dilakukan memandangkan United telah kehilangan kreativiti di bahagian hadapan selama beberapa minggu.
Namun, keputusan ini juga mengingatkan mengapa Amorim sebelum ini menurunkan Fernandes lebih ke bawah. Pemain tengah Portugal itu adalah antara segelintir pemain United yang mempunyai kemahiran teknikal untuk membawa bola dari bahagian pertahanan ke bahagian serangan. Tanpanya di posisi tersebut, United gagal menjaringkan gol dalam separuh masa pertama untuk kali ke-20 dalam 26 perlawanan.
Tetapi apabila Alejandro Garnacho dimasukkan pada separuh masa kedua dan Fernandes kembali ke tengah, United kembali hidup. Mereka menguasai bola dengan lebih baik, mencipta lebih banyak ancaman dan kapten mereka turut menjaringkan gol.
United memerlukan kreativiti Fernandes di barisan hadapan tetapi mereka juga memerlukan kemampuannya untuk mengawal permainan di bahagian tengah. Masalahnya, dia tidak boleh berada di dua tempat serentak. Jika United mempunyai 11 Fernandes di atas padang, mungkin mereka tidak akan berada dalam situasi sukar ini.