Kebijaksanaan Man Utd Dipersoal, Jual Baju Pun Tak Pandai

Manchester United dianggap sebagai salah sebuah kelab gergasi bola sepak dunia. Namun pengurusan caca marba kelab itu daripada proses jual beli pemain sehingga penjualan cenderahati termasuk jersi replika kini menyebabkan kebijaksanaan kelab itu dipersoal.

Seperti semua sedia maklum, United telah melengkapkan pembelian Rasmus Højlund pada 6 Ogos lalu. Namun peminat yang mahukan jersi Man Utd dengan nama pemain itu tertera di belakang terpaksa menunggu lebih sebulan untuk mendapatkannya.

Ini kerana kedai rasmi Man United yang bertanggungjawab mengedar jersi kelab untuk penyokong tidak mempunyai stok huruf ‘ø’.

Penyokong yang kecewa menyifatkan kelab tidak kompeten selepas dimaklumkan Old Trafford Megastore masih menanti stok huruf Denmark tersebut, sebelum boleh menjual jersi No.11 yang tertera nama pemain itu.

Sebahagian daripada penyokong menyifatkan isu itu adalah kes terpencil. Namun ada juga yang menyifatkan ia adalah indikasi bagaimana pihak pengurusan United culas sehingga tidak mampu menangani perkara paling asas.

Isu sebegini dianggap memalukan buat kelab dengan reputasi seperti United. Isu ini juga ibarat menambah garam kepada luka United yang berhadapan pelbagai masalah di dalam dan luar padang – membabitkan prestasi dan disiplin pemain.

Tiba di Old Trafford dengan nilai £72 juta dari Atalanta , Højlund dianggap sebagai antara pembelian utama United pada jendela perpindahan musim panas lalu, selain Mason Mount, Andre Onana dan Sofyan Amrabat yang didatangkan secara pinjaman.

Pemain itu melakukan penampilan pertamanya untuk United ketika tewas 3-1 kepada Arsenal sebelum liga berehat untuk memberi laluan kepada perlawanan antarabangsa.

Isu huruf ‘ø’ di kedai penjualan cenderahati United akhirnya selesai pada Khamis lalu. Tetapi untuk penyokong menanti sehingga sebulan, ia masih dianggap sebagai melucukan.

Bijakkah Man Utd?

BACA:  Ralf Rangnick Dedah Ada Pemainnya Yang Menolak Untuk Berada Dalam Skuad Bertemu Aston Villa