Kegagalan Menyempurnakan Sepakan Penalti Bertemu Switzerland Akan Jadi Hal Paling Menghantui Jorginho

Pemain midfield Itali, Jorginho mengaku yang beliau masih kecewa kerana gagal menyempurnakan sepakan penalti ketika aksi bertemu Switzerland di peringkat kumpulan sebelum ini.

Memandangkan Itali tersingkir dari pusingan kelayakan Piala Dunia, Jorginho mendedahkan yang hal itu akan menghantui beliau sepanjang hayatnya.

Ia jelas sekali bukan hari yang baik untuk skuad kendalian Roberto Mancini dengan mereka tewas 1-0 di tangan North Macedonia di Renzo-Barbera stadium di Palermo awal pagi tadi.

Kekalahan itu menyebabkan Itali sekali lagi gagal untuk layak beraksi di pentas Piala Dunia selepas mereka turut melakukan hal yang sama pada edisi sebelum ini.

Gol jaringan Aleksandar Trajkovski pada masa kecederaan permainan sudah cukup untuk memastikan North Macedonia menyingkirkan Itali, seterusnya menghidupkan peluang untuk mereka beraksi di pentas Piala Dunia Qatar nanti.

Ia jelas menyakitkan untuk skuad Itali apa lagi selepas memikirkan yang mereka baru sahaja muncul sebagai Juara Eropah pada musim panas baru-baru ini.

Itali yang hanya mampu mengakhiri aksi peringkat kumpulan C di kedudukan kedua di belakang Switzerland, terpaksa beraksi di pusingan play-off selepas sekadar mencatatkan empat seri dari lima perlawanan terakhir mereka.

Dua detik penting untuk Juara saingan Euro 2020 itu ketika pusingan kelayakan peringkat kumpulan adalah ketika beraksi bertemu Switzerland.

Pemain midfield Chelsea, Jorginho gagal untuk menyempurnakan sepakan penalti dalam kedua-dua aksi bertemu Switzerland di peringkat kumpulan.

Dua sepakan penalti itu mungkin boleh mengubah kedudukan pada ketika ini dan berpotensi untuk membawa Itali terus layak ke Piala Dunia andai beliau mampu sempurnakannya.

Melihat skuad Itali gagal untuk layak ke Piala Dunia, Jorginho yang sedang beremosi tampil mengakui yang kegagalan beliau menyempurnakan sepakan akan menghantui beliau sepanjang hayatnya.

“Ia sukar untuk dijelaskan apa yang berlaku.”

Jelas Jorginho kepada RAI Sport.

“Ia sangat menyakitkan. Sejujurnya saya masih tak percaya dengan apa yang sudah berlaku.”

“Saya tak fikir kami kekurangan kreativiti, dengan kami kerap mendominasi permainan dan cipta banyak kesempatan. Malang sekali, kami gagal untuk habiskan mereka.”

“Kami bermain permainan yang bagus, kami muncul sebagai Juara Eropah musim panas lalu, tapi malangnya dalam beberapa perlawanan terakhir, kami buat kesilapan kecil dan gagal untuk perbaiki kesilapan itu. Mereka berjaya lakukan perubahan.”

“Ia sangat menyakitkan ketika saya memikirkan tentang itu (gagal sempurnakan sepakan penalti), kerana saya masih fikir tentangnya dan ia akan menghantui saya sepanjang hidup saya.”

“Dua kali tampil dan gagal untuk bantu pasukan kamu dan negara kamu ia dianggap sesuatu yang saya akan bawa selama-lamanya, dan ia akan membebani saya.”

“Orang kata kami perlu bangkit dan teruskan saja, tapi ia sukar.”

Selepas wisel penamat dibunyikan, pengurus Itali, Roberto Mancini menyatakan yang tersingkir awal dan tak layak ke Piala Dunia merupakan kekecewaan terbesar sepanjang kariernya sebagai pengurus.

Bahkan, ketika ditanya adakah beliau akan meneruskan kariernya sebagai pengurus Itali, Mancini menyatakan bahawa:

“Kita akan lihat. Saya rasa semua orang sangat kecewa sekarang untuk membincangkan soal masa depan.”

“Seperti Euro yang dianggap sebagai kenangan paling manis dalam hidup saya, yang ini pula dianggap kegagalan terbesar dalam hidup saya. Kita tak boleh cakap apa-apa, itulah bola sepak, kadang kala hal menakjubkan akan berlaku dan ia berlaku.”

“Kami tak sepatutnya ada di sini pada awalnya, tapi kami lakukan segalanya yang kami mampu untuk menang dan memang susah walau untuk bercakap tentang itu.”

“Kemenangan di Euro jelas sekali sangat berhak untuk kami menangi, kami bermain permainan yang hebat. Kemudian ada keberuntungan yang kami dapat dalam pertandingan itu dan kini semuanya terbalik dengan nasib kami tak begitu baik.”

“Banyak benda yang diluar jangkaan telah berlaku sejak dari September hingga ke hari ini.”

“Kami dominasi kumpulan, apa yang kami perlukan adalah detik terbaik untuk terus ke depan, tapi tak ada satu pun yang berhasil. Malam ini, malang sekali kerana kami bolos pada minit ke-92 permainan.”

“Ini merupakan kumpulan pemain yang bagus dan saya turut bersimpati dengan mereka.”

Sumber: SPORTbible

BACA:  Chelsea Terlalu Bergantung Kepada Penalti?