Kehidupan ‘Kedua’ Sandro Tonali: Sokongan, Perjuangan dan Kebangkitan Semula

Sandro Tonali akhirnya sedar betapa seriusnya masalah ketagihan judinya selepas dikenakan penggantungan 10 bulan daripada bola sepak. Pemain tengah Newcastle United itu mengakui bahawa dia kini benar-benar memahami harga yang perlu dibayar atas kesilapannya.

Tonali digantung dari Oktober 2023 hingga Ogos 2024 kerana melanggar peraturan perjudian, termasuk bertaruh ketika masih di AC Milan dan selepas menyertai Newcastle, kelab yang membelinya dengan harga £55 juta.

Selepas hampir setahun, hanya menjalani latihan tanpa dapat bermain dalam perlawanan rasmi, Tonali akhirnya kembali beraksi pada Ogos 2024. Sejak Disember, dia semakin menyerlah dalam pasukan Newcastle apabila diberi peranan baharu sebagai pemain tengah bertahan (No.6).

Tonali percaya kehidupannya kini sudah berubah sepenuhnya. Selain berusaha mengawal ketagihan perjudian yang pernah dianggap sebagai “penyakit” oleh ejennya, Beppe Riso dia juga berjaya mengurangkan kebergantungannya pada telefon bimbit.

Dalam satu temu bual bersama La Repubblica, pemain berusia 24 tahun itu menggambarkan perubahan drastik dalam hidupnya.

“Ia benar-benar seperti kehidupan pertama dan kehidupan kedua. Gaya hidup saya sebelum ini sangat negatif. Saya menutup diri daripada semua orang dan ini mengubah cara saya melayan orang di sekeliling saya – termasuk keluarga dan rakan-rakan. Saya begitu di rumah, di padang latihan, di mana-mana sahaja.

“Tetapi hari ini, saya seorang yang berbeza. Saya lebih terbuka, lebih penyayang dan lebih pemurah. Saya tidak lagi keseorangan di atas padang.”

Proses Pemulihan: Psikologi dan Kesedaran Diri

Sebagai sebahagian daripada proses pemulihannya, Tonali mendapatkan bantuan pakar psikiatri peribadi di Itali, Gabriele Sani serta ketua psikologi Newcastle, Dr Ian Mitchell. Melalui sesi terapi, dia mula memahami bagaimana dia boleh terjerumus dalam ketagihan judi dan bagaimana kehidupan mewah sebagai pemain bola sepak menjadikannya tidak sedar akan kesan buruk tabiat tersebut.

“Sepanjang tempoh penggantungan, saya banyak meluangkan masa dengan pakar psikologi,” kata Tonali.

“Tugas mereka adalah membantu saya memahami bagaimana saya boleh terjebak. Biasanya, seseorang hanya menyedari masalah mereka apabila kehilangan sesuatu yang besar seperti keluarga, pekerjaan atau gaji.

“Tetapi dalam kes saya, kestabilan kewangan membuatkan saya tidak sedar betapa seriusnya masalah ini.”

Menariknya, Tonali mendedahkan bahawa pengambilan ubat bukanlah pilihan baginya kerana kebanyakan ubat untuk ketagihan judi mengandungi bahan terlarang dalam sukan profesional.

“Proses pemulihan saya sangat sukar,” katanya. “Saya tidak boleh mengambil ubat tertentu kerana 95% daripadanya akan menyebabkan saya gagal ujian doping. Jadi, semuanya bergantung pada kekuatan mental – ia mengambil masa berbulan-bulan, dengan bantuan pakar psikologi dan psikiatri.

“Dalam dua bulan pertama, saya benar-benar terasing daripada semua orang. Tetapi apabila saya mula kembali ke kehidupan normal, berlatih setiap hari tanpa dapat bermain, saya sedar bahawa saya sedang membayar harga atas apa yang telah saya lakukan.”

Newcastle Berhak Mendapat Pujian atas Sokongan Mereka

Sukar untuk membayangkan cabaran psikologi yang dihadapi Tonali sepanjang 10 bulan penggantungannya. Dia sendiri tidak sedar betapa seriusnya ketagihan itu sehinggalah dia dihalang daripada melakukan perkara yang paling dia cintai iaitu bermain bola sepak.

Newcastle United layak mendapat penghargaan atas cara mereka menangani masalah ini. Dengan jumlah pelaburan besar yang mereka laburkan untuk mendapatkan Tonali, mereka boleh sahaja berasa kecewa dan marah. Namun, jika ada perasaan sedemikian, ia tidak pernah ditunjukkan secara terbuka.

Sebaliknya, kelab itu memilih untuk memberi sokongan penuh kepada Tonali. Eddie Howe (ketua jurulatih), Dan Ashworth (pengarah sukan ketika itu), dan Amanda Staveley (bekas pemilik bersama) memainkan peranan besar dalam memastikan aspek kemanusiaan diutamakan melebihi kepentingan bola sepak.

Newcastle memberikan sokongan tanpa syarat kepada Tonali sepanjang penggantungannya dan kini dia membalas kepercayaan mereka dengan persembahan cemerlang di atas padang.

Walaupun perjuangannya melawan ketagihan masih berterusan, Tonali kini melihat dirinya sebagai seorang yang telah berubah.

BACA:  Insiden Ngeri Jean-Philippe Mateta di Piala FA