Keirin Adalah Sasaran Pingat Sebenar, Sprint Adalah Acara Pemanas Badan – John Beasley

Dua jaguh lumba basikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom telah tersingkir daripada pemburuan pingat emas acara sprint di Velodrome Izu, Tokyo, selepas kedua-duanya tersingkir pada peringkat 1/8.

Dalam perlumbaan pertama, Azizulhasni tewas kepada pelumba dari Belanda, Jeffrey Hoogland yang merekodkan catatan masa 9.831 saat, dengan kelajuan purata 73.238 km/j, 0.040 saat di depan pelumba negara.

Shah Firdaus pula tewas dalam perlumbaan berikutnya juga kepada pelumba Belanda, Harrie Lavyersen, ketinggalan 0.449 saat di belakang pemenang yang merekodkan catatan 9.645 saat, dengan kelajuan purata 74.728 km/j.

Kekalahan kedua-dua pelumba negara ini memaksa mereka beraksi di pusingan penebusan, atau repechage.

Azizulhasni terlebih dahulu beraksi di pusingan ini, menentang pelumba Great Britain Jason Kenny dan wakil Jepun, Yuta Wakimoto. Sebaik loceng dibunyikan menandakan perlumbaan memasuki pusingan yang terakhir, Azizulhasni mula memecut dan meninggalkan Wakimoto, namun tidak dapat mengejar Kenny yang mencatatkan masa 10.066 saat, 0.042 saat di depan pelumba negara.

Tidak lama kemudian, Shah Firdaus pula mempertaruhkan kayuhan menentang dua pelumba mat saleh – Sebastien Vigier dari Perancis, dan Sam Webster dari New Zealand.

Seawal masuk pusingan kedua, Webster sudah mula cuba menjarakkan jurang daripada kedua-dua pelumba ini, namun ketika menghampiri garisan penamat, pelumba New Zealand ini bagaikan dapur yang kehabisan gas dan tidak mampu mengekalkan kelajuan, lalu dipintas oleh Vigier yang melakukan catatan masa 10.169 saat, 0.101 dan 0.133 di depan masing-masing Webster dan Shah Firdaus.

Dengan kekalahan dalam pusingan repechage ini, secara rasminya cabaran negara dalam acara sprint di dalam temasya Olimpik Tokyo 2020.

Walaubagaimanapun, seluruh rakyat masih tidak perlu risau kerana acara sprint ini hanyalah acara pemanas badan buat kem Malaysia, dengan keirin menjadi acara sasaran pingat emas yang sebenar.

Dalam satu kenyataan pada awal hari ini yang dikeluarkan oleh jurulatih berbasikal trek negara, John Beasley, dia mengatakan bahawasanya dia sangat bangga dengan anak didiknya tanpa mengira keputusan dalam acara sprint.

“Kepada semua rakyat Malaysia, aku sangat bangga dengan mereka ni, tak kisahlah apa keputusan hari ini (acara sprint), keirin adalah acara yang kita sasarkan untuk menang bila tiba di Tokyo.

“Sprint sentiasa menjadi acara untuk kita mencari rentak sebelum kita beraksi di keirin.

“Kita mempunyai pelumba yang paling kecil di dalam dunia dan sangat sukar untuk menumpaskan gergasi apabila peraturan yang digunakan sekarang ini, sangat memberikan kelebihan kepada atlet yang mempunyai saiz fizikal yang lebih besar.

“Ini adalah kerana cara peraturan sprint berubah dalam tempoh beberapa tahun ini, dan membenarkan atlet yang lebih besar dan lebih berat untuk mempunyai kelebihan yang sangat tinggi, kerana gear lumba menjadi sangat besar, yang nyata menyenangkan pelumba yang lebih besar yang kini kira-kira seberat 100kg.

“Hal ini kerana acara sprint adalah tentang pecutan, berbadan lebih besar dan lebih berat sangat membantu dalam acara ini tambahan lagi dengan gear yang sebesar sekarang ini.

“Acara keirin adalah acara yang berbeza, acara ini sangat jauh beza dia daripada acara sprint.

“Acara ini tidak bergantung kepada pelumba punya pecutan semata-mata, ia adalah acara yang berkisar tentang kelajuan dan kekuatan, serta pelancaran taktikal, dan di sinilah di mana terletaknya kecemerlangan Malaysia.

“Fasa pecutan sangatlah sedikit kerana kita berada dalam perlumbaan yang meningkatkan kelajuan daripada 70 ke 80 km/j, dan ia tidak memberikan kelebihan kepada pelumba yang besar dan berat.

“Kami datang ke sini untuk memenangi keirin dan kita masih lagi berada di landasan yang betul.

“Aku cuma nak kamu semua mendapatkan kenyataan yang jujur dan seimbang, secara terus daripada mulut jurulatih.”

Begitu panjang lebar surat Beasley buat seluruh rakyat Malaysia.

Apapun, Beasley pasti lebih memahami dan mengenali kedua-dua pelumba di bawah kendaliannya ini dan sebagai rakyat Malaysia, tugas kita adalah untuk memberikan sokongan tanpa putus buat dua jaguh basikal negara ini.

BACA:  Imbas Semula Aksi Datuk Azizulhasni Daripada Awal Sehingga Menggenggam Pingat Perak Dalam Keirin