Kejuaraan Arne Slot di AZ “Yang Dirampas”: ‘Ia Masih Menyakitkan Kami Setiap Hari’

Lima tahun telah berlalu sejak musim gemilang AZ berakhir secara mengejut kerana pandemik Covid-19. Ketika itu, pasukan kendalian Arne Slot telah menewaskan ADO Den Haag dan menyamai pungutan mata dengan Ajax untuk berada di puncak Eredivisie Belanda.

AZ tampak seperti bakal juara. Slot telah menyuntik semangat tanpa gentar dan corak permainan yang agresif sehingga keyakinan mereka semakin kukuh dari minggu ke minggu. Apa yang menjadikan kisah ini lebih luar biasa ialah Slot, dalam musim pertamanya sebagai ketua jurulatih di peringkat tertinggi berjaya menyaingi pencabar-pencabar lain dengan pasukan yang sebahagian besarnya terdiri daripada pemain akademi.

“Kami semua merasakan ia mungkin berlaku,” kata Pascal Jansen, penolong jurulatih AZ ketika itu.

Namun, impian itu musnah. Sebelum perlawanan menentang Den Haag pada 7 Mac 2020, pemain AZ sudah merasakan sesuatu yang tidak kena apabila buat pertama kalinya mereka diberitahu supaya tidak berjabat tangan dengan pihak lawan berikutan kebimbangan mengenai penyebaran virus.

Enam minggu kemudian, Eredivisie menjadi liga utama pertama di Eropah yang membatalkan musimnya akibat krisis pandemik. Buat pertama kali dalam sejarah, tiada juara diumumkan. Bagi mereka yang terlibat dengan AZ, keputusan ini meninggalkan luka yang masih belum sembuh.

AZ dan Tradisi ‘Big Three’ di Belanda

Secara tradisinya, AZ bukanlah kelab yang dijangka memenangi kejuaraan liga. Kelab itu berpusat di Alkmaar, hanya 40 minit pemanduan dari Amsterdam. Mereka sentiasa berada di bawah bayang ‘Big Three’ bola sepak Belanda iaitu Ajax, PSV Eindhoven dan Feyenoord.

Namun, dalam tempoh 60 tahun yang lalu, hanya 2 kelab di luar 3 gergasi itu yang pernah menjuarai Eredivisie: AZ dan FC Twente. AZ sendiri hanya pernah menjuarainya 2 kali iaitu pada 1981 dan 2008-09. Di bawah bimbingan Louis van Gaal pada 2009, AZ menampilkan corak permainan serangan balas yang berbahaya, didorong oleh ketajaman Mounir El Hamdaoui serta kebijaksanaan Mousa Dembélé dan Maarten Martens.

Selepas itu, AZ jarang memberikan ancaman kepada kelab-kelab besar, sehinggalah musim luar biasa di bawah Slot pada 2019-20. Itulah sebabnya rasa kecewa dan kesedihan akibat pembatalan liga masih menghantui mereka, meskipun ada kesedaran bahawa isu pandemik jauh lebih besar daripada bola sepak.

“Musim itu menyakitkan ramai orang,” kata Brian Wijker, seorang penyokong setia AZ yang kini menjadi penulis dan podcaster tentang kelab itu. “Kami fikir tentangnya setiap hari kerana, tidak seperti Ajax, kami tidak mendapat peluang sebegini setiap tahun. Ia luka yang tidak akan sembuh sehingga kami memenangi trofi.”

Permulaan yang Tidak Diharapkan

Tiada siapa yang menjangkakan AZ akan bersaing untuk kejuaraan musim itu. Mereka kehilangan pemain berbakat, Guus Til yang dijual ke Spartak Moscow dengan harga €18 juta. Pemilihan Arne Slot sebagai ketua jurulatih juga pada awalnya mengecewakan penyokong kerana beliau hanya dinaikkan pangkat dari jawatan penolong jurulatih selepas John van den Brom meninggalkan kelab.

Namun, Slot segera membuktikan dirinya. Pada hari pertama sebagai ketua jurulatih, beliau memberikan ucapan yang memberi kesan mendalam kepada para pemain. Dengan pengalaman bertahun-tahun mengkaji falsafah Pep Guardiola dan ilmu yang diperoleh semasa menjadi pemain serta jurulatih di Cambuur, Slot membawa pendekatan taktikal yang segar dan moden.

Ketika itu, AZ memiliki pemain veteran seperti Ron Vlaar, yang hampir bersara akibat kecederaan lutut. Namun, selepas menjalani pembedahan keenamnya, beliau memilih untuk kekal kerana tertarik dengan idea bermain di bawah Slot.

“Saya teruja dengan jurulatih baharu. Dia mahu kami bermain dengan tekanan tinggi dan tenaga yang banyak. Kami berlatih dengan sangat keras,” katanya.

Pemain muda pula semakin menyerlah terutama Teun Koopmeiners, yang berusia 21 tahun tetapi menjadi pemimpin di bilik persalinan dan bertindak sebagai jambatan antara jurulatih dan pemain.

Bintang muda AZ ketika itu, Myron Boadu juga mendapat kepercayaan penuh daripada Slot. Penyerang berusia 18 tahun itu telah menolak tawaran daripada Arsenal untuk kekal di AZ, dan keputusannya ternyata berbaloi.

“Jurulatih datang ke rumah saya dengan jersi No.9 dan berkata dia percaya kepada saya tetapi dengan jersi ini datang tanggungjawab besar,” kata Boadu. “Ia satu penghormatan!”

Taktik dan Gaya Permainan Slot

Di bawah Slot, AZ mula bermain dengan corak bola sepak yang agresif dan bertenaga. Mereka mengamalkan pressing tinggi, sering menyerang dari pelbagai sudut dan menggunakan formasi fleksibel yang mengelirukan lawan. Slot turut mengubah latihan harian.

“Biasanya, kami bermain ‘square’ di awal latihan untuk berseronok. Tetapi Slot meningkatkan tahap kesukaran dan menuntut hantaran yang sempurna berdasarkan kedudukan lawan,” kata Fredrik Midtsjo. “Dari situ, kami tahu dia akan menjadi jurulatih yang hebat.”

Sistem taktikalnya membuahkan hasil. AZ mengejutkan PSV Eindhoven dengan kemenangan 4-0 pada Oktober sebelum menewaskan Ajax 1-0 pada Disember dalam perlawanan pertama di stadium mereka selepas insiden bumbung runtuh. Gol kemenangan lewat permainan oleh Boadu menyamakan pungutan mata mereka dengan Ajax di puncak liga.

Momentum terus memihak kepada AZ. Pada Mac 2020 mereka menghadapi Ajax sekali lagi dalam perlawanan penting di Amsterdam. Slot merancang strategi khusus untuk mengeksploitasi garisan pertahanan tinggi Ajax. Taktik itu berjaya. AZ menang 2-0 hasil jaringan Boadu dan Oussama Idrissi.

“Inilah saat kami sedar bahawa kami cukup bagus untuk memenangi liga,” kata Midtsjo.

AZ kini berada di puncak liga bersama Ajax, tetapi situasi mula berubah dengan pantas.

Kejutan Pandemik dan Keputusan Tragis

Ketika kes Covid-19 semakin meningkat di Belanda, Slot dan pasukannya masih berharap liga akan diteruskan.

“Jurulatih beritahu kami bahawa terlalu banyak wang telah dibelanjakan, jadi pembatalan liga mungkin tidak berlaku,” kenang Boadu.

Namun beberapa minggu kemudian, Eredivisie dibatalkan. Keputusan itu bukan sahaja menghancurkan impian AZ untuk menjulang kejuaraan tetapi juga merampas tempat automatik mereka ke Liga Juara-Juara, yang diberikan kepada Ajax atas perbezaan gol.

“Kami benar-benar yakin kami boleh memenanginya jika diberikan sedikit lagi masa,” kata Midtsjo.

Lebih menyedihkan, skuad AZ berpecah selepas pandemik. Idrissi berpindah ke Sevilla, Koopmeiners ke Atalanta, Boadu ke Monaco dan ramai lagi meninggalkan kelab. Slot sendiri dipecat pada Disember 2020 selepas berbincang secara rahsia dengan Feyenoord.

Hari ini, melihat Slot berjaya di Liverpool bukanlah satu kejutan, tetapi di AZ, kenangan pahit musim 2019-20 masih menghantui mereka.

“Kami tidak akan tahu apa yang mungkin berlaku jika liga tidak dibatalkan,” kata Brian. “Tetapi, memikirkan apa yang boleh terjadi dengan kumpulan pemain berbakat ini… itu menyakitkan setiap hari.”

Baca Juga

Baca Juga