Everton, Liverpool serta ketua jurulatih Liverpool, Arne Slot dan pembantunya, Sipke Hulshoff telah didakwa oleh Persatuan Bola Sepak England (FA) susulan insiden dalam perlawanan Derbi Merseyside.
Perlawanan pada hari Rabu itu berakhir dengan kekecohan antara pemain kedua-dua pasukan di Goodison Park selepas James Tarkowski menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-98. Slot dan Hulshoff turut dilayangkan kad merah selepas wisel penamat telah dibunyikan.
FA mendakwa kedua-dua kelab gagal mengawal pemain serta staf teknikalnya daripada bertindak secara tidak wajar atau provokatif selepas tamat perlawanan.
Slot dan Hulshoff juga dituduh menggunakan kata-kata kesat atau bersikap biadab terhadap pegawai perlawanan. Hulshoff menghadapi tuduhan tambahan kerana insiden lain selepas menerima kad merahnya.
Semua pihak yang terlibat diberi tempoh sehingga Rabu, 19 Februari untuk memberi maklum balas terhadap tuduhan ini. Hukuman yang boleh dikenakan termasuk denda atau larangan berada di tepi padang.
Gol Tarkowski mencetuskan kegembiraan besar di kalangan penyokong tuan rumah, malah ada yang memasuki padang sebelum diarahkan kembali ke tempat duduk mereka.
Selepas wisel penamat, Abdoulaye Doucoure meraikan gol di hadapan penyokong Liverpool, menyebabkan Curtis Jones tidak berpuas hati dan bertindak menolaknya. Ia telah mencetuskan pergaduhan yang melibatkan ramai pemain dari kedua-dua pasukan. Doucoure dan Jones akhirnya dibuang padang selepas menerima kad kuning kedua daripada pengadil, Michael Oliver.
Slot dan Hulshoff juga bersemuka dengan Oliver sebelum mereka turut diarahkan keluar. Slot mengakui pada hari Jumaat bahawa dia terlalu mengikut emosi.
Dalam perlawanan itu, Beto meletakkan Everton di hadapan pada separuh masa pertama sebelum Alexis Mac Allister menyamakan kedudukan. Mohamed Salah kemudian menjaringkan gol untuk memberikan Liverpool kelebihan pada minit ke-73 tetapi Tarkowski memastikan derby terakhir di Goodison Park berakhir dengan keputusan seri 2-2.