Kelab Premier League Mengundi Haramkan Penajaan Berkaitan Dengan Pemilik Kelab

Kelab Premier League telah mengundi untuk mengharamkan dan menghalang perjanjian penajaan yang lumayan dari syarikat penajaan yang berkaitan dengan pemilik kelab selepas pengambilalihan Newcastle United oleh saudagar Arab Saudi yang mempunyai kekayaan yang tidak terbatas.

Sebanyak 18 daripada 20 kelab Premier League telah mengundi menyatakan sokongan kepada langkah pengharaman ini dalam satu mesyuarat tergempar yang diadakan pada hari isnin.

Sudah pasti Newcastle United yang menjadi punca kepada situasi ini membuat undian untuk menentang cadangan ini manakala Manchester City pula senada membuat undian untuk menolak. Menjadikan kedudukan undian 18-2.

Newcastle United dan Manchester City bukan sahaja menolak malahan mempersoalkan kesahihan dan keperluan kenapa langkah seperti ini perlu dibuat.

Undian yang disokong oleh 18 kelab lain ini hanya bersifat sementara kerana pengharaman ini hanya berkuatkuasa untuk tempoh sebulan sebelum isu ini dibincangkan secara mendalam.

Ini bermakna dalam tempoh sebulan ini tidak akan ada perjanjian penajaan dengan syarikat yang berkait rapat dengan pemilik kelab.

Dengan kata lain nak halang Newcastle United dari meterai perjanjian dengan syarikat yang ada kaitan dengan Public Investment Fund (PIF) yang mempunyai 80 peratus pegangan saham Newcastle.

Minggu lalu, pemilik Leeds United, Andrea Radrizzani berkata peraturan Financial Fair Play (FFP) wajib dikuatkuasakan ketika pengambilalihan bagi memastikan 20 kelab Premier League ‘memainkan permainan yang sama (playing the same game)’.

Peraturan FFP Premier League membenarkan kelab mencatatkan kerugian maksimum sehingga £105 juta dalam tempoh tiga tahun secara berturutan.

The league mengatakan mereka menyetujui pengambilalihan Newcastle setelah mendapat “jaminan yang mengikat secara sah” bahawa negara Arab Saudi tidak akan mengawal kelab itu.

PIF yang bertanggungjawab menyediakan 80% dana untuk perjanjian itu dilihat terpisah dari negara Arab Saudi dan urusniaga ini dipersetujui walaupun Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman, disenaraikan sebagai pengerusi PIF.

PIF mempunyai aset £250 bilion sekaligus menjadikan Newcastle salah satu kelab terkaya di dunia.

Bukan rahsia lagi sebenarnya, sememangnya terdapata beberapa kelab utama Eropah mempunyai tawaran penajaan yang dikaitkan dengan pemiliknya.

Stadium, kompleks latihan dan baju Manchester City semuanya telah ditaja oleh Etihad, syarikat penerbangan Abu Dhabi. Pemilik Manchester City dari Abu Dhabi menguasai pegangan kelab pada tahun 2008.

City berjaya membatalkan larangan dua tahun dari pertandingan kelab Eropah kerana melakukan pelanggaran peraturan Financial Fair Play setelah mereka dibebaskan dari semua tuduhan besar mengenai manipulasi perjanjian penajaan di Mahkamah Rayuan Timbang Tara sukan tahun lalu.

Penyiasatan Premier League sendiri terhadap City kerana melanggar peraturan FFP masih belum dapat disimpulkan.

Terdapat peraturan secara domestik dan di seluruh pelusuk Eropah mengenai apa yang boleh anda laburkan.

Ini bertujuan untuk memastikan pelaburan dilakukan memfokuskan kepada menjana pendapatan, mengawal kos dan penggunaan wang secara tidak terkawal untuk menguatkan kelab tidak berlaku.

Dengan kata lain, bagi menghalang para pemilik mengepam duit sesuka hati ke dalam tin milo pasukan lantas menyebabkan keseimbangan pertandingan terjejas. Seperti mana yang telah dilakukan oleh Chelsea selepas kelab gergasi London tersebut dibeli oleh Roman Abramovich.

Larangan selama sebulan atau empat minggu agak tidak pelik dan macam tak kena je kerana tawaran penajaan pada umumnya biasanya datang pada akhir musim.

Kisah pembelian kelab yang bertapak di Newcastle Upon Tyne daripada pembesar Arab Saudi adalah satu episod yang sangat panjang dan dipenuhi dengan ranjau.

Malah pembelian kelab ini dikatakan telah mewujudkan perpecahan di kalangan pemegang taruh EPL.

18 kelab telah mengeluarkan kenyataan yang membantah pembelian ini kepada pentadbir liga EPL dan pada masa yang sama telah menghantar satu mesej bantahan yang jelas ke muka pemilik Newcastle, dan juga pemilik Manchester City, menyatakan bahawa tiada siapapun yang boleh membeli laluan mudah untuk mencapak kejayaan.

Ini kerana wujudnya peraturan yang perlu dipatuhi dan jika gagal berbuat demikian, ahli gabungan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan sewajarnya.

Lantaran daripada situasi ini, ada yang melaporkan bahawa kini terjadi perang dalaman sedang berlaku antara 20 kelab Premier League. 18 Kelab vs Newcastle + City?

FFP telah mula diperkenalkan sejak 11 tahun lalu bagi menghalang kelab berbelanja dengan tidak masuk akal dan syarat utamanya adalah setiap kelab mestilah merekodkan pendapatan sekurang-kurangnya break even atau balik modal dalam tempoh tiga tahun.

Dalam bahasa yang mudah, kelab mestilah berbelanja untuk membayar yuran pepindahan pemain baharu, gaji pemain termasuklah keuntungan dijana dari bahagian komersil dan segala kos operasi kelab mengikut kadar keuntungan kasar kelab itu sendiri.

Contohnya jika kelab A merekodkan pendapatan sebanyak €100 juta, kelab tersebut perlulah berbelanja tidak lebih daripada jumlah itu untuk tahun berikutnya. Jika sesebuah kelab tersebut masih berbelanja lebih daripada nilai tersebut, paling banyak lebihan yang dibenarkan adalah sebanyak €30 juta – tidak melebihi tiga tahun.

Jika sesebuah kelab tersebut melanggar peraturan ini, mereka boleh didenda oleh UEFA dalam bentuk kewangan, penggantungan pembelian pemain dan juga disenaraihitamkan daripada pertandingan anjuran UEFA selama beberapa tahun.

Manakala duit yang digunakan untuk membina stadium, fasiliti latihan, pembangunan remaja atau projek komuniti diberikan pengecualian dan tidak termasuk dalam FFP.

BACA:  Peminat Anggap Jersi Terbaru Newcastle Menampilkan Ciri Arab Saudi Yang Berlebih-lebihan