Kelayakan Piala Asia : OKS Percaya Bukan Satu Laluan Yang Mudah

Harimau Malaysia telah diundi dalam Kumpulan B bersama Korea Utara, Hong Kong dan Lebanon pada majlis undian Kelayakan Piala Asia 2019 di Abu Dhabi, UAE.

Ong Kim Swee mengakui kumpulan B ini cukup mencabar terutamanya Korea Utara dan Lebanon. Ranking pasukan kumpulan B :

Korea Utara – 125
Hong Kong – 140
Lebanon -148
Malaysia – 161

“Kumpulan yang cukup mencabar terutamanya kita tahu yang Korea Utara dan Lebanon merupakan pasukan pilihan bagi saya. Hong Kong juga kita tahu kebelakangan ini mereka telah menunjukkan banyak kebangkitan.

Jurulatih pasukan Harimau Malaysia itu juga percaya berada dalam kumpulan B bukanlah satu laluan yang mudah untuk layak ke peringkat seterusnya tetapi OKS tetap bersedia.

“Saya percaya, bukan satu laluan yang mudah, namun kita perlu menyiapkan diri dan memastikan segala perancangan kita untuk perlawanan-perlawanan tersebut dan juga perlawanan persahabatan dapat kita lalui tanpa sebarang kekangan.

“Untuk layak ke peringkat seterusnya, sudah tentu kita perlu beraksi secara konsisten dan harus mendapatkan mata penuh terutamanya apabila bermain di tempat sendiri. Tapi ia bukanlah satu jalan yang mudah.

Kim Swee seperti biasa sentiasa percaya dan yakin untuk mencipta kejutan selain kehadiran senjata rahsia yang masih menjadi rahsia sehingga sekarang.

“Tapi jika kita mempunyai perancangan yang rapi, pasti saya percaya yang kita mampu melakarkan sedikit kejutan. Namun kita perlu menyiapkan diri lebih awal sebelum beraksi perlawanan pertama bertemu Korea Utara di tempat lawan, 28 Mac ini.”

Jadual Perlawanan Harimau Malaysia

Skuad Harimau Malaysia bakal membuka kempen kelayakan ini berdepan Korea Utara di Pyongyang pada 28 Mac ini diikuti dua aksi di laman sendiri bertemu Lebanon pada 13 Jun dan Hong Kong pada 5 September.

Harimau Malaysia kemudian akan bertandang ke Hong Kong untuk perlawanan keempat pada 10 Oktober sebelum menanti kunjungan Korea Utara pada 14 November dan menutup kempen bertemu Lebanon di tempat lawan pada 27 Mac 2018.

Sementara itu, Kumpulan A dibarisi Kyrgyzstan, India, Myanmar dan Macau; Kumpulan C – Jordan, Vietnam, Afghanistan dan Kemboja; Kumpulan D – Oman, Palestin, Maldives dan Bhutan; Kumpulan E – Bahrain, Turkmenistan, Taiwan dan Singapura; Kumpulan F – Filipina, Tajikistan, Yemen dan Nepal.

Selepas enam perlawanan timbal balik peringkat kumpulan kelayakan itu nanti, dua pasukan teratas setiap kumpulan iaitu sebanyak 12 pasukan akan layak ke pusingan akhir Piala Asia 2019 di UAE bagi mengiringi 12 pasukan lain yang sudah pun layak awal.

12 pasukan berkenaan adalah UAE (tuan rumah), Qatar, Korea Selatan, Jepun, Thailand, Arab Saudi, Australia, Uzbekistan, Syria, Iraq, Iran dan China.

Baca Juga

Baca Juga