Keluar Kenyataan Dungu – Romelu Lukaku Dikenakan Hukuman Denda Berat

Chelsea dilaporkan bakal mengenakan hukuman denda bernilai €500,000 ke atas Romelu Lukaku atas komen kontroversi yang beliau keluarkan ketika temu bual bersama Sky Italia.

Lukaku teruk dihentam oleh para peminat selepas beliau meluahkan rasa tidak puas hatinya kepada pengurus dan kelab secara terbuka dalam temu bual tersebut.

Beliau bukan hanya mengkritik taktikal Tuchel, dengan Lukaku juga sebenarnya turut mendedahkan yang beliau mahu kembali ke San Siro.

Kerana tidak gembira dengan komen tersebut, Thomas Tuchel telah mengetepikan pemain termahal kelab itu dari diturunkan untuk beraksi ketika bertemu Liverpool kemarin.

Pengurus Chelsea itu dilaporkan bakal mengenakan satu lagi hukuman ke atas Romelu Lukaku dengan kali ini denda berat akan diberikan sebagai penalti.

Menurut sumber laporan dari La Republica, Chelsea mahu mengenakan denda bernilai €500,000 ke atas Lukaku atas komen dungu yang beliau keluarkan ketika temu bual bersama Sky Italia sebelum ini.

Ini bukanlah kali pertama Lukaku dikenakan hukuman denda berat dengan beliau turut menerima hukuman yang sama ketika kariernya bersama Manchester United.

Beliau pada ketika itu dikenakan hukuman denda bernilai £400,000 selepas terbang ke Belgium dan gagal melaporkan diri untuk sertai sesi latihan bersama skuad setan merah.

Walaupun beliau teruk dihentam atas komen dungu tersebut, sepertinya pemain berusia 28 tahun itu masih ada masa hadapan di Stamford Bridge walaupun beliau sudah meluahkan rasa cintanya yang mendalam terhadap Inter Milan.

Bercakap tentang keputusan beliau yang mahu mengetepikan Lukaku dari skuad bertemu Liverpool, Tuchel mendedahkan bahawa:

“Ia menjadi semakin kecoh, dan ia sudah terlalu hampir dengan perlawanan.”

“Jadi, saya putuskan untuk lindungi persiapan perlawanan itu dan kerana itulah mengapa dia diketepikan.”

“Sudah tentu, kami sudah bercakap, kami sudah bercakap dua kali dan dia juga sudah bercakap dengan pemain lain.”

“Dan selepas itu, kami semua perlu akur yang ia sudah terlalu hampir dengan hari perlawanan dan ia terlalu besar.”

Pengurus Jerman itu kemudiannya menambah lagi bahawa:

“Kami perlu lindungi persiapan untuk perlawanan itu.”

“Kita ada perlawanan yang besar untuk dimainkan, dan kita perlu beri sepenuh perhatian, yang mana ia sukar untuk kami lakukan walau saya sudah memutuskan keputusan ini, tapi pada padangan saya ia lebih mudah.”

“Sudah tentu ia keputusan yang sukar untuk diambil, tapi pada pandangan saya, ia memang sesuatu keputusan yang perlu diambil.”

Lukaku sudah berjaya menjaringkan tujuh gol dari semua pertandingan untuk skuad Chelsea di bawah kendalian Thomas Tuchel, sejak dari awal beliau ditandatangani pada musim panas lalu.

Beliau juga turut berjaya menjaringkan gol dalam kedua-dua perlawanan sebaik beliau diturunkan selepas berehat panjang atas masalah kecederaan.

Lukaku berkemungkinan akan diturunkan dalam perlawanan selepas ini bertemu Manchester City atau setidak-tidaknya ketika bertemu Spurs pada 24 Januari nanti.

Beliau mungkin perlu membuktikan sesuatu terlebih dahulu, dalam usahanya untuk memenangi semula hati para penyokong Chelsea yang sedang benar-benar terluka dengan kenyataan yang beliau keluarkan.

Tidak pasti apa reaksi para penyokong Chelsea ketika melihat Lukaku kembali beraksi selepas ini, namun satu hal yang pasti, bekas bintang Inter Milan itu perlu bersedia menerima reaksi buruk dari para penyokong.

Beliau berkemungkinan akan dihina, dicaci, dimaki dan pelbagai lagi pada hari beliau diturunkan nanti, dan Lukaku perlu profesional untuk abaikan hal tersebut, dan membuktikan sesuatu kepada para penyokong.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Man Utd Goyang Memikirkan 'Badi' Ronaldo Bertemu Chelsea