Tottenham Hotspur Tamatkan Kemarau Kemenangan dengan Menewaskan Brentford
Tottenham Hotspur akhirnya menamatkan kemarau 7 perlawanan tanpa kemenangan di Liga Perdana apabila berjaya menewaskan Brentford 2-0. Kemenangan ini memberikan kelegaan kepada pengurus mereka, Ange Postecoglou yang berada di bawah tekanan kerana prestasi buruk pasukan.
Sebelum ini, kemenangan terakhir Spurs di liga adalah pada 15 Disember ketika mereka menewaskan pasukan yang berada dia tangga terbawah iaitu Southampton. Prestasi Spurs semakin merosot dan menyebabkan mereka turun ke kedudukan ke-16 sebelum perlawanan ini bermula.
Spurs memperoleh gol pertama menerusi jaringan sendiri oleh Vitaly Janelt yang tanpa sengaja menolak masuk sepakan sudut dari Son Heung-min pada minit ke-29. Walaupun beraksi dengan barisan pertahanan yang terpaksa diubah kerana masalah kecederaan, Spurs tetap berjaya mengekang asakan Brentford. Brentford merupakan pasukan yang mempunyai rekod jaringan tertinggi di tempat sendiri pada musim ini.
Pape Matar Sarr memastikan kemenangan Spurs dengan gol kedua pada minit ke-87. Dia menyempurnakan serangan balas pantas.
Sejauh Mana Keputusan Perlawanan Ini Penting untuk Postecoglou?
Tottenham mengalami 4 kekalahan berturut-turut dalam Liga Perdana dan tewas 8 dari 10 perlawanan terakhirnya. Kemenangan ke atas Brentford amat penting untuk menamatkan rentetan keputusan buruk ini.
Namun, Spurs tidak menunjukkan aksi yang begitu meyakinkan di Stadium Komuniti Gtech. Brentford memberi tekanan menerusi hantaran lintang ke dalam kotak penalti. Mikkel Damsgaard sering menghantar bola ke kawasan berbahaya. Kepantasan Kevin Schade pula menyukarkan Pedro Porro dan Archie Gray untuk bertahan.
Namun Spurs tetap berjaya bertahan dengan baik. Antonin Kinsky melakukan satu penyelamatan cemerlang pada babak pertama untuk menafikan percubaan separuh voli dari Christian Norgaard daripada menerjah gawangnya. Spurs bernasib baik apabila sepakan sudut Son terkena belakang Janelt dan bola masuk ke dalam gawang.
Skuad Spurs kelihatan keletihan akibat jadual padat dalam pelbagai kejohanan. Selepas mendahului, Spurs berjaya mengawal permainan dengan baik dan mengakhirinya dengan lebih meyakinkan apabila Sarr menjaringkan gol kedua pada lewat permainan.
Kemenangan 2-0 ini memberi permulaan yang baik dalam minggu yang penting buat Spurs. Mereka akan berkunjung ke Anfield pada Khamis untuk mengharungi perlawanan peringkat separuh akhir kedua Piala Carabao (Spurs mendahului 1-0). Diikuti dengan perlawanan menentang Aston Villa dalam pusingan keempat Piala FA.
Jika Spurs tewas kepada Brentford, moral pasukan pasti akan lebih merosot. Kemenangan ini telah memberikan sedikit kelegaan dan membantu Spure naik ke tangga ke-14 liga.
Adakah Djed Spence Sudah Layak Menjadi Pemain Utama?
Pada minggu lepas Djed Spence terlepas perlawanan menentang Leicester City akibat kecederaan ringan yang dialaminya. Dia juga tidak layak beraksi dalam perlawanan menentang Elfsborg di Liga Europa. Ketiadaannya nyata memberi kesan, sesuatu yang agak mengejutkan memandangkan dia hanya membuat penampilan pertama dalam kesebelasan utama Spurs pada Disember lepas selepas dua setengah tahun menyertai Spurs.
Kecergasan Spence amat penting bagi perlawanan separuh akhir kedua Piala Carabao menentang Liverpool kerana Spurs berhasrat mara ke final di Wembley. Ketika Pedro Porro bergelut untuk mengawal Kevin Schade Spence berjaya mengekang Bryan Mbeumo dengan baik.
Spence menutup ruang hantaran lintang Mbeumo dan menghalangnya daripada memotong ke dalam dengan kaki kiri yang lebih dominan. Dia juga beberapa kali mengatasi pemain antarabangsa Cameroon itu dari segi kepantasan apabila Damsgaard cuba melepaskannya ke ruang terbuka.
Selain bertahan dengan baik, Spence turut memberi ancaman dalam serangan. Dalam 5 minit pertama, dia melakukan larian solo menewaskan beberapa pemain sebelum menghantar bola kepada Dejan Kulusevski, yang hampir membantu Richarlison menjaringkan gol.
Menjelang separuh masa, dia memperdaya Schade dengan satu gerakan licik yang membuka ruang untuk Richarlison. Walaupun Schade berjaya melakukan hadangan saat akhir, situasi itu hampir menyebabkan Brentford menghadiahkan Spurs sepakan penalti.
Detik terbaik Spence muncul pada minit ke-86 apabila dia menyelamatkan sepakan gunting dari Fabio Carvalho di atas garisan gol. Hanya seminit kemudian, Sarr menjaringkan gol kedua Spurs.
Dengan sumbangan berkualiti dalam serangan dan pertahanan, ada hujah kukuh bahawa Spence sepatutnya diberi tempat dalam kesebelasan utama dengan mengenepikan Porro atau Destiny Udogie.
Kehadiran Kevin Danso Meringankan Masalah Pertahanan
Spurs menghadapi perlawanan ini tanpa seorang pun bek-tengah utama. Radu Dragusin mengalami kecederaan lutut, manakala Micky van de Ven tidak diturunkan. Archie Gray dan Ben Davies terpaksa bergandingan sebagai bek-tengah buat kali pertama untuk musim ini. Kali terakhir Spurs berdepan situasi seperti ini adalah pada Januari 2024 ketika Davies dan Emerson Royal terpaksa bermain di posisi bek-tengah sebelum Dragusin tiba dari Genoa.
Perlawanan di Brentford semalam mungkin kali terakhir Spurs perlu beraksi tanpa bek-tengah tulen. Pada pagi Ahad, mereka mengesahkan ketibaan Kevin Danso dari Lens menerusi pinjaman dengan kewajipan pembelian pada musim panas nanti. Danso akan tersedia untuk perlawanan separuh akhir kedua Piala Carabao di Anfield pada Khamis nanti. Jika Van de Ven juga cergas, Spurs akan berada dalam keadaan lebih kukuh di bahagian pertahanan.
Postecoglou menyatakan sebelum sepak mula bahawa Danso adalah pemain yang “sesuai” untuk kelab dan seorang “pertahanan satu lawan satu yang baik.” Keupayaan atletiknya seharusnya menjadikannya sesuai dengan sistem pertahanan garisan tinggi yang diterapkan oleh Tottenham.
Gray dan Davies mempamerkan aksi yang baik di Brentford. Mereka perlu menangani banyak hantaran lintang ke dalam kotak penalti dan berjaya melakukannya dengan berkesan.
Mungkin bahagian serangan sepatutnya menjadi keutamaan Spurs dalam tempoh akhir jendela perpindahan esok?