Kemuliaan Hati Ten Hag Yang Tetap Merendah Diri Walau Berjaya Aibkan Liverpool

Walaupun Manchester United baru sahaja membelasah seteru utama mereka, namun Erik Ten Hag tetap memilih untuk terus merendah diri dan tak mahu sombong.

Beliau tampil memberikan pandangan jujur berkait persembahan anak buahnya dalam perlawanan bertemu Liverpool malam semalam, ketika bercakap dalam satu temu bual selepas tamat perlawanan.

Kata-kata yang beliau keluarkan dalam temu bual tersebut jelas sekali memberi kelegaan kepada para penyokong Manchester United.

Gol jaringan Jadon Sancho, Anthony Martial, Fred dan Facundo Pellistri sudah cukup untuk mengesahkan kemenangan selesa 4-0 Manchester United menewaskan Liverpool.

Ia merupakan kemenangan yang sangat-sangat penting untuk menaikkan semangat para pemain Manchester United.

Walau bagaimanapun, selain mencatatkan keputusan positif dalam perlawanan tersebut, namun Ten Hag mengakui yang masih banyak hal yang perlu diperbaiki oleh skuadnya.

Beliau sedar yang anak-anak buahnya masih banyak melakukan kesilapan mudah dan hal itu perlu segera diperbaiki.

Beliau turut sedar yang Liverpool dalam perlawanan ini tidak berada di tahap terbaik mereka dan Ten Hag turut memberi amaran kepada anak-anak buahnya supaya tidak terbuai dengan keputusan perlawanan tersebut.

Bercakap kepada MUTV, Ten Hag mendedahkan bahawa:

“Sudah tentu, kami sangat berpuas hati hari ini kerana saya rasa mereka adalah pasukan yang ada semangat yang hebat dan kami tahu kami baru bermula dan tak semua betul. Tu dah tentu.”

“Kami cuba menekan, kami ada buat kesilapan ketika melakukan pressing, kami mensia-siakan beberapa kesempatan, tapi kami juga banyak mencipta peluang.”

“Saya rasa skuad kami bermain sangat berani, bermain lebih proaktif. Kami perlu bekerja lebih keras untuk kurangkan kesilapan, tapi sudah tentu kami sangat gembira dengan keputusan perlawanan pertama.”

Ten Hag menyatakan yang beliau sangat gembira dengan persembahan anak buahnya, namun beliau mengakui yang beliau masih memerlukan masa untuk mendapatkan yang terbaik.

“Saya masih nampak banyak kesilapan.”

Jelas Ten Hag.

“Kamu mungkin tak nampak itu jika dilihat pada keputusan perlawanan, mari kita berterus terang, Liverpool bermain tiga pasukan. Mereka tak berada di tahap terbaik mereka, jadi kamu tak boleh terlalu yakin dengan keputusan perlawanan ini.”

“Kami perlu lebih berhati-hati, saya dah lihat beberapa hal yang hebat. Kita ada potensi.”

Para penyokong Manchester United sangat teruja dengan komen-komen dari Ten Hag selepas tamat perlawanan tersebut.

“Pengurus macam ini yang memang kita cari dan kita perlukan. Selepas pamer aksi yang kita harapkan, dia tetap merendah diri dan dia menuntut pemain untuk berikan lebih lagi.”

“Saya suka mentaliti dia, dia tak pernah puas, dia sentiasa mahukan yang terbaik, ini lah pengurus yang kita perlukan.”

“Tewaskan Liverpool 4-0, dan dia masih rasa anak-anak buah dia tidak beraksi dengan baik. Saya hilang kata-kata.”

“Kalau Ole Gunnar Solskjaer dan Ralf Rangnick yang berjaya mencatatkan kemenangan sebesar ini, saya rasa dia dah tinggi diri.”

“Pengurus yang sangat merendah diri, saya rasa ini lah pengurus yang akan bawa kita ke puncak kejayaan.”

Ketika para pemain sedang menjalani sesi latihan di Bangkok baru-baru ini, para peminat terpukau dan teruja selepas melihat cara Ten Hag melatih anak-anak buahnya.

Peminat Teruja Melihat Ketegasan Ten Hag Ketika Sesi Latihan Bersama Skuad United

Para pemain Manchester United dipaksa untuk melakukan press-up seandainya mereka bolos ketika sesi latihan dan hal itu mencuri perhatian peminat.

Skuad kendalian Erik Ten Hag itu pada ketika ini sedang berada di Bangkok untuk jalani aksi pra-musim dan mereka semalam telah mengadakan sesi latihan terbuka di hadapan peminat.

Media dibenarkan untuk berada di padang latihan, dan tular satu video yang dikongsikan oleh Simon Stone dari BBC yang menunjukkan bagaimana cara Ten Hag mendisiplinkan pemain Man Utd.

Ten Hag menyediakan satu skuad untuk menyerang dan satu skuad untuk bertahan di hadapan 10,000 penyokong yang tak henti-henti memberi sorakan padu kepada pasukan.

Laurie Whitwell dari The Athletic menggambarkan yang pengurus berusia 52 tahun itu sangat tegas dan menetapkan peraturan yang sangat jelas.

Setiap kali ada bolos, para pemain di minta untuk melakukan press-ups dan hal itu berulang-ulang sehingga sesi latihan tamat.

Para pemain akur dan menurut sahaja kehendak Ten Hag dengan penyokong bersorak riang setiap kali melihat pemain melakukan press-up.

Para penyokong merasakan yang pemain-pemain semakin berdedikasi dan bersedia untuk memberi segalanya kepada skuad.

Video tersebut tular di media sosial dengan para penyokong sangat tertarik untuk membincangkan hal tersebut.

“Saya dulu pernah buat benda ni ketika di sekolah, pemain semua terus berdisiplin selepas itu. Saya rasa ini permulaan yang baik untuk Man Utd.”

“Ini next level berbanding Ole Gunnar Solskjaer dan Ralf Rangnick. Saya dah nampak yang skuad kita akan lebih teratur selepas ini.”

“Adakah mereka akan lakukan ini dalam perlawanan sebenar? Maaf saya cuma bertanya sebab tak pernah nampak mereka begini sebelum ini.”

“Saya sangat-sangat gembira melihat ini, ini adalah permulaan untuk melihat skuad kita semakin bagus.”

“Perkara asas sebenar dalam kehidupan adalah disiplin dan Ten Hag sepertinya sedang membentuk skuadnya untuk menjadi skuad yang lebih berdisiplin.”

Perlawanan pertama Manchester United adalah beraksi bertemu seteru utama mereka, Liverpool dengan mereka selepas itu akan ke Australia untuk beraksi bertemu Melbourne Victory, Crystal Palace dan Aston Villa.

Tyrell Malacia kekal sebagai satu-satunya pembelian United pada musim panas ini dengan pihak kelab masih gigih berusaha mendapatkan khidmat Frenkie de Jong dan Lisandro Martinez.

Christian Eriksen turut sudah bersetuju untuk sertai Manchester United menerusi perjanjian selama tiga tahun dan beliau pada ketika ini sedang melakukan ujian kesihatan berkait serangan cardiac arrest yang menimpa beliau ketika Euro 2020 tahun lalu.

Enam pemain dari skuad utama telah meninggalkan Old Trafford pada penghujung musim lalu dengan Ten Hag kini sedang menguruskan skuad yang lebih kecil berbanding skuad asal setan merah.

Dua pemain harapan United, Paul Pogba dan Nemanja Matic turut sudah meninggalkan kelab dan kini setan merah terpaksa bergantung harap kepada gandingan Fred dan Scott McTominay.

Pemain kebangsaan Brazil itu memuji kehebatan Ten Hag ketika bercakap dalam satu temu bual baru-baru ini bersama Manchester Evening News.

“Kita sudah tidak sabar untuk beraksi pada musim baru ini.”

Jelas Fred.

“Kita ada pengurus baru, Erik dan saya yakin kami akan capai pelbagai kejayaan yang hebat. Itu lah apa yang kami mahu capai. Saya harap kami akan dapat capai sasaran kami pada penghujung musim nanti.”

“Dia seorang pengurus yang hebat, sesi latihan sangat hebat, keras. Kami sasarkan untuk ikut segala kemahuan dia dalam sesi latihan harian kami.”

“Saya harap kami boleh menang di masa hadapan. Jelas sekali ia bukan mudah, ia tak akan berlaku segera. Kami semua akan lakukan yang terbaik.”

“Adalah sangat penting untuk kami ada jurulatih yang hebat. Ia beri kami jaminan dan ia banyak membantu kami. Dia sangat teliti dalam kerja dia. Ia sangat hebat untuk kami memiliki dia.”

Sumber: SPORTbible

BACA:  Arteta Sangat Yakin Mount Akan Sertai Arsenal Sebelum 'Di-Hijack' Ten Hag