Kenali Alessandro Santos – Pemain Naturalisasi dari Brazil Yang Berjiwa Samurai

Bila kita bercakap tentang pemain bola Jepun, antara pemain yang akan singgah ke dalam kepada kita adalah Keisuke Honda, Hidetoshi Nakata, Shunsuke Nakamura, Aoi Sora dan juga Akaboshi Taka, namun tidak ramai yang kenal pemain yang bernama Alessandro Santos – pemain yang dinaturalisasi dari Brazil.

Dia yang lebih dikenali sebagai Alex telah bermain hampir 100 perlawanan buat pasukan Samurai Biru tersebut dari tahun 2002 sehingga 2006.

Siapa Alex ni? Kenapa orang Brazil boleh tiba-tiba sesat di Jepun pula?

Menurut riwayat daripada Wikipedia, Alex dilahirkan pada 20 Julai 1977 di Maringa, Parana, Brazil. Seperti kebanyakan rakyat Brazil yang lain, Alex sangat meminati sukan bola sepak dan selalu bermain sukan ini sejak dia masih kecil.

Pada usianya 16 tahun, Alex dan keluarga berpindah ke Jepun dan dia menyambung pelajaran ke Sekolah Tinggi Meitoku Gijuku di Kochi serta bermain bola sepak untuk sekolahnya. Selepas tamat sekolah, Alex terus diambil untuk menyertai pasukan J1 League – liga divisyen satu di Jepun,, iaitu Shimizu S-Pulse pada tahun 1997.

Pada tahun 1999, kelabnya berjaya menamatkan liga di tangga kedua dan Alex telah dianugerahkan Pemain Terbaik J-League Tahunan. Pada peringkat Asia pula, Shimizu telah memenangi Piala Juara Antara Juara pada musim 1999-2000 dan tempat ketiga piala yang sama pada musim berikutnya.

Alex ketika beraksi buat Jepun. Gambar : Sporting Heroes

Tahun 2001 menyaksikan Alex mendapat kewarganegaraan Jepun – 8 tahun selepas dia berkelana ke negara matahari terbit tersebut. Ketika dia mendapat passport Jepun Alex sudah begitu fasih bercakap bahasa kebangsaan negara tersebut dan cukup faham akan budaya dan adat rakyat Jepun.

Pemain naturalisasi negara tu mesti tak pandai bercakap bahasa kebangsaan selain sebut ‘saya suka nasi lemak dan teh tarik’, kan?

Kehebatan Alex mengawal jentera tengah Shimizu telah membuka hati jurulatih Jepun ketika itu, Philippe Troussier, untuk memanggilnya beraksi bersama Samurai Biru dan pada 21 Mac 2002 ketika menentang Ukraine, Alex telah melakukan debut buat Jepun.

Dengan debut tersebut, Alex telah menjadi pemain yang kedua mewakili Jepun yang dilahirkan di luar Jepun, selepas Wagner Lopes, dan pemain naturalisasi kelima selepas Daishiro Yoshimura, George Yonashiro, Ruy Ramos dan juga Lopes.

Ketika kempen pusingan  akhir Piala Dunia 2002 di tempat sendiri, nama Alex sekali lagi dipilih oleh Troussier, namun dia hanya mampu tampil dalam dua perlawanan sahaja ketika Jepun berjaya layak ke suku akhir buat kali pertama.

Selepas pemergian Troussier, Jepun melantik lagenda Brazil, Zico untuk mengemudi pasukan kebangsaan mereka dan Alex, seperti biasa, tetap memenangi hati jurulatih dan dipanggil bermain untuk negara.

Bersama Zico, Alex banyak digunakan sebagai pemain tengah sebelah kiri atau bek kiri. Dalam kempen Piala Asia 2004, dia telah bermain kesemua 6 perlwanan untuk membantu pasukannya membawa pulang piala terulung di Asia itu ke Jepun.

Alex sekali lagi terpiih untuk bermain di kempen Piala Dunia pada tahun 2006 di Jerman. Dalam kempen tersebut, pasukan Jepun diletakkan bersama negara asal Alex, Brazil. Ketika bertemu negara samba yang diwakili oleh ramai pemain berstatus bintang seperti Ronaldo, Ronaldinho, Kaka dan Roberto Carlos, Alex melakukan satu assist kepada Keiji Tamada untuk meletakkan Jepun di depan, sebelum tewas 1-4.

Secara keseluruhannya, Alex telah bermain sebanyak 82 kali dan menjaringkan 7 gol untuk Jepun. Selepas 2006, Alex mengumumkan persaraan daripada bola sepak antarabangsa.

Sebenarnya Alex hampir-hampir bermain di Liga Perdana Inggeris di mana pada bulan Ogos 2002, Alex telah mendapat tawaran untuk menyertai kelab Liga Perdana Inggeris, Charlton Athletic. Akan tetapi, peluang tersebut gagal direalisasikan kerana Alex tidak berjaya mendapat visa kerana tidak bermain cukup jumlah perlawanan buat negaranya.

Di penghujung kariernya, Alex pulang ke Brazil dan bermain untuk pasukan kecil-kecillan tempatan seperti Maringa, Gremio Maringa dan PSTC sebelum bersara pada tahun 2017, pada usia 40 tahun.

BACA:  6 Sebab Kenapa Malaysia Mesti Menewaskan Timor Leste Dan Palestin Dalam Kelayakan Piala Dunia