Kenali Insan yang Telah Mengesan Bakat Kante, Vardy, Drogba Dan Haaland

Mungkin ramai yang tidak mengenali Steve Walsh, tetapi bakat yang dikorek oleh pencari bakat atau scout ini sangat-sangat dikenali seantero dunia.

N’Golo Kante, Jamie Vardy, Riyad Mahrez – antara nama besar dalam arena bola sepak pada hari ini, dibeli pada harga yang sangat rendah oleh kelab Liga Perdana Inggeris, Leicester City, dan dua daripada nama tersebut telah memberi keuntungan lebih £60 juta kepada kelab tersebut.

Pengurus lagenda Manchester United, Sir Alex Ferguson atau lebih mesra disapa Pak Alex oleh penduduk Manchester, suatu masa dahulu pernah melabelkan Walsh sebagai “orang berpengaruh yang paling penting dalam Liga Perdana.

Jika hari ini satu dunia kagum dengan aksi tajam bintang Borussia Dortmund, Erling Haaland, menjaringkan gol demi gol di atas padang, Walsh sebenarnya sudah menemukan bakat luar biasa ini pada usianya 15 tahun lagi.

Kini bertugas sebagai penasihat khas di kelab Major League Soccer, Charlotte FC, Walsh mula mencipta nama sebagai scout yang hebat selepas dia memperkenalkan Didier Drogba dan Micheal Essian kepada peminat Chelsea.

Akan tetapi, hasil kerja yang paling tak terjangkau dek akal dan mengkagumkan orang awam adalah ketika Walsh berkhidmat sebagai ketua bahagian pengambilan pemain di Leicester, di mana dia telah membantu kelab yang kerdil mencipta sejarah menjuarai Liga Perdana pada musim 2015-16 dan ini sekaligus membuktikan kebolehan unik yang ada pada dirinya.

Pada tahun 2019 dalam satu temuramah bersama The Athletic, Walsh bercerita bagaimana kali pertama dia menemukan Mahrez yang ketika itu bermain untuk kelab divisyen 2 Perancis, Le Havre, sedangkan ketika itu dia ke sana untuk melihat permainan pemain yang lain.

Selepas berbual panjang dan berbincang dengan Mahrez, perkara pertama yang Walsh perlu yakinkan Mahrez adalah Leicester bukanlah sebuah pasukan ragbi. Ini kerana Mahrez sendiri tidak pernah dengar nama pasukan Leicester City dan menyangka bahawa Walsh mahu membawa dia menyertai pasukan ragbi.

Kemudian, tup tap tup tap, Mahrez bersetuju untuk berpindah ke England dan beraksi bersama Leicester City pada harga £450,000.

Pejam celik pejam celik, tiga tahun kemudian Mahrez diangkat sebagai pemain terbaik liga pilihan pemain, PFA Player of the Year dan kemudian Leicester menerima lamaran Manchester City untuk membeli pemain ini pada harga £60juta.

Bayangkan beli pada harga tak sampai satu juta pound, dan jual pada harga £60 juta. Tolak gaji, EPF, advance, bonus semua pun Leicester masih untung besar.

Itu cerita Mahrez. Bukan Suarez tau. Mahrez.

Lebih hebat lagi, bakat pemain terbaik perlawanan akhir Liga Juara-Juara UEFA(UCL) 2021, N’Golo Kante, turut dihidu oleh Walsh, ketika pemain paling tawaduk di dunia itu bermain di divisyen 2 Liga Perancis juga.

Itu belum cerita lagi di mana Walsh adalah watak utama yang menghidu bakat Jamie Vardy, dan meyakinkan pemilik kelab untuk membeli pemain pantas seperti pelesit itu pada harga £1 juta dari kelab amatur, Fleetwood Town, ketika pemain itu berusia 25 tahun.

“Kami duk perati kat dia masa dia duk di Stocksbridge lagi dan tengok dia kemudiannya pindah ke Halifax, lepas tu pindah lagi ke Fleetwood.

“Memang aku duk ikut selalu dia ni. Akhirnya, aku bawa dia masuk,” cerita Walsh, ketika mengenangkan bagaimana dia bagaikan seorang gadis yang selalu stalk Vardy.

Bakat lain yang membawa Leicester ke puncak liga yang dikesan oleh Walsh adalah seperti Wes Morgan, Christian Fuchs, Danny Drinkwater, Mark Albrighton and Shinji Okazaki.

Kebolehan Walsh menghidu bakat yang tak terhidu oleh kelab lain yang kemudiannya menjadi bakat kelas dunia ini telah menarik perhatian kelab lain. Selepas pelbagai tawaran dipertimbangkan, Walsh akhirnya menyertai Everton sebagai Pengarah Bola Sepak, atau dalam Bahasa Inggerisnya Director of Football(DoE), pada tahun 2016.

Dalam satu temuramah, Walsh bercerita bagaimana dia berbincang kali pertama dengan pengurus Everton ketika itu, Ronald Koeman.

“Kami guna papan taktikal yang ada di sini, sebenarnya. Aku dah tanya dia apa sistem yang dia nak pakai, apa struktur yang dia nak ada, macam mana dia nak bina pasukan dan siapa watak utama dalam tu?

“Lepas tu kami audit pemain yang ada dan cuba masukkan mereka dalam kehendak Ronald, lepas tu baru kami berpakat macam mana nak jadikan kelab lagi bagus.”

Pemain yang pertama yang dibawa masuk oleh Walsh di Everton adalah Idrissa Gueye, pemain tengah yang terbukti mampu melindungi barisan pertahanan, dibeli pada harga £8juta.

Tetapi sayang seribu kali sayang. Jodoh Walsh di Everton hanya bertahan selama 18 bulan, dan dia mengakui bahawa sebenarnya dia tidak mendapat sokongan daripada kelab untuk membuat keputusan tepat.

“Masa aku kat Everton, aku dah tawarkan kat diorang Andrew Robertson dan Harry Maguire, yang mana diorang masa tu bermain untuk Hull, dan nilainya hanya £20juta untuk dua orang,” kata Walsh lagi.

Harry Maguire dan Andy Robertson. Gambar : 90min

“Everton tak mau ambil diorang. Aku dah berjaya dapatkan Jonny Evans juga sebelum dia datang ke Leicester, tapi sekali lagi diorang tak nak.

“Erling Haaland – penyerang Salzburg(ketika itu), aku dah dapat pegang budak tu dengan ayah dia untk kelab, dengan nilai perpindahan €4juta je. Kelab memang taknak back up aku.”

Kerugian besar yang amat buat Everton. Kalau hentam pemilik kelab kang, nanti dituduh rasis pula. Tapi itu lah, bakat-bakat yang dicadangkan oleh Walsh tu sudahpun menjadi bintang besar dan mencipta nama di kelab masing-masing.

Lain kali, kalau kita nampak Walsh ni tengah tengok satu-satu perlawanan, tak kira lah di Eropah ke, Amerika ke, Bagan Lalang ke, kita terus beli semua 22 pemain yang ada di atas padang tu.

Mana tahu nanti boleh jual setiap pemain tu. Investment padu ni. Kalau tak ada duit jangan risau, kita buka sistem downline dan tawarkan bonus pairing yang padu.

Ini kita cerita di lain hari.

Sumber : SportsBible

BACA:  Scholes Percaya Bertemu Chelsea Lebih Mudah Berbanding City Dan Liverpool