Kemenangan Khairul Hafiz Jantan yang dinobatkan sebagai Raja Pecut Asia Tenggara menjadi bualan dan kebanggaan seluruh rakyat Malaysia yang mengalami kemarau pingat emas acara 100 meter selama 14 tahun.
Dalam rakyat Malaysia meraikan kejayaan The Speedy Jantan itu, aksi seorang jurugambar mengejar dan memotong dengan kelajuan yang melebihi had laju kebangsaan menjadi tular kerana aksi jurugambar itu sangat mencuit hati.
Siapakah Jurugambar Berbaju Hijau Yang Mengejar The Speedy Jantan?
Jurugambar yang menjadi tular sejak semalam bernama Ahmad Iskandar Kamaruzaman, berusia 31 tahun. Beliau bertugas untuk Berita Nasional Malaysia atau BERNAMA.
Demi tugasan dan untuk mendapatkan momen dan saat terbaik kejayaan penuh bersejarah itu Ahmad Iskandar terpaksa menjadi lebih laju dari Khairul Hafiz. Beliau juga digelar Unsung Hero.
“Kalau kata unsung hero tu macam terlalu besar sebab kami jurufoto ni perakam sejarah negara. Benda yang berlaku merupakan satu kebanggaan negara. sekarang mungkin nampak biasa, tapi 10-20 tahun akan datang gambar ni akan jadi satu aset negara yang tak ternilai kerana negara berjaya lahirkan atlet yang berjaya di peringkat Asia Tenggara dan Insha Allah dunia juga,” kata beliau ketika dihubungi BERNAMA.
Perlu mengejar Speedy Jantan
“Momen seperti ini jarang berlaku untuk Malaysia ditambah pula KHJ Berjaya meraih title Raja Pecut Asia Tenggara. Pada masa ini cabaran bermula sebab KHJ memang sedang seronok meraikan kejayaannya. Dia berlari, naik ke grand stand jumpa Perdana Menteri dan Sultan Selangor, turun balik berlari lagi. Kalau boleh satu stadium dia nak pusing untuk menunjukkan betapa seronoknya dia, meraih emas untuk negara.
Kami sebagai jurufoto dan juga jurufoto agensi lain bertungkus lumus mengejar beliau. Ibarat kata, dari tak boleh berlari laju disebabkan faktor fizikal terus kami jadi macam pelari profesional,” cerita Iskandar sambil tergelak.
Mengejar dan melakukan apa saja demi tanggungjawab
“Masa saya lari tu saya tak boleh fikir dah barang jatuh ke, handphone jatuh ke, sebab masa tu saya cuma fikir saya tak boleh terlepas setiap momen yang KHJ buat. Dari berlari, melompat, sujud semua saya cuba pastikan saya tak akan tertinggal. Sebab ini merupakan tanggungjawab yang diberi untuk saya. Saya perlu laksanakan sebaik mungkin keranan beban yang saya pikul adalah nama unit fotoBERNAMA dan secara tak langsung saya membawa nama BERNAMA.”
“Saya dan rakan-rakan yang bertugas di Sukan SEA 2017 cuba bagi yang terbaik agar kita dapat merakam detik-detik hebat negara,” jelas beliau kepada BERNAMA.
Terima kasih Ahmad Iskandar Kamaruzaman dan rakan-rakan setugas beliau kerana bertungkus-lumus merakamkan detik bersejarah untuk tatapan kami semua.
Sumber
Cerita ini dipetik dari laman Facebook BERNAMA