Tahun 2018 baru sahaja melabuhkan tirainya dan permainan E-Sport semakin mendapat tempat dalam masyarakat zaman sekarang.
Tidak kira di Malaysia mahupun luar negara, karier dalam E-Sport kini dianggap satu perkara yang serius memandangkan duit yang semakin hari semakin bertambah dalam industri tersebut.
Salah satu permainan video paling laku di atas dunia sekarang adalah ‘Fortnite’. Walaupun Malaysia lebih terkenal dengan permainan ‘PlayerUnknown’s Battlegroud’ atau lebih popular sebagai ‘PUBG’, permainan Fortnite merupakan satu fenomena terutamanya di benua Amerika dan Eropah.
Dalam ramai-ramai pemain dalam ‘Fortnite’, terdapat seorang anak muda berusia 27 tahun yang menjana duit yang agak tinggi dan gila dengan bermain permainan itu sahaja. Pemuda tersebut bernama Tyler Blevins, seorang warga Amerika Syarikat dan lebih popular dikenali sebagai ‘Ninja’.
‘Ninja’ dianggap personaliti E-Sport paling popular di dunia ketika ini. Untuk tahun 2018 sahaja, beliau dilaporkan berjaya meraih pendapat hampir $10 juta dengan kebanyakannya datang ketika bermain permainan ‘Fortnite’ di hadapan PC beliau.
Ia merupakan karier yang sangat diidam-idamkan. Mana tidaknya, anda tidak perlu berkejar ke pejabat setiap pagi, tidak perlu menempuhi kesesakan lalu lintas dan paling penting, anda tidak perlu mendengar arahan dari sesiapa.
Apa yang perlu ‘Ninja’ lakukan setiap hari adalah duduk di hadapan PC beliau dan bermain permainan yang digemarinya.
Dalam satu temuramah bersama CNN baru-baru ini, Blevins menceritakan segala-galanya mengenai karier beliau sebagai seorang ‘gamer’ dan pendapatnya mengenai industri tersebut.
Blevins berkata tahun 2018 merupakan tahun terbaik baginya sepanjang hidup. Beliau berkata pendapatan yang diperolehinya sepanjang tahun 2018 hampir mencecah $10 juta.
Blevins mula mencuri perhatian umum apabila beliau mencipta rekod tertinggi dalam jumlah ‘viewiers’ yang menonton ‘streaming’ iaitu sebanyak 628,000 dalam satu masa. Rekod tersebut berjaya dicipta pada bulan Mac lalu apabila ‘Ninja’ muncul bersama dengan ikon rap terkenal, Drake dalam ‘streaming’ beliau.
Sejak daripada itu, nama ‘Ninja’ terus meletup. Beliau menjadi personaliti media sosial dan ‘streaming’ beliau ketika bermain Fortnite dianggap satu perkara yang wajib ditonton.
Menurut Blevins lagi, dua platform utama yang digunakannya untuk menjana pendapatan adalah Youtube dan Twitch. Beliau menambah hampir 70% pendapatannya datang dari dua platform tersebut.
Untuk Youtube sahaja, ‘Ninja’ mempunyai lebih 20 juta ‘subscribers’ yang setia menonton video yang dimuat naiknya. Setiap kali ‘subscriber’ beliau menonton iklan yang ada dalam videonya, beliau akan memperolehi sejumlah wang. Dan kebanyakan video yang dimuat naik ‘Ninja’ berjaya mencecah jutaan tontonan.
Bagi platform Twitch pula, seramai 12.5 juta pengguna platform tersebut mengikuti perkembangan beliau. Hampir 40,000 dari jumlah tersebut membuat langganan berbayar untuk mengikuti ‘streaming’ Blevins. Ada tiga peringkat langganan dalam platform Twitch, yang bermula dari $4.99, $9.99 dan $25 sebulan. Bagi pengguna yang tidak melanggan, mereka perlu menonton iklan bagi membantu Twitch membuat duit seterusnya menjana pendapatan untuk ‘Ninja’ sendiri.
Selain daripada Youtube dan Twitch, kepopularan ‘Ninja’ telah menarik minat jenama terkenal seluruh dunia seperti Samsung, Uber Eats dan Red Bull untuk menaja beliau dan menjadikan ‘Ninja’ sebagai duta produk mereka.