Kenali Paul Doswell – Pengurus Merangkap Penaja Sutton United

Apabila Sutton United diundi bertemu Arsenal untuk pusingan kelima Piala FA, ramai yang mungkin tidak pernah mendengar nama kelab ini. Sutton United FC kini bermain di Liga Kebangsaan, iaitu liga divisyen kelima dalam piramid bola sepak England. Menarik tentang Liga Kebangsaan ini, liga ini juga merupakan liga tertinggi bagi pasukan semi-pro, dan dimainkan di peringkat seluruh England.

Selepas liga kebangsaan, liga-liga lain dimainkan mengikut zon dan wilayah. Untuk kau senang faham kau bayangkan Piala FAM. Piala FAM merupakan liga semi-pro yang tertinggi di Malaysia. Selepas Piala FAM, liga dimainkan mengikut negeri masing-masing. Kalau kau tak faham juga, kau boleh perlahan-lahan meninggalkan dunia ini.

Menarik tentang Sutton ini, pengurusnya, Paul Doswell sebenarnya bekerja secara sukarela tanpa mengambil gaji, dan lebih dari itu, Doswell juga sebenarnya penaja kepada pasukan!

Siapa Paul Doswell?

Doswell sebenarnya bukanlah seorang pemain bola sepak lagenda, dan dia juga tidak mempunyai laman Wikipedianya sendiri. Doswell merupakan seorang pemaju hartanah yang berjaya, di mana syarikatnya mempunyai seramai 100 orang pekerja. Doswell juga merupakan seorang peminat tegar Southampton di mana dia tidak pernah terlepas untuk membeli tiket semusim perlawanan Soton.

Meskipun menyokong Soton, Doswell telah berkhidmat sebagai pengurus Sutton selama sembilan tahun. Jangan keliru Soton dan Sutton dan Liverpool

Apakah Jasa Paul Doswell?

Doswell boleh dikira sebagai manusia yang paling berhati mulia dalam sukan bola sepak. Kalau pengurus bola sepak lain mendapat gaji tetap, kecuali beberapa pasukan dalam Liga Malaysia, Doswell berkhidmat sebagai pengurus secara percuma. Tanpa gaji!

Paul Doswell

Bukan setakat bekerja secara sukarelawan, malah Doswell juga sebenarnya telah berbelanja sebanyak £1juta (RM5.5 juta) sejak mula tiba di Sutton dan yang terbaru dia telah mengeluarkan wang sejumlah £500,000 (RM2.7juta) untuk membina padang turf di gelanggang Sutton, Gander Greene Lane kira-kira 18 bulan yang lalu.

Pada mulanya wang tersebut dianggap sebagai pinjaman tanpa bunga oleh pengerusi kelab, namun Doswell tidak mengharapkan sebarang pulangan daripada ‘pelaburan’ tersebut.

Sebelum ini, Doswell ada berseloroh mengatakan bahawa sekiranya mereka berjaya bertemu Manchester United atau Arsenal dalam Piala FA, maka wang yang dibelanjakannya bakal dikembalikan akan tetapi dalam satu kenyataan selepas perlawanan menentang Arsenal, Doswell berkata wang yang diterima hasil daripada kempen Piala FA mereka akan disalurkan kepada akademi dan menaiktaraf kemudahan stadium dan tempat latihan kelab.

Masa Depan Doswell

Setakat artikel ini ditulis, Sutton berada di kedudukan ke-17 Liga Kebangsaan daripada 24 pasukan, jauh daripada kelayakan ke liga professional EFL League Two. Walaubagaimanapun, Doswell tidak menolak kemungkinan Sutton akan berjaya layak ke liga professional dalam beberapa tahun mendatang, dan jika ini berlaku, Doswell menyatakan dia tidak berminat untuk meneruskan kerja amalnya sebagai pengurus Sutton.

Baginya, liga semi-pro sudah memadai memandangkan dia mempunyai syarijat yang perlu diuruskan, dan kemungkinan besar Doswell akan berkelana ke kelab semi-pro yang lain pula untuk meneruskan minatnya dalam bola sepak.

Teringat kata-kata seorang bekas presiden persatuan bola sepak di Malaysia di mana dia berkata bahawa menjadi presiden sebenarnya umpama membuat kerja amal, dan tidak mendapat gaji.

Rujukan :

1- Evening Standard

2- The Telegraph

Baca Juga

Baca Juga