Kenali Penyerang Thailand Yang Kini Memegang Rekod Penjaring Terbanyak Sepanjang Zaman Piala AFF

Pasukan pilihan, Thailand, telah mencatatkan kemenangan ketiga mereka dalam saingan Kumpulan A Piala AFF selepas membenam Filipina dua gol tanpa balas di Stadium Nasional, Kallang, Singapura.

Tidak memerlukan masa yang lama, Thailand berjaya settle down awal dan menyerang kubu pasukan The Azkals bertubi-tubi. Peluang pertama hadir pada minit keenam apabila Theerathon Bunmathan menghantar bola kepada Kritsada Kaman yang kemudiannya melepaskan satu percubaan tepat ke arah penjaga gol terbaik perlawanan akhir Piala Malaysia 2021, Kevin Mendoza.

Dengan menerima serangan bertali arus, pertahanan Filipina masih mampu teguh menahan asakan sehinggalah pada minit ke-26 di mana munculnya watak yang membuatkan para pemain Azkals tertunduk.

Teerasil Dangda berjaya memberikan gol pendahuluan buat pasukan Gajah Perang apabila sepakan deras kaki kirinya gagal dibendung oleh Mendoza. Sebaik mendapat gol pertama, Thailand semakin ghairah untuk menambah jumlah gol namun kecewa dek penyudah yang tumpul dan juga ketangkasan Mendoza sehingga tamat separuh masa pertama.

Bermulanya separuh masa kedua, Thailand masih mengekalkan rentak serangan mereka namun dikejutkan pada minit ke-57 apabila gol mereka bolos haris jaringan Patrick Reichelt yang gagal diselamatkan Chatchai Bootprom.

Menuju ke babak akhir perlawanan, Thitiphan Puanghan dijatuhkan oleh Amani Aguinaldo di dalam kotak terlarang lantas menyebabkan Thailand dihadiahkan sepakan penalti.

Teerasil Dangda dengan begitu tenang menolak bola ke dalam gol Filipina, sekaligus memegang rekod sebagai penjaring terbanyak Piala AFF sepanjang zaman dengan 19 gol.

Kalau nak ikutkan, Teerasil Dangda sudahpun mencipta rekod baharu dengan jaringan pertamanya yang telah mengatasi rekod jaringan penyerang legenda Singapura, Noh Alam Shah, yang memegang rekod jaringan sebanyak 17 gol.

Dalam edisi Piala AFF kali ini, Teerasil Dangda, telah menjaringkan sebanyak empat gol, dua ketika menentang Myanmar dan dua dalam perlawanan menentang Filipina.

Dengan rekod baharu yang tercipta ini, maka tidak dapat dinafikan lagi bahawa Teerasil Dangda adalah penyerang yang paling berbisa di rantau Asia Tenggara!

Karier Yang Membawanya ke La Liga

Teerasil Dangda memulakan kariernya dalam arena bola sepak professional pada usia yang sangat muda, 17 tahun, mewakili pasukan Air Technical Training School yang bermain di divisyen dua piramid bola sepak Thailand, sekitar 2004 sehingga 2005. Teerasil Dangda hanya bermain enam perlawanan senior buat pasukan ini dan telah menjaringkan tiga gol.

Pada tahun 2006, Teerasil Dangda berpindah ke Raj Pracha, dan menjadi pemain utama di barisan serangan di mana dia menjadi penjaring terbanyak pasukan – sembilan gol dalam 18 perlawanan, serta melakukan lima assist sepanjang musim.

Tahun berikutnya menyaksikan pemain ini menyertai Muangtong United yang ketika itu masih bermain di divisyen dua, dan menjadi sebahagian daripada anggota pasukan yang muncul sebagai juara divisyen, menjaringkan tujuh gol dan melakukan enam assist.

Tanggal 25 Julai 2007 menyaksikan Teerasil mendapat peluang daripada pemilik Manchester City ketika itu, Thaksin Shinawatra, yang telah menjemputnya bersama dua lagi pemain, Suree Sukha dan Kiatprawut Saiweo, untuk menjalani ujian di kelab England tersebut. Selepas menunggu lama untuk mendapatkan permit kerja, akhirnya mereka bertiga sah menjadi pemain City pada 16 November tahun yang sama.

Pun begitu, Teerasil masih belum dibenarkan untuk bermain di England dek permit kerja dan dipinjamkan ke pasukan sekutu, Grashopper Zurich. Pada tahun 2008, sebaik sahaja City dibeli sekumpulan individu dari Abu Dhabi, ketiga-tiga pemain Thailand yang mempunyai kabel di City sebelum ini telah dilepaskan dari kontrak mereka.

Perlepasan ini membawa Teerasil ke Zurich semula buat sementara waktu sebelum kembali menyarung jersi Raj Pracha buat seketika, sebelum  pulang ke Muangthong United dan di sinilah bintang penyerang ini bersinar semula.

Pada tahun 2009, Teerasil telah menjaringkan tujuh gol dalam 26 penampilan dan jumlah jaringan pemain ini semakin meningkat saban tahun. Teerasil kekal bersama Muangthong selama enam musim sehingga 2014 dan dia telah menajringkan 97 gol!

Prestasi tajamnya di hadapan gol ini telah membuka mata kelab La Liga, Almeria, untuk membawa pemain ini ke Sepanyol secara pinjaman. Semusim di La Liga, Teerasil hanya mampu muncul dalam 10 peralawanan dan menjaringkan satu gol, ketika Almeria menumpaskan Real Betis 4-3 dalam saingan Copa Del Rey.

Meskipun tidak kekal lama di La Liga, Teerasil tetap tidak patah hati dalam bola sepak. Sebaik kembali ke Muangthong, Teerasil akhirnya berjaya menjaringkan gol ke-100 buat kelab ini pada tanggal 11 Mac 2017 ketika menentang Nakhon Ratchasima.

Tidak lama kemudian, dia memecahkan rekod penjaring terbanyak tempatan sepanjang zaman dalam Liga Thailand yang dipegang oleh Pipob On-Mo. Rekod 108 gol tersebut disamakan dan dipecahkan ketika Teerasil menjaringkan dua gol dalam perlawanan menentang Super Power Samut Prakan.

Ketajamannya di depan gol sekali lagi membuka mata kelab luar di mana kelab Jepun, Sanfreece Hiroshima, telah membawanya ke J-League pada tahun 2018. Bersama kelab tersebut, Teerasil tampil dalam 37 perlawanan dan menjaringkan tujuh gol.

Musim berikutnya, Teerasil berpindah ke Shimizu S-Pulse dan menjaringkan tiga gol dalam 24 perlawanan.

Mungkin rezekinya kurang subur di bumi matahari terbit, Teerasil mengambil keputusan untuk pulang ke tanah air dan bermain untuk BG Pathum United dan sempat berganding dengan penyerang lincah negara, Nurshahrul Idlan Talaha.

Memasuki fasa umur 30-an, mungkin kudrat pemain ini tidak selincah dulu tetapi dia tetap menjadi pilihan ketua jurulatih Thailand untuk mengemudi barisan serangan pasukan Gajah Perang tersebut dalam kempen Piala AFF pada tahun ini.

Empat gol daripadanya di Singapura ini telah menjadikan jumlah keseluruhannya jaringannya bersama pasukan kebangsaan Thailand sebanyak 49 gol – satu jumlah yang boleh dibanggakan.

Sumber biodata Teerasil : wikipedia

BACA:  "Hanya Jaguh Asia Tenggara" - Thailand Pecat Mano Polking