Kenali Ralf Rangnick Yang Dilantik Menjadi Pengurus Interim Manchester United

Ralf Rangnick bakal diumumkan sebagai pengurus interim Manchester United selepas ini, dengan beliau sudah bersetuju menandatangani perjanjian selama enam bulan bersama setan merah.

Beliau bakal menjadi pengurus interim sehingga akhir musim ini nanti, dengan para peminat dilihat sangat teruja menanti untuk menyambut kedatangannya ke bumi Old Trafford.

Michael Carrick yang sebelum ini dilantik sebagai pengurus sementara ketika aksi kemenangan bertemu Villarreal dalam saingan Champions League, akan tetap mengendalikan setan merah untuk aksi bertemu Chelsea minggu ini.

Gergasi Premier League itu sebelum ini sudah menyenaraikan lima nama untuk menggantikan Carrick sebagai pengurus United.

Terbaru, menurut sumber laporan dari The Athletic, pihak kelab sudah berjaya mendapatkan kata sepakat dengan Ralf Rangnick untuk melantik beliau menjadi pengurus interim.

Pengurus berusia 63 tahun itu sebelum ini pernah mengendalikan RB Leipzig, dan kini beliau bertugas sebagai sporting director untuk Lokomotiv Moscow.

Kelab dari Rusia itu juga bersedia untuk melepaskan Ralf Rangnick ke Old Trafford dengan rundingan akhir antara United dan kelab sedang berjalan pada ketika ini.

Rangnick dilaporkan bakal menandatangani perjanjian selama enam bulan sebagai pengurus interim, yang mana beliau akan mengendalikan United sehingga Mei nanti.

Beliau kemudiannya akan tetap berkhidmat sebagai penasihat kelab selepas menandatangani perjanjian selama dua tahun untuk jawatan tersebut.

Atas dasar hormat kepada kontraknya bersama kelab, Ralf Rangnick kini hanya menanti persetujuan dari Lokomotiv Moscow sahaja sebelum melengkapkan perpindahannya ke Old Trafford.

Biodata ringkas Ralf Rangnick

Ralf Rangnick dianggap godfather dalam dunia pengurusan bola sepak Jerman, dengan beliau pernah menjadi pemain, pengurus dan terbaru sebagai Ketua Sukan dan pembangunan bersama Lokomotiv Moscow.

Ralf Rangnick memulakan karier sebagai pengurus pada tahun 1983 dengan beliau pada ketika itu baru berusia 25 tahun.

Rangnick merupakan pemain merangkap pengurus ketika kariernya bersama FC Victoria Backnang dari 1983 sehingga 1986.

Dari tahun 1986 sehingga 1987 beliau telah dilantik sebagai pengurus untuk Stuttgart II, sebelum dipanggil menjadi pemain merangkap pengurus untuk Lippoldsweiler pada tahun 1987 hingga 1988.

Beliau kemudiannya meneruskan kariernya sebagai pengurus bersama SC Korb, skuad bawah 19 tahun Stuttgart, akademi VfB Stuttgart, SSV Reutlingen, SSV Ulm 1846, VfB Stuttgart, Hannover 96, FC Schalke 04 dan TSG Hoffenheim.

Beliau pada tahun 2012 telah dilantik sebagai sporting director RB Salzburg dan setahun selepas itu beliau memegang jawatan sama bersama RB Leipzig.

Pada tahun 2015 hingga 2019, Ralf Rangnick telah dilantik sebagai pengurus RB Leipzig, dengan beliau kemudiannya menjadi Global sport director untuk RB Bragantino, Red Bulls, RB Salzburg dan RB Leipzig.

Dan terakhir sekali beliau memegang jawatan Ketua Sukan dan pembangunan bersama Lokomotiv Moscow.

Pencapaian

Sepanjang kariernya sebagai pengurus, Ralf Rangnick pernah memenangi pelbagai kejuaraan di Austria dan Jerman.

Bersama FC Schalke 04, beliau berjaya memenangi German Super Cup pada musim 2011/12, German League Cup musim 2005/06, German Cup pada musim 2011/12.

Bersama Hannover 96 berjaya memenangi gelaran division kedua saingan bola sepak Jerman pada musim 2001/02.

Ralf Rangnick berjaya memenangi dua gelaran liga Austria dan dua Austrian Cup bersama Red Bull Salzburg pada musim 2013/14 dan 2014/15.

Pengalaman yang beliau miliki, tidak dinafikan lagi sememangnya sungguh luar biasa menakjubkan dengan Ralf Rangnick turut dianggap sebagai guru kepada Jurgen Klopp dan Thomas Tuchel.

Beliau menerima jawatan sebagai pengurus interim United, kerana turut ditawarkan untuk jadi penasihat selama dua tahun selepas selesai tugasnya sebagai pengurus interim.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Mourinho Mahu Manchester United Tamatkan Musim Di Kedudukan Ke-2 Liga