Bryan Mbeumo: Permata Brentford yang Kian Bersinar
Brentford telah lama mengenal pasti bakat besar yang dimiliki oleh Bryan Mbeumo. Bekas pertahanan kelab, Pontus Jansson mengimbas kembali perbualannya dengan bekas pengarah bola sepak Brentford, Rasmus Ankersen sewaktu kelab itu mendapatkan Mbeumo dari Perancis pada Ogos 2019. Ketika itu, Brentford masih bersaing dalam saingan Championship dan sanggup memecah rekod perpindahan kelab sebanyak £5.4 juta demi mendapatkan khidmatnya.
Menurut Jansson, Ankersen pernah menyatakan keyakinannya terhadap Mbeumo dengan berkata,
“Kami akan membeli pemain muda dari Perancis dan jika dia tidak menjadi bintang dunia dalam beberapa tahun, saya akan kecewa.” Kini, kata-kata itu terbukti benar.
Selepas 6 tahun menunjukkan peningkatan yang konsisten, Mbeumo telah menjadi tonggak utama Brentford. Meskipun sering dibayangi pemain lain sejak kelab itu berjaya melangkah ke saingan Liga Perdana pada tahun 2021, musim ini menyaksikan namanya semakin menyerlah. Dengan kontraknya yang bakal berakhir pada tahun 2026, beberapa kelab gergasi Eropah termasuk Newcastle United mula menunjukkan minat untuk mendapatkannya.
Prestasi cemerlangnya terserlah dalam aksi menentang Leicester pada Jumaat lepas, di mana dia kini telah mencatatkan 15 gol dan 4 bantuan dalam 26 perlawanan liga. Kejayaan ini meletakkannya di kedudukan ke-5 dalam senarai penjaring terbanyak liga. Lebih menarik, perbezaan antara jumlah gol sebenar dan jangkaan golnya (xG) adalah sebanyak +6.6, menjadikannya antara yang tertinggi di 5 liga utama Eropah.
Dengan pencapaian yang mengagumkan ini, Mbeumo membuktikan dirinya sebagai aset berharga untuk Brentford dan bakal menjadi tumpuan kelab-kelab ternama dalam masa terdekat.
Perjalanan Awal Bryan Mbeumo
Bryan Mbeumo dilahirkan di Avallon, sebuah bandar kecil di Perancis. Sejak kecil, dia sudah menunjukkan minat mendalam terhadap bola sepak. Dia sering bermain di padang tar berhampiran rumahnya. Ibunya sentiasa memerhatikannya dari tingkap rumah dan akan memanggilnya pulang apabila tiba waktunya.
Perjalanan kariernya bermula dengan pasukan tempatan, Club Olympique Avallonais, sebelum menyertai akademi Troyes pada usia 13 tahun. Di sana, bakatnya semakin menyerlah, terutama ketika membantu pasukan bawah 18 tahun Troyes menjuarai Coupe Gambardella pada tahun 2018. Hanya setahun kemudian, dia berjaya menembusi skuad utama dan membuat penampilan sulungnya dalam saingan Ligue 1.
Ketika Troyes tersingkir ke Ligue 2, Mbeumo menjadi pemain utama pasukan dengan rekod 10 gol dalam 36 perlawanan liga. Walaupun pasukannya gagal dalam play-off untuk kembali ke liga utama, prestasi cemerlangnya menarik perhatian Brentford.
Pada awalnya, Mbeumo tidak begitu mengenali Brentford. Namun, pujukan pengurus Thomas Frank berjaya meyakinkannya untuk menyertai kelab itu. Brentford telah mengkaji hampir setiap perlawanan yang dilakukannya sepanjang musim tersebut dan begitu bertekad mendapatkannya sehingga menghantar pasukan eksekutif ke Perancis dengan jet peribadi. Meskipun rundingan pertama menemui kegagalan, kesungguhan Brentford akhirnya membuahkan hasil apabila mereka berjaya mendapatkan tandatangannya.
Kebangkitan di Brentford
Bryan Mbeumo segera membuktikan kemampuannya sebaik tiba di Brentford dengan menjaringkan 16 gol dalam musim pertamanya. Dia membentuk trio serangan mantap bersama Ollie Watkins dan Said Benrahma, namun impian Brentford untuk naik ke Liga Perdana tergendala selepas tewas kepada Fulham dalam perlawanan akhir play-off.
Musim berikutnya, selepas Watkins dan Benrahma meninggalkan kelab, Mbeumo bergandingan dengan Ivan Toney di barisan serangan. Mbeumo beraksi di posisi sayap kanan dalam formasi 4-3-3, dia menyumbang 8 gol dan 12 bantuan gol sekali gus memainkan peranan penting dalam kejayaan Brentford menamatkan penantian 74 tahun untuk layak ke Liga Perdana selepas menewaskan Swansea di pentas akhir play-off.
Di saingan Liga Perdana, Brentford menyesuaikan pendekatan taktikalnya dengan menggunakan formasi 3-5-2 yang menyaksikan Mbeumo lebih kerap mengejar bola hantaran Toney. Meskipun menunjukkan potensi besar, ketajaman penyudahnya masih belum cukup konsisten, dengan hanya 4 gol berjaya dijaringkan berbanding jangkaan (xG) 9.3 gol.
Musim 2022-23 menyaksikan peningkatan besar dalam prestasinya selepas dia kembali ke posisi kegemarannya. Mbeumo berjaya mencatatkan 8 gol dan 8 bantuan gol tetapi kemajuannya terhenti akibat kecederaan yang memaksa berehat selama 13 perlawanan. Kehilangannya lebih dirasai berbanding ketiadaan Toney. Toney ketika itu terpaksa diketepikan akibat penggantungan selepas melanggar peraturan perjuadian FA.
Pemain Kunci Brentford
Dengan pemergian Ivan Toney ke Al Ahli di Arab Saudi, Bryan Mbeumo kini menggalas tanggungjawab sebagai tonggak utama serangan Brentford. Dia bekerja keras memperbaiki ketajaman penyudahnya termasuk berlatih mengambil sepakan penalti menggunakan teknik unik Toney. Hasilnya, musim ini menyaksikan peningkatan besar dalam prestasinya, dengan lebih banyak jaringan berkualiti dilakukan.
Jurulatih Kevin O’Connor memuji perkembangan Mbeumo, dengan berkata,
“Dia semakin baik dan lebih yakin. Walaupun tidak berada di tahap terbaik, dia masih mampu memberi impak dan itu tanda seorang pemain hebat.”
Selain ketajaman di hadapan gol, Mbeumo turut meningkatkan kemahiran hantaran, kawalan bola dan permainan bertahan. Dia juga semakin menyerlah sebagai pemimpin di dalam bilik persalinan, membantu menetapkan standard latihan yang tinggi dan memberi motivasi kepada rakan sepasukan.
Dari segi kecergasan, Mbeumo menunjukkan ketahanan luar biasa. Sejak 2021, dia hanya terlepas 3 perlawanan kerana kecederaan.
Kini, dia membentuk gandingan mantap bersama Yoane Wissa, yang juga rakan baiknya di dalam dan luar padang. Kedua-duanya berasal dari Perancis, namun mereka memilih untuk mewakili negara Afrika – Mbeumo bersama Cameroon dan Wissa bersama DR Congo.
Kehidupan di Luar Padang
Di luar bola sepak, Bryan Mbeumo mempunyai pelbagai minat unik yang mencerminkan keperibadiannya yang berdisiplin dan sentiasa ingin belajar. Dia gemar bermain catur, membaca dan bahkan belajar bermain piano melalui tutorial di YouTube. Brentford begitu menyokong minatnya sehingga mereka membelikannya sebuah piano untuk digunakan di pusat latihan. Selain itu, dia juga aktif di Twitch dan sering menggunakan aplikasi latihan minda bagi meningkatkan fokus serta ketajaman pemikirannya.
Sebagai seorang atlet profesional, Mbeumo sangat berdedikasi terhadap kesihatan dan kecergasannya. Dia mendapatkan khidmat fisioterapi peribadi, pakar postur dan pakar psikologi sukan bagi memastikan tahap fizikal dan mentalnya sentiasa berada dalam keadaan terbaik. Untuk menjaga pemakanannya, dia turut mengupah cef peribadi bagi memastikan diet hariannya seimbang dan sesuai dengan keperluan seorang pemain bola sepak bertaraf tinggi.
Masa Depan Mbeumo
Setakat ini, Brentford masih belum menerima sebarang tawaran rasmi untuk Bryan Mbeumo tetapi keadaan itu dijangka berubah tidak lama lagi. Kontraknya bakal tamat pada 2026 tetapi Brentford mempunyai pilihan untuk melanjutkan setahun lagi. Oleh itu, jendela perpindahan musim panas ini mungkin menjadi waktu terbaik bagi kelab untuk melepaskannya jika mereka ingin mendapatkan pulangan maksimum.
Mbeumo sendiri mempunyai cita-cita besar untuk beraksi di peringkat tertinggi. Dalam wawancara bersama L’Équipe tahun lalu, dia secara terbuka menyatakan impiannya untuk menyertai kelab elit dan bersaing dalam kejohanan terbesar dunia.
Bekas rakan sepasukannya, Pontus Jansson turut mengakui bahawa masa depan Mbeumo di Brentford semakin menjadi tanda tanya.
“Saya risau berapa lama Brentford boleh mengekalkannya. Dia sangat hebat sekarang. Tetapi sebagai bekas rakan sepasukan, saya berharap dia terus kekal di Brentford,” katanya.
Dengan prestasi cemerlang yang ditunjukkan musim ini, Mbeumo mula menjadi tumpuan kelab-kelab gergasi Eropah. Masa depannya di Brentford mungkin bergantung kepada sejauh mana kelab itu mampu menyaingi keinginan pemainnya untuk melangkah lebih jauh dalam kariernya.