Kenapa Amnesty International Menentang Pemilikan Newcastle Oleh Konsortium Arab Saudi?

Amnesty International berterusan menentang pemilikan kelab bola sepak Inggeris, Newcastle oleh konsortium dari negara Timur Tengah, Arab Saudi yang dijangka akan diumumkan secara rasmi dalam tempoh terdekat.

Menatang apakah Amnesty International dan apa kaitan dengan bola sepak? Menurut Wikipedia:

Amnesty International (AI) ialah sebuah badan pertubuhan bukan kerajaan sekular antarabangsa yang ditubuhkan dengan tujuan untuk mempromosikan seluruh hak asasi manusia yang terdapat dalam Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat dan piawai antarabangsa yang lain.

Pertubuhan ini diasaskan pada tahun 1961 oleh seorang peguam England bernama Peter Benenson, Amnesty International berasaskan kempen tawanan hati nurani (prisoner of conscience) untuk memastikan keadilan dunia dapat dikecapi selain mengadakan persidangan untuk tawanan politik; untuk menghapuskan hukuman mati, penyeksaan, dan perlakuan buli terhadap tahanan yang lain yang turut dianggapnya sebagai kejam; untuk menghilangkan pembunuhan politik dan kehilangan paksa; dan untuk menentang segala pelanggaran seluruh hak asasi manusia, baik oleh pemerintah atau oleh kumpulan yang lain.

Penentangan daripada Amnesty International ini adalah disebabkan oleh penindasan dan perlanggaran hak asasi manusi yang dilaporkan terjadi dalam kerajaan Arab Saudi yang dikaitkan dengan Putera Mohammed bin Salman.

Amnesty International berpandangan bahawa Arab Saudi merupakan negara yang mengamalkan corak pemerintahan secara Monarki di mana Putera Makhota akan berperanan sebagai Raja berkuasa mutlak.

Raja dilihat berperanan mengawal semua kegiatan ekonomi, politik dan hubungan dengan negara asing. Amnesty International percaya pemilikan Newcastle ini tidak akan terjadi tanpa kebenaran pemerintah Arab Saudi.

Namun dalam bidaan yang terbaru ini sebuah konsortium yang diwujudkan khas dikenali sebagai Public Investment Fund (PIF) yang membiayai 80% daripada jumlah pembiayaan pengambilalihan bernilai £300 juta tersebut dilihat sebagai sebuah entiti berlainan dengan yang ada di Arab Saudi.

Dan pihak dari pemerintah Arab Saudi dilaporkan tidak akan menguasai kelab tersebut secara langsung.

Amnesty International menuduh Arab Saudi telah menggunakan acara sukan dan personaliti untuk meningkatkan reputasi selepas terpalit dengan beberapa isu kemanusiaan seperti memenjara dan menyiksa aktivis hak asasi wanita serta pengkritik kerajaan.

Dan insiden terbesar sudah pasti berkaitan pembunuhan seorang wartawan di dikonsulat Arab Saudi di Istanbul.

Pembunuhan Jamal Khashoggi

Jamal Khashoggi mnerupakan seorang wartawan dari Arab Saudi yang terkenal dengan liputan tentang peristiwa besar seperti pencerobohan Soviet ke atas Afghanistan dan kebangkitan pemimpin Al-Qaeda iaitu Osama Bin Laden untuk pelbagai organisasi berita di Saudi.

Selama sedekad, wartawan berusia 59 tahun itu menjalinkan hubungan yang rapat dengan keluarga diraja Arab Saudi malahan Jamal Khashoggi telah berkhidmat sebagai penasihat kerajaan.

Entah apa yang terjadi apabila Jamal Khashoggi mula dibenci dan beliau mengasingkan diri di Amerika Syarikat pada tahun 2017.

Sejak itu Jamal Khashoggi telah mula menulis dalam kolum bulanannya bersama Washington Post di man beliau telah mengkritik dasar Putera Mahkota Mohammed bin Salman.

Dalam kolum pertamanya untuk Washington Post pada September 2017, Jamal Khashoggi telah menyatakan bahawa beliau takut akan ditangkap dan dikenakan tindakan keras kerana perbezaan pendapat dengan Putera Arab Saudi yang sentiasa memerhati beliau.

Setahun kemudian pada 28 September 2018, Jamal Khashoggi telah melawat konsulat Arab Saudi di Istanbul bagi menyerahkan dokumen penceraiannya bagi membolehkan beliau mengahwini tunangnya yang merupakan seorang rakyat Turki, Hatice Cengiz.

Selepas menyerahkan dokumen itu, Jamal Khashoggi diarahkan untuk kembali mengambil dokumen tersebut pada tarikh 2 Oktober 2018.

Pada 2 Oktober Jamal Khashoggi telah ditemani tunangnya Hatice Cengiz sehingga di pintu hadapan konsulat dan itulah kali terakhir Jamal Khashoggi dirakam oleh CCTV memasuki bangunan pada jam 13:14 waktu Turki.

Selepas itu untuk tempoh dua minggu Arab Saudi menafikan dan menyatakan tidak mengetahui apa yang terjadi pada Jamal Khashoggi.

Putera Muhammad kemudian memberitahu agensi berita Bloomberg bahawa wartawan itu telah meninggalkan konsulat selepas beberapa minit atau jam dan tiada apa yang disembunyikan.

Pada 20 Oktober, kerajaan Arab Saudi menyatakan dari siasatan awal mendapati bahawa wartawan tersebut telah mati dalam cubaan cuba membawa beliau kembali ke Arab Saudi.

Pada 15 November, Timbalan Pendakwaraya Arab Saudi, Shalaan al-Shalaan mengatakan pembunuhan itu diperintahkan oleh ketua “pasukan perundingan” yang dihantar ke Istanbul oleh wakil ketua perisik Saudi untuk membawa Khashoggi kembali ke kerajaan “dengan cara memujuk” atau , jika itu gagal, “secara paksa”.

Penyiasat menyimpulkan bahawa Khashoggi ditahan secara paksa setelah bertengkar dan disuntik dengan sejumlah besar ubat, mengakibatkan overdose yang menyebabkan kematiannya.

Timbalan Pendakwaraya Arab Saudi, Shalaan al-Shalaan turut menyatakan bahawa Putera Mahkota tidak mengetahui apa-apa mengenai peristiwa ini.

Pendakwaan awam Arab Saudi mengatakan pada akhir September 2018 bahawa sejumlah 31 individu disiasat berhubung pembunuhan tersebut dan 21 daripadanya ditangkap.

Lima pegawai kanan kerajaan juga dipecat, termasuk Wakil Ketua Perisikan Ahmad Asiri dan Saud al-Qahtani yang juga merupakan pembantu kanan Putera Mohammed.

Pada Januari 2019, 11 individu – yang belum disebutkan namanya – diadili di Mahkamah Jenayah Riyadh berhubung dengan pembunuhan Khashoggi dan pendakwa raya menuntut hukuman mati untuk lima dari mereka.

Human Rights Watch menyatakan bahawa perbicaraan itu telah diadakan secara tertutup dan tidak mematuhi piawaian antarabangsa dan pihak berkuasa “menghalang kebertanggungjawaban yang bermakna”.

Pada bulan Disember 2019, mahkamah menjatuhkan hukuman mati kepada lima individu kerana “melakukan dan mengambil bahagian secara langsung dalam pembunuhan mangsa”. Tiga yang lain dijatuhkan hukuman penjara selama 24 tahun kerana “menutup jenayah ini dan melanggar undang-undang”, sementara tiga yang lain didapati tidak bersalah.

Pendakwaan awam mengatakan bahawa Asiri diadili tetapi dibebaskan “kerana bukti tidak mencukupi”, sementara Qahtani disiasat atas pembunuhan itu tetapi tidak didakwa.

Pada sidang media berikutan keputusan itu, Shalaan al-Shalaan mengatakan bahawa siasatan pihak pendakwaan menunjukkan bahawa “pembunuhan itu tidak dirancang.”.

Pembunuhan mengerikan itu mengejutkan dunia dan Pelapor Khas PBB, Agnes Callamard mengatakan terdapat bukti yang boleh dipercayai bahawa Putera Mahkota Mohammed dan pegawai tinggi Arab Saudi yang lain bertanggungjawab secara individu.

Agnes Callamard menolak pernyataan Shalaan al-Shalaan sebagai “sangat tidak masuk akal” dan mengatakan perbicaraan itu mewakili “antitesis keadilan”, di mana “dalang” berjalan bebas.

Sehingga kini mayat Jamal Khasoggi belum lagi diketahui di mana berada.

Lantaran kejadian ini dan beberapa lagi peristiwa, Amnesty International menentang pemilikan Newcastle oleh konsortium dari Arab Saudi kerana bimbang akan merosakkan jenama Premier League.

Sumber: BBC

BACA:  Steve Bruce dan Newcastle United Akhirnya Berpisah Secara Baik