Kenapa Atlet Mencarut? Kajian Menunjukkan Ia Mempunyai Kesan!

“PERGI MAMPUS – SIAL KAU.”

Rancangan TV Sepanyol El Chiringuito memang terkenal dengan suasana yang pelik dan huru-hara tetapi minggu lalu ia mencapai satu tahap baru dalam dunia surrealisme apabila mereka membincangkan nuansa dalam kata-kata kesat bahasa Inggeris.

Mereka menghabiskan 2 jam hanya untuk membincangkan kad merah Jude Bellingham dalam perlawanan Real Madrid menentang Osasuna. Bellingham dibuang padang kerana mengeluarkan kata-kata kesat kepada pengadil, Jose Luis Munuera Montero. Perdebatan bukanlah mengenai sama ada Bellingham menggunakan perkataan yang kasar tetapi bagaimana dia mengungkapkannya dan niat di sebalik kata-kata itu.

Seperti yang didakwa Carlo Ancelotti, “f*** off” (pergi mampus) jauh lebih ringan dan kurang menyinggung perasaan berbanding “f*** you” (sial kau)? Pakar bahasa dipanggil untuk memberikan pendapat. Hujah serius diberikan, dahi berkerut dan semua orang menganggap perkara ini sebagai isu yang amat besar. Dalam satu rancangan sorotan perlawanan yang lain, frasa-frasa yang menjadi kontroversi itu dipaparkan di bahagian bawah skrin seolah-olah ia berita tergempar atau kemas kini keputusan perlawanan.

Tidak kira apa sebenarnya yang dikatakan oleh Bellingham atau apa yang ingin dia sampaikan, ini hanyalah contoh terbaru tentang bagaimana sukan mempunyai hubungan yang pelik dengan bahasa kesat.

Dalam Formula 1, peraturan baharu musim ini boleh menyebabkan pelumba kehilangan mata kejuaraan jika mereka melakukan pelanggaran berulang kali termasuk menyumpah dalam sidang media dan temu bual. Pelanggaran pertama akan dikenakan denda sebanyak €40,000, pelanggaran kedua meningkat kepada €80,000 dan pelanggaran ketiga akan mengakibatkan pelumba didenda €120,000 serta berdepan penggantungan dan pemotongan mata kejuaraan.

Ini adalah sistem ‘tabung menyumpah’ yang luar biasa besar dan ia bermakna bahawa kejuaraan dunia boleh ditentukan hanya kerana beberapa kata kesat yang tidak disengajakan. Keadaan ini jelas tidak masuk akal dan menunjukkan bahawa semua orang mungkin perlu lebih matang dalam menangani isu ini. Bayangkan usaha keras seorang pelumba selama setahun  boleh menjadi sia-sia hanya kerana beberapa patah kata menyumpah.

Juara dunia bertahan yang terkenal dengan mulut celuparnya, Max Verstappen turut menyuarakan pendapatnya tentang peraturan ini dalam satu sidang media sebelum perlumbaan tahun lalu.

“Kita perlu gunakan akal yang waras,” katanya. “Saya lebih suka jika kita fokus pada perkara lain seperti meningkatkan keselamatan dan prestasi kereta Formula Satu daripada terlalu sibuk dengan isu sebegini. Ia agak tidak perlu.”

Sumpah seranah sebenarnya mempunyai sejarah yang panjang dalam dunia sukan. Seorang lagi pemain England yang pernah bermain di Madrid, David Beckham pernah mengalami situasi sama pada tahun 2004. Ketika itu, reputasinya tercalar akibat kontroversi melibatkan kehidupan peribadinya namun dia menerima kad merah pertamanya di Sepanyol kerana mengeluarkan kata-kata kesat kepada penjaga garisan: “hijo de puta”. Secara harfiah, ia bermaksud “anak pelacur” tetapi di Sepanyol, frasa ini jauh lebih kasar berbanding dalam dunia bahasa Inggeris.

Legenda Manchester United, Sir Alex Ferguson juga terkenal dengan penggunaan bahasa kasar terutama ketika memberikan teguran keras kepada pemainnya atau menegur pengurus lawan di tepi padang. Kadangkala menyumpahnya terlepas ke khalayak umum. Salah satu insiden paling dikenali berlaku pada tahun 2001 apabila beliau mempertahankan pemain barunya, Juan Sebastian Veron daripada kritikan media. Ketika sidang media, Ferguson dengan lantang berkata kepada wartawan,

“Kamu semua memang bodoh!”

Di seberang bandar Manchester, Roberto Mancini pula mencipta salah satu adegan sumpah seranah paling lucu dalam sejarah bola sepak. Pada hari terakhir musim 2011-12, Manchester City perlu menewaskan Queens Park Rangers untuk menjuarai Liga Perdana Inggeris. Apabila Jamie Mackie menjaringkan gol untuk QPR, Mancini hilang kawalan dan mengelilingi kawasan teknikal sambil menjerit “F** YOU! F*** YOU! F*** YOU!”* tanpa sasaran yang jelas. Ia mungkin ditujukan kepada pemainnya, pasukan lawan atau staf kejurulatihan kerana menguji kesabarannya pada detik penting itu.

Pada era 1970-an, Brian Clough seorang pengurus yang terkenal dengan sikap lantangnya turut dikenali sebagai seorang yang kerap menggunakan kata-kata kesat di belakang tabir. Dia pernah naik angin dengan penyokong Nottingham Forest kerana sering mencarut di stadium. Sebagai tindak balas, sebelum satu perlawanan, dia memasang papan tanda besar bertulis,

Tuan-tuan, tolong jangan mencarut – Brian.”

Tidak lama selepas itu, ketika Clough dikaitkan dengan jawatan pengurus England, peminat Forest membalas dengan kain rentang mereka sendiri.

“Brian, tolong jangan tinggalkan kami – Tuan-tuan.”

Di luar dunia bola sepak, salah satu insiden sumpah seranah paling terkenal dan mahal dalam sejarah sukan berlaku pada tahun 2009, ketika Serena Williams bermain di separuh akhir Terbuka AS. Dia menjadi marah selepas beberapa kali dipanggil melakukan foot fault, lalu menghamburkan kemarahan kepada penjaga garisan dengan berkata,

“Aku bersumpah akan ambil bola ini dan sumbatkannya ke dalam kerongkong kau!”

Akibatnya, dia dihukum pemotongan mata dan didenda $10,500.

Secara amnya, pemain boleh dikenakan hukuman kerana mengeluarkan ‘kata-kata kesat yang boleh didengar’ di gelanggang dan dalam kes tertentu mereka boleh kalah percuma kerana perkara ini. Sebagai contoh, di Kejohanan DC Open tahun lalu, Denis Shapovalov dibatalkan kelayakan selepas mencarut kepada seorang penonton ketika menentang Ben Shelton.

Dalam sukan kriket, yang sering dianggap sebagai sukan yang penuh adab, sumpah seranah juga sudah lama menjadi sebahagian daripada budaya permainan. ‘Sledging’ iaitu teknik mengganggu lawan dengan kata-kata kasar sudah menjadi kebiasaan, seperti ketika kapten Australia, Michael Clarke memberi amaran kepada pemain England, Jimmy Anderson,

“Bersedia untuk lengan kau patah.”

Perkataan kesat sering kali menjadi isu dalam dunia sukan terutamanya apabila ia didengar secara langsung oleh penonton di rumah. Jika pemain secara tidak sengaja terlepas kata-kata kasar dalam temu bual selepas perlawanan, penyiar biasanya akan segera meminta maaf. Contohnya, selepas Plymouth Argyle mengejutkan Liverpool dalam saingan Piala FA baru-baru ini, pemain pertahanan mereka, Nikola Katic secara spontan menggunakan bahasa kasar dalam wawancara langsung di ITV. Menariknya wartawan yang menemu bualnya, Gabriel Clarke membiarkannya berlalu begitu sahaja dan akhirnya pengacara studio yang meminta maaf kepada penonton.

Sebab utama stesen TV meminta maaf bukan kerana mereka terlalu sensitif terhadap bahasa kasar tetapi lebih kepada peraturan yang ditetapkan oleh badan penyiaran. Jika mereka tidak bertindak, mereka boleh dikenakan denda oleh pihak berkuasa.

Ketika pandemik melanda dan stadium kosong tanpa penonton, masalah ini menjadi lebih besar. Walaupun penyiar cuba menutupinya dengan bunyi sorakan palsu, ada kalanya kata-kata kesat pemain tetap dapat didengar dengan jelas. Misalnya ketika perlawanan baseball antara Los Angeles Dodgers dan Houston Astros pada Julai 2020, seorang pemain melepaskan satu sumpah seranah yang kuat menyebabkan penyampai siaran, Joe Davis berkata dengan nada canggung,

“Nampaknya dalam stadium kosong, kita boleh dengar perkara yang biasanya tidak kedengaran. Maaf untuk sesiapa yang mempunyai mulut celupar itu.”

Kenapa kita mencarut?

Mengapa manusia menggunakan kata-kata kesat? Dan mengapa dalam situasi tertentu, hanya perkataan yang dianggap ‘kasar’ sahaja yang dapat meluahkan perasaan dengan tepat? Menurut Dr. Robbie Love, pensyarah kanan dalam bidang bahasa Inggeris dan linguistik di Universiti Aston,

“Orang mencarut sebagai satu bentuk pelepasan emosi—untuk menunjukkan rasa marah, terkejut, gembira atau sebarang perasaan yang kuat.”

Lebih menarik lagi, kajian menunjukkan bahawa mencarut sebenarnya boleh meningkatkan prestasi fizikal atlet.

Satu kajian yang diterbitkan dalam jurnal Frontiers in Psychology mendapati bahawa mencarut boleh memberi kesan kepada fisiologi, psikologi dan toleransi terhadap kesakitan seseorang. Dalam eksperimen yang dijalankan, peserta diminta melakukan aktiviti fizikal seperti mengangkat berat atau menguji kekuatan genggaman tangan. Selepas itunmereka diminta mengulangi aktiviti yang sama tetapi dengan mencarut selama 10 minit terlebih dahulu. Keputusan menunjukkan bahawa prestasi mereka meningkat selepas mengeluarkan kata-kata kasar!

Adakah ini bermakna mencarut di atas padang boleh membantu pemain mengawal emosi dan mengelakkan mereka bertindak agresif secara fizikal? Mungkin tidak sepenuhnya tetapi jika seorang pemain dapat melepaskan kemarahan melalui kata-kata, ia sekurang-kurangnya boleh menjadi satu bentuk pelepasan tanpa perlu bertindak ganas.

Menurut Dr. Love,

“Ada banyak ruang untuk menafikan perkara ini. Kalau anda menumbuk seseorang di depan kamera yang ditonton oleh jutaan orang, anda tidak boleh berdalih. Tetapi jika anda mencarut anda boleh mengatakan bahawa orang salah dengar. Anda boleh kata, ‘Sebenarnya saya sebut fork, bukan f**.’”*

Akhirnya, mendengar atlet mencarut di tengah aksi seharusnya tidaklah begitu mengejutkan atau mengganggu. Mereka juga manusia biasa dan tidak banyak yang boleh kita lakukan tentang itu. Mungkin pihak berkuasa sukan sama ada bola sepak, F1 atau sukan lain tidak perlu terlalu mengambil serius tentang perkara ini.

Dan jika mereka masih mahu mengenakan sekatan yang ketat, maka… f*** off. Atau f*** you. Pilihlah mana yang mana rasa kurang kasar.

BACA:  Krisis ACL di Liga Perdana Inggeris: Punca dan Penyelesaiannya