Kenapa Benzema Pakai Pembalut Tangan Terjawab

Karim Benzema adalah penyerang prolifik yang cukup cemerlang pada musim lepas. Bukan sahaja membantu Real Madrid muncul juara La Liga, malah dia juga turut membawa pasukannya itu muncul juara Eropah menewaskan bekas bakal juara EPL, Liverpool.

Kecemerlangannya itu telah membawa dirinya menjadi calon utama untuk memenangi anugerah individu yang paling menjadi perhatian seluruh penyokong bola sepak di dunia ini – Ballon d’Or.

Namun, di sebalik aksi mantapnya di atas padang, mungkin ramai yang tertanya kenapa Benzema yang lebih mesra dipanggil Encik Karim ini sering memakai pembalut tangan?

Adakah dia menyimpan susuk tulang ikan di sebalik balutan tersebut? Atau dia sekadar menutup kayap ular di pergelangan lengannya?

Sebelum Benzema, beberapa bintang lain turut mengenakan pembalut tangan seperti itu juga. Contohnya dua legenda Real Madrid, Jose Antonio Camacho dan Chendo, turut memakai pembalut tangan.

Ini membuatkan penyokong menjadi lebih tertanya-tanya, adakah Benzema mengamalkan tradisi turun temurun?

Tidak.

Sejarah pembalut tangan Benzema ini sebenarnya bermula pada tahun 2019. Pada tanggal 13 Januari tahun tersebut, penyerang Perancis ini telah berlanggar dengan pertahanan Real Betis, Marc Bartra dalam perlawanan La Liga.

Terlepas satu perlawanan – menentang Leganes dalam kempen Copa Del Rey, Benzema terus turun ke padang dalam perlawanan berikutnya menentang Sevilla dan kali ini, dia memakai pembalut tangan demi keselamatan.

Dia kemudiannya terus menjaringkan enam gol dalam empat perlawanan dan balutan di tangannya itu dilihat mampu meningkatkan prestasinya umpama tangkal ajaib. Malah keraian golnya juga turut melibatkan pembalut tangan tersebut.

Pada musim panas selepas musim 2018-19, Benzema telah menjalani pembedahan di tangannya tetapi dia terlalu tergesa-gesa di fasa rehabilitasi sekaligus menyebabkan kecederaan di jarinya tidak sembuh dengan sempurna.

Sejak itu, Benzema terus bermain dengan kecederaan dan terpaksa membalut tangan serta jarinya dengan ketat.

Sejak kecederaan dalam perlawanan menentang Betis tersebut, Benzema telah berjaya menjaringkan lebih 40 gol dan dalam satu sidang media sebelum perlawnaan Liga Juara-Juara UEFA peringkat kumpulan pada bulan Oktober 2021, Benzema mendedahkan dia masih perlu memakai pembalut tangan itu.

“Aku dah jalani pembedahan, tapi bila kau jalani pembedahan kau kena rehat selama dua bulan,” ujarnya.

“Jari aku ni cedera balik sebenarnya tapi aku tak ada masa untuk berhenti dan jalani satu lagi pembedahan. Jadi, aku pakai la pembalut tangan semasa bermain.”

Untuk rekod, musim 2021-22 adalah musim yang paling cemerlang buat Benzema sepanjang menyarung jersi Real Madrid sejak menyertainya pada tahun 2009.

Dalam 44 perlawanan pemain ini diturunkan, hanya tiga perlawanan sahaja dia tidak menjadi kapten. Daripada jumlah perlawanan tersebut, Benzema telah menjaringkan 44 gol serta merekodkan 15 assist.

Dengan kata lain, Benzema terlibat secara langsung dalam 59 gol Real Madrid pada musim tersebut!

Antara perlawanan yang paling diingati ramai adalah bila mana dia mencatatkan hatrik dalam perlawanan pusingan kedua peringkat 16-pasukan Liga Juara-Juara UEFA menentang kelab Qatar, Paris Saint Germain.

Dalam pusingan pertama, Paris Saint Germain memenangi perlawanan hasil jaringan tunggal anak emas pasukan, Kylian Mbappe pada hujung perlawanan.

Pun begitu, Benzema dan rakan sepasukan tidak menyerah kalah dan dalam perlawanan kedua di Santiago Bernabeu, taring sebenar Los Blancos mula ditunjukkan.

Mbappe sekali lagi menjadi duri dalam daging Real Madrid apabila dia menjaringkan gol pada minit ke-39. Pada separuh masa kedua, Real Madrid bangkit dan wira mereka, Benzema, mencatatkan hatrik dalam masa 17 minit.

Gol pertama dijaringkan pada minit ke-61. Gol berpunca daripada kerajinan Benzema yang melakukan tekanan kepada penjaga gol Paris Saint Germain, Gigi Donnarumma. Tekanan tersebut membuatkan Donnarumma terpaksa menyepak bola dengan melilau dan singgah ke kaki Vinicius Junior yang kemudiannya melorongkan bola kepada Benzema di dalam kotak penalti.

Tanpa silap, penyerang tersebut menyepak bola ke dalam gol dengan mudah.

Pada minit ke-76, Benzema sekali lagi menggegarkan jaring lawan apabila dia memposisikan dirinya dengan begitu baik di dalam kotak penalti untuk menerima umpanan bahaya daripada Luka Modric. Sebaik menerima bola, dia melepaskan satu rembatan kencang menewaskan Donnarumma untuk kali kedua.

Kecemerlangan pemain ini dirangkumkan pada minit ke-78 apabila dia menolak dengan mudah bola ke dalam jaring selepas pertahanan Paris Saint Germain melakukan kesilapan.

Pada peringkat suku akhir, Benzema meneruskan kecemerlangannya apabila sekali lagi mencatatkan hatrik dalam perlawanan pertama pusingan tersebut menentang Chelsea di Stamford Bridge. Gol pada minit ke-21, 24 dan 46 memberikan bekal yang mewah buat Real Madrid untuk bermain di tempat sendiri di pusingan kedua nanti.

Dalam perlawanan kedua suku akhir, Chelsea ketika itu sedang mendahului 3-1, menjadikan kedudukan aggregat terikat 4-4, lalu muncul Benzema menjaringkan gol pada minit akhir perlawanan sekaligus membawa pasukannya layak ke separuh akhir.

Kecemerlangannya ini benar-benar meletakkannya sebagai calon utama untuk memenangi Ballon d’Or. Kalau tak menang lagi tak tahu lah.

Sumber : Goal

BACA:  Benzema Mengecam Giroud Secara Terang Terangan