Kenapa City Tidak Boleh Buat Rayuan Kepada CAS Jika Didapati Bersalah?

Manchester City tidak lagi boleh membuat rayuan ke Court of Arbitration for Sport (CAS) atau Mahkamah Timbang Tara Sukan jika mereka di dapati bersalah dalam tuduhan yang dikenakan oleh Premier League, kenapa?

Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) ialah sebuah badan antarabangsa yang ditubuhkan pada tahun 1984 untuk menyelesaikan pertikaian berkaitan sukan melalui timbang tara.

Ibu pejabatnya terletak di Lausanne, Switzerland dan mahkamahnya terletak di New York City, Sydney dan Lausanne. Mahkamah sementara juga akan ditubuhkan di bandar tuan rumah Olimpik semasa.

Pada Februari 2020, Manchester City telah diharamkan daripada menyertai Liga Juara-Juara dan didenda £25 juta selepas mereka didapati telah mengelirukan badan induk bola sepak Eropah UEFA secara serius dan melanggar peraturan FFP.

Hukuman ini kemudiannya ditarik balik oleh mahkamah timbang tara untuk sukan (CAS) yang turut mengurangkan denda kelab kepada £9 juta sahaja sekaligus menyelamatkan Manchester City dari bala bencana.

Ketika itu CAS mendapati bukti yang dikemukakan oleh UEFA telah tamat tempoh, atau rekod tersebut terlalu lama untuk digunakan di dalam dakwaan – sekaligus membenarkan pengurangan hukuman dan denda.

Perkara itu bagaimanapun tidak mungkin akan berulang kembali kali ini kerana Man City kini tidak boleh membawa dakwaan oleh Premier League kepada CAS.

Berbeza dengan dakwaan yang dikenakan oleh UEFA yang melibatkan bukti yang memiliki tarikh luput, peraturan milik Premier League adalah sebaliknya dan tiada kelebihan buat City.

Ini bermaka apabila barisan peguam Man City cuba mempertahankan kelab itu nanti, mereka tidak boleh menggunakan jangka hayat bukti untuk menyelamatkan diri lagi dan perlu mencari kelemahan baru untuk menyelamatkan diri.

Seorang pakar kewangan bola sepak, Kieran Maguire ketika menjelaskan kepada Sky Sports menjelaskan perkara tersebut kenapa dan bagaimana.

“Perbezaan ketara antara Premier League dan UEFA ialah UEFA mempunyai statut yang dihadkan dan mempunyai tempoh luput. Ini akan mengehadkan ketersediaan bukti kepada lima tahun. Premier League tidak mempunyai peraturan sebegitu.”

“UEFA juga mempunyai sumber bukti yang dihadkan kerana ia tidak boleh datang daripada sumber yang tidak dibenarkan – walaupun sahih. Dan jika anda melihat Buku Manual Premier League, ia menjelaskan semua jenis data dan bukti boleh digunapakai untuk dakwaan.”

Sumber tidak dibenarkan contohnya seperti football leaks walaupun bukti mereka kemukakan sahih namun cara bukti itu didapatkan adalah melalui cara yang salah melalui penggodaman.

“Tiada keraguan Man City akan menggunakan hujah tersebut untuk menghalang dakwaan daripada Premier League. Mereka akan mendakwa bukti tersebut datangnya daripada sumber tidak sahih dan tidak memiliki kredibiliti.”

“Saya berpendapat sebahagian daripada bukti yang diperolehi oleh Premier League datangnya daripada entiti bebas seperti Football Leak, Der Spiegel dan juga penggodam dari Portugal – kerana ia sangat terperinci.”

“Ia adalah salah satu cara Premier League mendapatkan bukti setelah gagal mendapat kerjasama penuh daripada kelab.”

Menurut kenyataan oleh Premier League pada malam tadi, Manchester City telah melakukan lebih 100 kesalahan peraturan kewangan di dalam tempoh sembilan tahun.

Segalanya bermula pada 2009, setahun selepas pengambilalihan oleh konsortium dari Abu Dhabi, dan perkara itu berulang sehingga 2018.

Sepanjang tempoh tersebut, Man City telah menjuarai English Premier League sebanyak tiga kali. Peraturan kewangan (FFP) Premier League direka untuk memastikan setiap kelab bertanding berbelanja dengan berhemah sesuai dengan pendapatan kelab.

Sesebuah kelab boleh didapati bersalah sekiranya memanipulasi pendapatan, atau menyembunyikan jumlah perbelanjaan sebenar – yang sepatutnya direkodkan di dalam akaun kewangan kelab.

Malang sekali Man City dipercayai telah melakukan banyak pelanggaran FFP sepanjang tempoh 9 tahun tersebut, apabila gagal memberikan maklumat tepat mengenai transaksi kewangan kelab.

Antaranya Man City didakwa gagal mengemukakan jumlah sebenar perbelanjaan yang terlibat untuk kontrak pengurus pasukan selama 4 tahun. Dalam erti kata lain, ada di kalangan pengurus yang pernah mengendalikan skuad utama City dibayar secara berlebihan tanpa diisytihar di dalam akaun rasmi kelab.

Selain daripada itu, Premier League turut mendakwa Man City gagal memenuhi kriteria kewangan yang ditetapkan oleh UEFA selama lima tahun. Pihak pengurusan kelab turut didakwa gagal memberikan kerjasama penuh untuk siasatan dilakukan oleh pihak Premier League.

Kini Manchester City berdepan tuduhan dari Premier League dan bukan lagi UEFA yang mempunyai kelemahan untuk mereka gunakan untuk mempertahankan diri.

Baca Juga

Baca Juga