Kenapa Leicester Gagal Tanpa N’Golo Kante

Liga Perdana Inggeris  musim 2015-16 telah menyajikan kejutan yang satu kejutan yang tidak terduga – Leicester City muncul juara dengan 81 mata. Ketika separuh musim, selepas perlawanan minggu ke 18, Leicester mendahului liga dengan 38 mata, manakala juara bertahan, Chelsea, menduduki tangga ke-15 dengan hanya 19 mata.

Walaubagaimanapun, pada musim 2016-17, dunia terbalik buat kedua-dua pasukan ini.

Selepas 18 perlawanan, Chelsea mendahului liga dengan 46 mata – dengan rekod kemenangan 12 kali berturut-turut, manakala juara bertahan, The Foxes, pula menduduki tangga ke 16 dengan kutipan 17 mata!

Leicester dan Chelsea selepas 18 perlawanan musim 2015-16

Chelsea dan Leicester selepas 18 perlawanan musim 2016-17

Gambar di atas menunjukkan perbezaan kedudukan dua pasukan ini pada musim 2015-16 dan 2016-17. Agak menarik apabila Manchester United kekal di tangga ke-enam.

Perubahan nasib kedua-dua pasukan yang berlaku ini disebabkan satu faktor – N’Golo Kante.

Kante tidak menjaringkan gol sebanyak Leo Messi, tidak menggelecek seperti Cristiano Ronaldo, tidak menggigit lawan seperti Luis Suarez malah tidak mewarnakan rambut seperti Safiq Rahim, tetapi pepatah Perancis mengatakan;

‘Si vous avez kante, vous gagnerez la ligue.’ 

‘Jika anda mempunyai Kante, anda akan menang liga.’ [1]

Kante telah menyertai Chelsea dengan nilai GBP 32 juta dan sekaligus mengubah nasib Chelsea, manakala Leicester City pula masih terkial-kial mencari pengganti Kante.

Posisi Kante

Secara alaminya, Kante bermain di posisi tengah, atau lebih tepat lagi holding midfielder. Peranan holding midfielder ialah berada di belakang pemain tengah yang lain, tetapi di hadapan barisan pertahanan. Posisi ini juga dinamakan sebagai ‘Makalele role’ – diberi nama sempena Claude Makalele yang cemerlang bersama Real Madrid dan Perancis suatu ketika dahulu.

Tugas Kante ialah memenangi bola yang menuju ke  arah pertahanan pasukan, dan mulakan serangan pantas di kala pihak lawan masih lagi belum bersedia untuk menerima hentakan serangan.

Kelebihan yang dimiliki Kante

Selain betis berurat dan teman wanita yang cantik, Kante mempunyai banyak kelebihan untuk bermain di posisi ini. Kepantasan, stamina yang tinggi dan ketajaman akalnya membaca permainan lawan menyumbang kepada prestasi cemerlangnya di atas padang.

Lebih menarik, dalam setiap perlawanan Kante bagaikan berada di segenap penjuru padang dek tenaga dimiliknya.

Ada ketika Kante akan membawa bola dari kawasan sendiri sehingga ke kotak penalti pasukan lawan, dan ada kalanya Kante akan menghantar bola kepada rakan terdekat selepas memenangi bola. Bagi Kante, tugas utamanya ialah menjaga dan menyenangkan urusan barisan pertahanan ketika diasak dan urusan serangan diambil alih oleh pemain di bahagian atas.

Kante di Leicester

Danny Drinkwater menjadi gandingan Kante di Leicester di hadapan Wes Morgan dan Robert Huth di pertahanan tengah. Gandingan dua pemain ini ibarat membina Tembok Besar Negeri China di hadapan pertahanan dan setiap hantaran pihak lawan boleh diibaratkan seperti hantar bola ke dinding, pasti akan berpatah kembali[2]. Dengan ini, pemain di jabatan serangan –Shinji Okazaki, Jamie Vardy, Riyad Mahrez dan Marc Albrighton dapat bergerak bebas dengan keperluan minimum untuk membantu pertahanan.

Hasilnya, Vardy bebas menjaringkan gol sesuka hati dan Mahrez menggelecek bagaikan tarian Misty Coppeland.[3]

Kante di Chelsea

Prestasi cemerlang di Leicester menjadi pendorong buat pengurus baharu Chelsea, Antonio Conte untuk membeli Kante, selain sebutan nama mereka berdua yang hampir sama.

Kante-Conte. Conte-Kante[4]

Setelah menyertai Chelsea, posisi Kante dikekalkan di holding midfielder di bawah Antonio Conte, dan tidak ditukar kepada penjaga gol, dan digandingkan dengan Nemanja Matic, pemain yang berasal dari Serbia di bawah formasi 3-4-3 Conte.

Namun tugas Kante tidak banyak berubah di mana dia fokus kepada mempertahankan barisan pertahanan dan sekali sekala mebantu bahagian serangan. Setakat ini, gandingan Kante bersama Matic amat serasi sekaligus meletakkan Chelsea di takhta liga menjelang tahun baru.

Dengan kehadiran Kante juga, Eden Hazard – yang mempunyai satu percubaan tepat sepanjang musim lalu – bagaikan mati hidup semula. Hazard cukup cemerlang musim ini dengan Sembilan gol dan satu bantuan gol.

Begitu juga dengan Diego Costa – telah menjaringkan 13 gol dan 5 bantuan gol. Setakat 18 perlawanan, Chelsea telah menjaringkan 38 gol dan melepaskan 11 gol.

Statistik Kante musim ini dan musim lalu. Gambar : Daily Mail

Kesimpulan

Tidak dinafikan Leicester telah membuat kesilapan besar dengan melepaskan Kante, tatkala mereka masih belum menemui penggantinya, dan Chelsea pula telah melakukan satu pembelian yang cukup berbaloi.

Nampalys Mendy yang diharapkan menjadi pengganti segera kepada Kante masih belum mampu membuktikan sedemikian dan tentunya untuk mengelakkan daripada tersingkir ke Liga Kejuaraan, Leicester perlu mencari pengganti Kante secepat mungkin ketika jendela perpindahan Januari dibuka nanti.

Nota :

(1) Pepatah ini rekaan semata-mata.

(2) Hiperbola yang sangat power.

(3) Sekali lagi hiperbola yang sangat power.

(4) Ulang tujuh kali.

Baca Juga

Baca Juga