Setiap kali menjelang bulan November setiap tahun semua kelab EPL akan memakai serta meletakkan bunga merah di bahagian dada jersi pasukan masing-masing dan bertakafur seketika sebelum sepak mula perlawanan.
Bunga merah tersebut merupakan bunga Poppy. Poppy adalah sejenis tumbuhan herba dan berbunga yang tergolong dalam subkeluarga Papaveroideae dari keluarga Papaveraceae. Bunga Poppy termasuk ke dalam jenis bunga liar yang biasanya tumbuh mengelompok di padang rumput atau pegunungan.
Bunga Poppy kini antara bunga yang ditanam sebagai tanaman hiasan kerana kepelbagaian warna yang menarik seperti merah jambu, putih, kuning, oranye, merah darah, biru, atau ungu menjadikan bunga ini cukup diminati.
Bunga Poppy telah digunakan sejak zaman-berzaman sebagai simbol khayalan, kedamaian dan kematian. Mengikut tafsiran mitologi klasik atau kekhurafatan klasik, warna merah menyala bunga Poppy membawa maksud suatu janji kebangkitan selepas mati.
Dalam budaya orang Roman, bunga ini diguna pakai sebagai persembahan dan perlambangan kepada individu yang telah meninggal dunia, di mana rupa bunga Poppy akan dipahat di atas batu nisan sebagai lambang tidur yang abadi.
Kenapa Bunga Poppy diletakkan di Jersi?
Berbalik kepada bunga Poppy yang tertera di jersi, ianya merupakan simbol kepada Remembrance Day atau hari peringatan disambut pada 11 November bagi memperingati jasa perajurit yang terkorban di perbatasan sejak tamat perang dunia pertama.
Tradisi ini dirintis oleh King George V pada 1919 dengan upacara bertakafur selama 2 minit.
Remembrance Day disambut oleh di United Kingdom dan negara Komenwel yang lain bersempena meraikan Armistice Day atau Hari Genjatan Senjata yang terjadi pada 11 November 1918.
Hari Genjatan Senjata ini berlaku apabila negara-negara perikatan Perang Dunia Pertama dan Jerman setuju untuk meletakkan senjata pada 11 November 1918, jam 11 pagi dan tamatlah Perang Dunia pertama.
Pada tahun 2009, hanya Liverpool dan Manchester United sahaja dari kelab Premier League tidak meletakkan bunga Poppy di jersi pasukan tetapi pada tahun 2010 kesemua pasukan telah memberi sokongan untuk memakai bunga tersebut.
Sebelum ini pasukan yang mengenakan bunga ini atas jersi mereka menggunakan inisiatif masing-masing di mana ada pasukan yang mencetak di atas jersi dan ada yang menyulam bunga di jersi mengikut rekaan sendiri.
Pada tahun 2012 selepas mendapat kerjasama daripada Royal British Legion setiap pasukan akan meletakkan rekaan bunga poppy yang seragam di jersi mereka.
Di Malaysia amalan memakai bunga Poppy pernah juga disambut tetapi sambutan itu telah dihentikan pada akhir tahun 60-an.
Penggunaan bunga Poppy sebagai simbol Remembrance Day diinspirasikan dari sajak Perang Dunia Pertama yang bertajuk “In Flanders Fields”. Sajak ini ditulis oleh seorang perajurit Leftenan Kolonel John McCrae pada 3 Mei 1915 selepas beliau menyaksikan kematian sahabatnya Leftenan Alexis Helmer.
Dalam baris pembukaan sajak itu menyebut Poppy merupakan bunga pertama yang tumbuh di Flandes, Belgium. Flandes merupakan tempat yang banyak menumpahkan darah semasa perang dunia pertama.
Pada tahun 2011 pasukan England telah dilarang oleh FIFA untuk menggunakan simbol ini dijersi ketika menentang Sepanyol di Wembley. Rentetan dari larangan itu Sportsmail telah melancarkan satu kempem untuk membolehkan simbol itu digunapakai di jersi pasukan.
Kempen itu disokong oleh Putera William dan Perdana Menteri UK ketika itu David Cameron, maka satu persetujuan telah dicapai. Pemain dibenarkan memakai lilitan di lengan yang berwarna hitam yang disulam dengan simbol bunga Poppy. Mereka pun hidup aman bahagia sepanjang hayat.
Pemakaian simbol tersebut adalah tidak wajib bagi pemain tetapi mereka tetap memakai simbol itu sebgai tanda penghormatan.
Nemanja Matic sebelum ini pernah memakai bunga tersebut namun dia kemudiannya memutuskan untuk tidak mahu lagi memakainya sejak beberapa tahun kebelakangan ini dalam karier terakhirnya bersama Manchester United.
Alasan mengapa dia tidak mahu memakai bunga merah itu adalah kerana peristiwa pengeboman oleh NATO yang berlaku di kampung halaman beliau di Serbia ketika beliau berusia 12 tahun.
Nemanja Matic explains why he is no longer wearing a poppy. pic.twitter.com/T6waVTzwFe
— ESPN FC (@ESPNFC) November 6, 2018
James McClean yang pernah beraksi bersama Sunderland, West Bromwich Albion dan Stoke City tidak memakai logo bunag Poppy ini sejak tahun 2012 lagi.
Kini selepas sedekad, McClean yang beraksi di liga kejuaraan masih menolak perkara itu dan menjadi mangsa kecaman penonton.
Bunga Popi ~ Usman Awang
Sasterawan Negara Usman Awang atau nama penanya Tongkat Warrant pada tahun 1995 pernah menukilkan sajak yang bertajuk ‘Bunga Popi’yang berinspirasi daripada pemerhatiannya terhadap pergolakan dunia pada masa itu.
Dari darah, dari nanah yang punah di tanah,
rangka manusia kehilangan nyawa disambar senjata,
hasil manusia gila perang membunuh mesra,
bunga merah berkembang indah minta disembah.
Yang hidup tinggal sisa nyawa, penuh derita,
kering, bongkok, cacat, tempang dan buta,
perang dalam kenangan penuh kengerian,
sekarang dalam kepahitan,
dalam kesepian.
Yang lain kehilangan anak, suami dan kekasih,
hilang pergantungan, hilang pencarian,
hidup kebuluran,
ribuan janda, ribuan kcewa, ribuan sengsara,
jutaan anak-anak yatim hidup meminta-minta.
Manusia gila perang telah membunuh segala mesra!
perang berlangsung mencari untung tanah jajahan!
perang berlangsung membunuh anak dalam buaian!
perang berlangsung menghantar lebur nilai kebudayaan!
Bunga popi bunga mayat perajurit bergelimpangan,
bunga darah merah menyimbah,
penuh kengerian.
Kami benci pada perang penuh pembunuhan!
kami rindu pada damai sepanjang zaman!
Usman Awang
1955