Ketika para pemain Real Madrid keluar dari terowong menuju padang di Etihad Stadium untuk sesi pemanasan sebelum perlawanan Liga Juara-Juara menentang Manchester City, terdapat sesuatu yang membuatkan mereka mengubah laluan.
Seorang demi seorang, setiap pemain sengaja mengelak dari berjalan di satu kawasan tertentu. Apa yang mereka cuba elakkan? Adakah terdapat lubang besar yang tiba-tiba terbentuk? Atau mungkin ada najis anjing di situ?
Tidak. Ia hanyalah logo Manchester City.
Selamat datang ke salah satu tradisi bola sepak yang paling tidak masuk akal.
Tradisi Hormat Yang Semakin Keterlaluan
Dalam bola sepak moden, terdapat beberapa tanda hormat yang boleh diterima jika kita benar-benar cuba memahami rasionalnya.
Sebagai contoh, berjabat tangan sebelum perlawanan yang mula diperkenalkan pada 2004. Ia pernah dikritik hebat. Pemain dari era sebelumnya tidak dapat memahami konsep bersikap mesra kepada lawan sebelum perlawanan bermula.
Perdebatan itu berlanjutan selama beberapa tahun. Pada tahun 2012, bekas pemain tengah Liverpool dan England, Jamie Redknapp mengkritik amalan berjabat tangan sebagai mengarut, memalukan dan tidak membawa sebarang faedah.
Namun, sama seperti emoji dan swafoto, apabila sesuatu amalan diulang berkali-kali, ia menjadi kebiasaan dan akhirnya diterima ramai.
Kini, berjabat tangan sebelum perlawanan dianggap normal. Tetapi apabila satu tanda hormat menjadi keterlaluan, di manakah kita harus menarik garis batasan?
Tidak meraikan gol ketika menentang bekas kelab mungkin antara contoh paling tidak masuk akal. Jika benar pemain itu menghormati kelab lamanya, mengapa dia masih menjaringkan gol? Dan bagaimana dengan kelab yang membayar gajinya sekarang serta penyokong yang menyokongnya? Tidakkah mereka berhak melihat pemain itu meraikan kejayaan pasukan mereka?
Satu lagi amalan yang tidak perlu ada dalam bola sepak moden ialah bertukar jersi pada masa rehat separuh masa. Manakala skarf separuh-separuh (gabungan dua kelab dalam satu skarf) adalah tanda hormat versi penyokong yang juga keterlaluan.
Tetapi mengelak daripada berjalan di atas logo kelab? Ini sukar difahami.
Dari Mana Datangnya Amalan Ini?
Tidak jelas bagaimana fenomena ini bermula tetapi ia kini ia sudah menjadi satu kebiasaan.
Dalam satu video yang dikongsikan di media sosial, pemain Real Madrid dilihat mengelak daripada melangkah di atas logo Manchester City di Etihad Stadium.
Di Santiago Bernabeu pula, Vinicius Junior pernah dilihat melompat untuk mengelakkan kakinya daripada menyentuh logo Real Madrid yang dilukis berhampiran padang.
Namun, bukankah logo itu memang direka untuk dilangkah? Bukannya diletakkan di dalam muzium atau di atas kubur.
Pemain seperti Ander Herrera pernah melangkah logo Manchester City tetapi apabila kejadian itu menjadi isu besar, dia segera meminta maaf.
“Saya tidak sengaja melakukannya,” katanya. “Saya menghormati semua kelab sebagaimana saya mahu kelab saya dihormati.”
Bekas penjaga gol England, Ben Foster, turut mengkritik amalan ini di podcastnya.
“Saya tak boleh terima,” katanya. “Jika anda letak logo di tengah laluan atau padang, sudah tentu orang akan terpijak. Itu bukan tanda tidak hormat.
“Tetapi kalau di Real Madrid, pemain akan mengelak. Kenapa? Sebab nampak bagus di kamera. Sebab itu Real Madrid. Ada sejarah, ada prestij dan mereka tak mahu dianggap tidak hormat.”
Adakah Ini Benar-Benar Diperlukan?
Mungkin ada yang berpendapat amalan ini hanyalah tanda hormat yang baik dan lawan sepatutnya menunjukkan rasa hormat kepada satu sama lain.
Atau mungkin ini hanya satu lagi aksi pura-pura yang tiada faedahnya.
Apa pun, kita hanya perlu menunggu dan melihat sama ada pemain Manchester City akan mengelak daripada melangkah logo Real Madrid di Bernabeu – sebelum mereka cuba bangkit daripada kekalahan 3-2 dalam perlawanan kedua.