Kenapa Penaja Tidak Berminat Untuk Menaja Pasukan di Malaysia?

Liga Malaysia boleh dikatakan sinonim dengan masalah gaji di mana setiap tahun pasti ada cerita tentang pemain yang tidak dibayar oleh majikan, baik di Liga Super atau Liga Perdana.

Ada pemain yang gajinya sangkut sebulan, ada juga yang dua bulan, malah lebih daripada tiga bulan pun ada!

Terdapat cakap-cakap orang yang mengatakan bahawa masalah ini timbul kerana gaji para pemain terlalu tinggi dan tidak padan dengan taraf liga. Memandangkan sumber rujukan tentang bola sepak di Malaysia agak terhad, ada sumber yang menyebut gaji biasa pemain di Malaysia adalah sekitar RM15,000 sehingga RM60,000 untuk pemain tempatan!

Pada masa yang sama,tidak kurang juga yang menunding jari kepada pengurusan pasukan yang dilihat masih tersangkut di taraf FA walaupun sudah beralih sepenuhnya kepada FC.

Menjawab persoalan pertama, adakah pemain perlu dipersalahkan jika mereka menerima gaji yang tinggi?

Jawapannya semestinyalah tidak.

Ini kerana karier pemain bola boleh dikatakan sangat pendek,, di mana para pemain hanya mampu beraksi dengan baik sehingga usia sekitar 33 tahun sahaja.

Lagi pula, jika ada pasukan yang tawarkan gaji yang lumayan, kenapa mesti ditolak.

Jadi, jika pasukan menawarkan gaji yang lumayan, maka pasukan mestilah mempunyai kewangan yang kukuh dan pihak pengurusan perlu pandai ‘berjalan’ mencari duit, terutamanya daripada para penaja.

Kalau kita tengok dalam arena bola sepak di Eropah, kebanyakan penaja pasukan adalah terdiri daripada syarikat yang kita boleh kategorikan sebagai B2C – Business to Consumer.

B2C bermaksud produk daripada syarikat dijual secara terus kepada para pengguna seperti kita. Contohya Manchester United, mereka mampu menarik penaja B2C seperti TeamViewer, DHL, AON, Chevrolet sebelum ini dan banyak lagi.

Terdapat banyak syarikat B2C yang beroperasi di Malaysia dan kita maklum bahawa syarikat-syarikat ini menjana pendapat berjuta Ringgit setiap tahun, jika tidak berbilion.

Sebut sahaja syarikat B2C seperti Nestle, Honda, Gardenia, Toyota dan banyak lagi!

Antara sebahagian syarikat B2C di Malaysia dengan jenama masing-masing. Gambar : The Vocket

Kenapa kita tidak pernah, ataupun jarang melihat jenama-jenama ini di jersi pasukan Liga Malaysia? Atau setidak-tidaknya di papan iklan di tepi padang di dalam stadium?

Bekas Ketua Pegawai Pemasaran JDT, Encik Ayani Ismail ada berkongsi pengalamannya kenapa syarikat B2C bagaikan tidak sudi untuk menaja pasukan di Liga M, menerusi satu hantaran di akaun Facebook miliknya.

Pertama, menurut Encik Ayani, imej Liga  adalah negatif di mata syarikat-syarikat terkemuka yang ada di negara ini. Mana tidaknya, setiap tahun pasti ada cerita pasukan yang tidak membayar gaji para pemain.

Akibatnya, para penaja yang berpotensi pastinya tidak akan mahu terpalit dalam episod yang tidak enak sebegini. Tambahan pula, pada pandangan penulis, para penyokong di negara ini masih kurang jelas dan faham tentang perbezaan antara penaja dan pemilik pasukan.

Jika pemain tidak dibayar gaji, penaja terus dilaknatkan mereka dengan andaian bahawa penaja tidak menghulurkan duit seperti yang dijanjikan!

Ini tidak patut tuan-tuan!

Encik Ayani juga ada membangkitkan isu tentang papan digital A-Board Liga Super di YouTube. Tidak ramai yang tahu dan perasan tentang nama-nama penaja pasukan yang dipamerkan di papan digital tersebut.

Puncanya adalah resolusi di papan digital tersebut yang tidak sesuai untuk penyiaran, dan hanya jelas jika dilihat mereka yang berada di dalam stadium sahaja.

Pasti ramai yang tidak sedar bahawa Hari Hari merupakan penaja Liga M.

Apabila kurangnya orang perasan, atau dengan kata lainnya – kurangnya pendedahan, adakah berbaloi untuk penaja menghabiskan wang berjuta setiap tahun, namun jenama mereka tidak mendapat perhatian ramai?

Selain itu, pegawai pasukan juga dipersoalkan sama ada pernah menghantar laporan atau tidak kepada penaja. Laporan di sini bermaksud bukan berkisar tentang prestasi pasukan semata-mata, tetapi nilai yang berjaya diperoleh oleh penaja sepanjang tempoh penajaan.

Nilai ini tidak semestinya dilihat kepada jumlah pendapatan penaja meningkat selepas program penajaan, tetapi ia juga termasuk brand awareness – adakah semakin ramai yang mengenali produk para penaja?

Pada zaman digital hari ini, brand awareness mungkin boleh dilihat pada laman media sosial syarikat terbabit. Jika semakin tinggi engagement, maka semakin tinggi juga lah awareness.

Lagi pula, menurut Encik Ayani, pasukan di Malaysia lebih berminat untuk melabur terhadap para pemain semata-mata, bukan mereka yang professional dan memiliki kepakaran dalam menaiktarafkan kantung pasukan.

Perkara ini memang jelas boleh dilihat di mana terdapat pasukan yang kita tahu tidak mempunyai kelompok penyokong yang ramai, tetapi masih mampu untuk menarik pemain bintang bermain bersama pasukan mereka.

Bila dah sebut pemain bintang, gaji pastinya tidak murah seperti pemain lain, ye dak?

Secara mudahnya, majoriti pasukan yang bertanding di Liga M lebih berminat dengan kejayaan jangka masa pendek berbanding perancangan jangka masa panjang.

Persoalannya, sampai bila? Sampai bila penyokong kena hadap isu yang sama setiap tahun?

Bila kita bangkitkan sesuatu masalah, pastinya masalah tersebut ada jalan penyelesaiannya.

Kita andaikan bahawa sesuatu pasukan di Liga M ini tidak mampu menarik sebarang penaja langsung, baik daripada syarikat B2C, kabel politik atau istana, maka secara automatiknya pasukan tersebut perlu bertindak mencari duit sendiri.

Coach Shazwan Wong, seorang pengurus besar di Little League Soccer Malaysia, telah ‘membocorkan rahsia’ bagaimana caranya untuk setiap pasukan di Liga M untuk menjana sekurang-kurangnya RM5 juta setahun.

Asalnya cadangan ini diberikan kepada pasukan Perak, tetapi idea ini sebenarnya praktikal dan boleh diguna pakai oleh majoriti pasukan yang bertanding di Liga M.

Memandangkan hampir setiap pasukan melakukan pemilihan setiap kali sebelum musim bermula, maka pasukan tersebut boleh meletakkan harga sekitar RM150 untuk setiap pemain yang berminat untuk bermain bersama pasukan mereka, dengan sasaran seramai 200 orang dan tiga kali sesi.

Satu sesi sahaja pasukan sudah dapat mengumpul dana sebanyak RM30,000 dan kalau tiga sesi? RM90,000 sudahpun berada di dalam kantung pasukan.

Tetapi pemilihan tersebut janganlah sekadar melepaskan batok di tangga, sebaliknya pemilihan yang dicadangkan oleh Coach Shazwan adalah berbentuk kem latihan tiga hari. Dalam kem tersebut pemain dinilai dari segi skill mereka, bagaimana mereka boleh menghadapi latihan ala-ala professional dan pada hari terakhir baru mereka dibenarkan bermain two-sides.

Dari sini para penilai bakat sudah pasti dapat melihat sikap dan kebolehan pemain yang berminat untuk mewakili pasukan mereka.

Selain itu, Coach Shazwan turut mencadangkan supaya pasukan mengadakan kem remaja selama tiga hari dengan bayaran sebanyak RM100 untuk setiap peserta. Dengan sasaran 200 orang peserta, pasukan sudah dapat menjana pendapatan sebanyak RM80,000!

Pasukan-pasukan di Eropah, baik gergasi atau kerdil, mereka sudah biasa dengan system tiket semusim. Bayangkan kelab seperti Manchester United, sebelum musim bermula sekurang-kurangnya separuh daripada stadium sudah diisi dengan pemegang tiket semusim.

Bagi peringkat Liga M, harga yang optimum boleh dicadangkan sekitar RM150 untuk satu tiket dengan sasaran 2000 peminat, maka di situ pasukan sudah ada RM300,000  dalam kantung – sebelum liga bermula!

Food truck boleh dikatakan sebagai satu trend penjual makanan pada hari ini, dan jika pasukan berjaya menarik sebanyak 100 food truck pada hari perlawanan dengan caj minima RM100 untuk setiap trak, maka RM3000 sudah berada dalam tangan.

Dengan 12 pasukan yang bertanding dalam liga, maka sekurang-kurangnya sebanyak 11 perlawanan akan dilangsungkan di laman sendiri dan dari situ RM33,000 sudah dapat dijana semusim. Itu belum termasuk perlawanan-perlawanan seperti Piala FA dan Piala Malaysia.

Selain food truck, pasukan juga boleh menjana pendapatan menerusi penjualan makanan dan minuman di dalam stadium. Jika satu perlawanan dapat menjana RM15,000 jualan, maka Rm165,000 sudah dapat dijana untuk sepanjang musim.

Apalah ertinya sebuah pasukan bola sepak tanpa penjualan jersi kepada para penyokong. Tak tahu apa silapnya di Liga M, banyak pasukan yang bagaikan buat tidak endah dengan penjualan jersi atau cenderamata pasukan.

Ada pasukan yang hanya memakai jersi baru selepas liga memasuki tiga perlawanan!

Menurut Coach Shazwan, jersi sepatutnya mula dijual kira-kira sekitar dua hingga tiga bulan sebelum liga bermula. Seandainya sebanyak 50,000 helai jersi terjual dengan kadar keuntungan RM30 untuk sehelai jersi, pasukan sudah mampu menjana RM1.5 juta sebelum liga bermula.

Pengalaman menonton sebagai VIP mungkin bukan satu perkara yang biasa di arena bola sepak Malaysia, tetapi tidak salah untuk diperkenalkan. Dengan sasaran seramai 500 penyokong pada kadar RM100 satu kepala dalam setiap perlawanan, RM50,000 sudah pasti dapat dijana.

Contoh menonton sebagai VIP adalah seperti mendapat tempat parkir yang disediakan, tempat duduk pula selesa dengan pendingin hawa dan peluang untuk sesi bergambar dan autograph bersama pemain. Siapa tak nak rasa macam ni, kan?

Dengan tujuh cadangan yang diberikan oleh Coach Shazwan, pasukan sudah mampu menjana sekitar RM2.7 juta dan nilai ini boleh dikembangkan lagi oleh pasukan sebagai pendapatan tahunan.

Untuk bulanan? Ada. Sabor.

Antaranya adalah penjualan makanan dan minuman yang menggunakan jenama pasukan seperti mana yang dilakukan oleh Terengganu FC. Dengan sasaran realistik RM10,000 jualan sebulan, sudah pasti kantung pastukan sekurang-kurangnya terisi.

Tambahan pula, bahagian ini jugalah yang boleh menguruskan penjualan makanan pada hari perlawanan di stadium, dan tidak perlu sub kepada pihak ketiga. Kan dah dapat untung untuk pasukan, tu?

FAS mendahului pasukan lain di Liga M apabila membuka pusat fisio pasukan kepada orang awam. Bayangkan jika seseorang penyokong pergi menjalani rawatan di pusat fisio tersebut, lalu bertemu dengan pemain yang sedang rehab, tak ke seronok rasanya tu? Sasaran pendapatan boleh diletakkan sekitar RM10,000 sebulan. Tak perlu tinggi sangat.

Memandangkan pemain di setiap pasukan turut melakukan latihan kecergasan dan kekuaran di gymnasium, maka elok juga kiranya keahlian gymnasium tersebut dibuka kepada orang awam. Jika para pemain mempunyai sesi latihan pada hari tertentu, maka sebahagian ruang boleh ditutup dan dikhaskan kepada mereka.

Dengan bayaran sebanyak RM80 sebulan kepada sekurang-kurangnya 200 ahli, senang-senang pasukan dapat jana RM16,000 sebulan. Kalau 500 orang? Kalau 1000?

Lagi pula, pasukan juga boleh mengadakan latihan buat remaja atau kanak-kanak, atau dengan kata lain latihan di peringkat akar umbi.

Dengan sasaran RM50 sebagai yuran bulanan bagi 200 pemain, maka RM10,000 sudah berada dalam tangan. Sekali sekala boleh jemput pemain pasukan utama yang memberikan latihan.

Selain itu, boleh gunakan sebahagian daripada ruang di gimnasium untuk digunakan oleh kanak-kanak, dan dihiasi dengan tema tertentu bagi menarik minat mereka.

Aktiviti yang boleh dilakukan pula adalah seperti membantu perkembangan fleksibiliti, kekuatan, kerja berpasukan dan juga mencerdaskan minda kanak-kanak. RM100 boleh dikatakan sebagai berpatutan untuk yuran bulanan dan mensasarkan seramai 100 keahlian, maka pasukan sudah mampu menambah lagi RM10,000 pada setiap bulan.

Penyokong pun rasa rapat dengan pasukan, tak gitu?

Bagi pasukan yang mempunyai padang latihan sendiri, mereka sebenarnya mampu menjana pendapatan pasukan dengan menyewakan kepada pasukan-pasukan atau liga amatur untuk dilangsungkan.

Bayangkan kalau satu malam sudah dapat menjana RM1000, kalau dalam tempoh sebulan tu penuh 30 malam padang disewa, sudah RM30,000 masuk ke kantung pasukan.

Semua pasukan ada laman media social, kan?

Apa kata pasukan gunakan laman tersebut sama ada Instagram, Twitter, Facebook atau Tik Tok untuk sesi reviu produk tertentu. Kalau letak harga RM100 untuk setiap reviu dan 50 reviu setiap bukan, RM5000 sudah pasti dapat dijana.

Itu kalau RM100, kalau RM250 satu reviu? Jika pasukan mampu menarik lebih ramai audiens ke laman social mereka, harga untuk reviu juga pastinya akan lebih meningkat.

Lagi pula, zaman sekarang adalah zaman konten. Jika pemain permainan atas talian mampu mengumpulkan peminat sehingga melanggan konten berbayar, apalah sangat perkara ini bagi sebuah pasukan bola sepak professional, kan?

Letak harga RM30 sebulan dan sasarkan sebanyak 10,000 pelanggan, sudah pasti RM300,000 sudah dapat dijana.

Itu belum kira lagi pendapatan daripada pendapatan pengiklanan oleh penyedia iklan seperti Google di YouTube dan juga Facebook.

Dengan kata lain, sangat mudah untuk pasukan menjana pendapatan di atas talian!

Daripada lapan perkaran tersebut, pasukan sudah mampu menjana RM391,000 sebulan, atau bersamaan dengan RM4.7 juta setahun!

Jika ditambah dengan pendapatan aktiviti untuk hasil tahunan, maka dengan mudah pasukan sudah dapat menjana RM7.4 juta setahun!

Itu belum termasuk dengan kutipan jualan tiket pada setiap perlawanan. Dengan modal yang ada, pastinya pasukan sudah boleh merangka perbelanjaan tahunan termasuk gaji pemain.

Dengan gaji pemain sudah mendapat jaminan, mereka juga pasti akan bersaing dengan lebih baik untuk mendapat tempat di dalam pasukan dan hasilnya, persembahan pasukan di atas padang juga akan bertambah baik.

Bila persembahan pasukan konsisten, maka penyokong pun tak putus dating ke stadium.

Nampak macam susah kan nak buat semua perkara yang dicadangkan di atas tu? Tapi tu lah, apa guna ramai-ramai pegawai dalam sesuatu pasukan tu, kan?

BACA:  Zahasmi Ismail - Penyelamat The Red Warriors?