Kenapa Perancis Muncul Juara Piala Dunia Terjawab

Sebaik tiupan wisel penamat, kelihatan air mata di mata beliau, disapunya air mata yang keluar dan kemudian beliau meluru ke padang, menggila, meraikan kemenangan bersejarah itu. Lantas dipeluk para pemainnya seorang demi seorang.

Kemudian para pemainnya berkumpul dan melontar beliau ke angkasa sebanyak 3 kali.

( Nasib baik tak sampai cybertron. Kalau tak kena luku la ngan Optimus Prime.)

Kelihatan betapa akrab dan hormatnya para pemain kepada sosok tubuh itu.

Itulah dia Didier Deschamps.

Bekas kapten Perancis yang menjulang Piala Dunia pada tahun 1998 dan setelah 20 tahun, kembali mendapatkan trofi bersejarah ini sebagai seorang pengurus.

Ini meletakkan nama beliau sebaris dengan Mario Zagallo dari Brazil dan Franc Beckenbauer dari Germany.

Di saat melihat Deschamps memegang trofi Piala Dunia, ambo teringat lagu Piala Dunia 1998 dulu.

Masih ingatkah?

La copa de la Vida atau The Cup of Life nyanyian Ricky Martin;

Here we go! Ale, Ale, Ale!
Go, go, go! Ale, Ale, Ale!
Tonight’s the night we’re gonna celebrate
The cup of life… Ale, Ale, Ale!

( lagu ni jauh lebih best daripada lagu Live It Up, lagu rasmi Piala Dunia tahun ni. Nasib baik tahun ni ada juga lagu komanda nyanyian Polina Gagarina ok sikit la kan)

Harga sebuah kegagalan

Kita tidak lupa, bagaimana Deschamps dan Perancis kalah di tangan Portugal dan Cristiano Ronaldo pada final Euro 2016 yang lalu.

Mereka sendiri masih pelik dengan kekalahan itu kerna mereka punyai semua kelebihan untuk menang, namun Portugal lebih bernasib baik.

Ketika itu, gambar yang paling popular adalah gambar Griezmann sedang menangis.

Bukan sedikit kritikan yang diterima mereka terutamanya Deschamps.

Kerna itu Deschamps mengatakan bahawa 9 orang daripada skuad beliau kali ini yang mempunyai pengalaman bermain di final euro 2016 itu perlu menggunakan pengalaman tersebut dengan baik.

Dan di antara perkara yang mereka pelajari adalah 3C iaitu calm, confidence and concentration.

Ketenangan. Keyakinan dan konsentrasi.

Itulah rupanya piala sebenar mereka. Sebuah pelajaran yang amat berguna. Walaupun perit menanggung kekalahan, namun lagi perit jika kita tidak belajar sesuatu darinya.

Jelas kelihatan semalam, walau diasak hebat oleh Croatia, Perancis tetap bermain dengan tenang dan tidak panik.

Cuma adalah sedikit peristiwa ” tebolah” Hugo Lloris yang mengingatkan kita kepada Karius dari Liverpool.

Apalah sejarah bolasepak tanpa Liverpool kan?

Sebab itu, janganlah pernah sesekali berasa menyesal dan teruk dengan apa yang pernah kita lalui. Suka atau tidak, itu semua adalah suatu proses pembelajaran buat kita sebagaimana kata Steve Jobs.

Kamu tidak akan pernah dapat menyambung titik kehidupan itu dengan melihat kedepan. Kamu hanya mampu menyambung titik titik itu apabila kamu melihat ke belakang. Kerna itu kamu wajib mempercayai titik kehidupan itu akan bersambung pada masa hadapan. Kamu harus percaya pada sesuatu. Samada naluri, taqdir, kehidupan, karma dan lain2.

Intuisi.

Selepas perlawanan semalam, Sol Campbell, bekas pemain England, mengatakan bahawa Deschamps adalah seorang pengurus amat berbakat. Beliau mampu menghidu kesalahan dan apa yang tidak kena pada pasukannya dengan cepat.

Bukan hanya itu, Deschamps juga punyai keberanian untuk memperbetulkan kesilapan itu dengan segera.

Beliau memberi contoh apabila Deschamps mengeluarkan Kante, seorang pemain berpengaruh yang menjadi tulang belakang Perancis.

Beliau mengambil keputusan ini selepas melihat fokus Kante telah terganggu selepas Kante menerima kad kuning. Ia keputusan sangat berani kerana kehilangan Kante sebenarnya boleh menjejaskan rentak pasukan.

Beliau menggantikan Kante dengan Steven Nzonzi dan ia berhasil. Nzonzi berjaya menjalankan tugas dengan baik.

Ini adalah sebuah keunikan seorang pemimpin berkaliber. Intuisi.

Ia perkara yang tidak boleh di ajar oleh mana-mana guru melainkan ia diperolehi melalui perit pedih pengalaman hidup.

Namun Einstein memberi amaran.

Intuisi tidak akan pernah datang kepada mana-mana minda yang tidak bersedia.

Buat kerja.

Isu Perkauman

Setelah Perancis menang, ramai pihak mengingatkan bahawa, Perancis menang kerana ada pelbagai etnik di dalamnya. Ada dari Arab, Afrika dan juga Perancis.

Mengurus sebuah pasukan seperti Perancis yang multi etnik bukan tugas mudah. Apatah lagi dengan pelbagai isu tentang imigran yang berlaku di Perancis ketika ini.

Sepanjang Piala Dunia, sebenarnya terdapat pelbagai rusuhan berlaku di Perancis berkait hak minoriti dan imigran.

Deschamps juga pernah dituduh racist oleh pengkritik terbesar beliau. The King Eric Cantona.

Eric Cantona, dalam satu video, pernah mengatakan bahawa Deschamps bukanlah seorang pengurus yang tepat bagi Perancis. Katanya kita memerlukan seorang yang ada visi seperti Zidane dan bukanlah seorang pragmatik seperti Deschamps.

Kata Cantona lagi, dengan tidak memilih Karim Benzema,itu telah menjadikan Deschamps seorang yang racist. Apatah lagi bila beliau memilih Giroud. Lagi la mendidih Cantona.

Deschamps mejawab tuduhan racist itu dengan saman.

Karim Benzema juga pernah berkata.

“Jika saya menjaringkan gol saya dianggap orang Perancis. Jika gagal, saya dipanggil imigran Arab.”

Memang agak tegang hubungan di antara kaum di sana.

Namun Deschamps tetap melaksanakan pelan beliau. Walaupun Giroud tak menjaringkan gol, Giroud melaksanakan tugas beliau dengan baik.

Ana tahu cara jadi tunggul kayu.

Ini yang dimahukan Deschamps. Seorang pemain yang boleh memberi apa saja yang beliau kehendaki, bukanlah pemain diva serta berlagak.

Bila senarai pemain beliau dipersoalkan kerna ramai pemain nama2 besar tidak terpilih, beliau hanya menjawab dengan mudah.

“Saya memilih bukan 23 orang pemain terbaik untuk Perancis, akan tetapi saya memilih 23 orang pemain yang boleh membentuk skuad terbaik.”

Sebaik beliau memilih mereka, beliau menjelaskan secara terperinci apa yang beliau kehendaki.

Hasilnya, kemenangan skuad ini menjadi penawar berharga buat Perancis. Ia menyatukan kembali sebahagian besar warga Perancis kalaupun tidak semua.

Inilah yang dibuktikan oleh Deschamps. Jika kerja itu telah menjadi suatu keghairahan buat kita, maka kita perlu fokus kepada kerja itu sebaik mungkin dan bukannya kpd sekian banyak kritikan yang dilemparkan.

Kerna itu Abraham Lincoln pernah menegaskan.

“Jika kita rasa kita ada hak untuk mengkritik sesiapa, kita juga perlu mengambil tanggungjawab untuk membantu mereka berkait hal itu.”

Tidaklah hanya dengan melempar batu tapi sembunyi tangan.

Sukan yang Menyatukan.

Tidak dinafikan bahawa bola bukan setakat boleh menyatukan Perancis bahkan boleh menyatukan seluruh dunia.

Namun agak menyedihkan apabila politikus yang ada gagal menjadikan sukan sebagai elemen penyatu kerna mereka punyai agenda masing-masing.

Apapun, jika niat politikus itu suci, maka sukan sememangnya boleh menyatukan sebagaimana yang telah dibuktikan oleh Nelson Mandela.

Ini ialah Morgan Freeman, bukan Nelson Mandela | Gambar : cnn.com

Nelson Mandela setelah 27 tahun berada di dalam penjara, keluar dan menjadi presiden Afrika Selatan pada 1994.

Beliau mencari-cari perkara yang boleh menyatukan rakyat beliau yang ketika itu masih terperangkap dengan dasar Apartheid. Pada satu hari beliau pergi menyaksikan perlawanan Springboks iaitu pasukan ragbi Afrika Selatan melawan England.

Di situ beliau terkejut melihat rakyat beliau yang berkulit hitam bersatu menyokong England bukannya negara sendiri.

Menyedari bahawa pada tahun berikutnya iaitu 1995, Afrika akan menjadi tuan rumah kepada kejohanan ragbi dunia, maka Nelson Mandela membuat keputusan drastik berjumpa kapten Springboks dan menyatakan dengan tegas bahawa sukan sepatutnya menyatukan.

Ia perlu bermula dengan Springboks. Pemain berkulit hitam dan putih akhirnya mampu bekerjasama dengan usaha Mandela.

Springboks pasukan yang tidak diletakkan apa2 harapan akhirnya berjaya mengalahkan kuasa besar ragbi dunia iaitu Australia dan New Zealand untuk menjadi juara.

Bahkan mereka juga berjaya menyatukan seluruh negara Afrika Selatan.

Ini digambarkan dengan jelas melalui filem Invictus.

Kata Mandela

“Jika mereka yakni rakyat boleh membenci dan diajar untuk membenci, maka mereka juga sebenarnya boleh mencintai dan diajar untuk saling menyayangi.”

Tekad dan semangat yang tidak pernah padam.

Semangat Croatia

Pemain Croatia sebelum ini, banyak dikritik oleh media England. Mereka mengatakan bahawa kebanyakan pemain Croatia kelihatan penat dalam kejohanan ini.

Luka Modric, kapten Croatia menjawab mudah.

“Kami bermain dengan hati kami bukan dengan kaki kami.”

Mereka membuktikannya di atas padang. Mereka menang melawan England dan memberikan sehabis baik ketika melawan Perancis semalam. Tidak sekalipun kelihatan mengalah hingga tiupan wisel di akhir permainan.

Luka Modric memenangi Bola Emas, bukan Telur Emas. | Gambr : standard.co.uk

Ketika Luka Modric berumur 6 tahun, datukya ditembak mati. Keluarga mereka menjadi pelarian dan hidup di dalam kawasan perang. Bunyi letupan dan senjata dah menjadi seakan irama dikir barat buatnya.

Ketika ingin bermain bola, jurulatih beliau mengatakan beliau tiada masa depan kerna beliau terlalu lemah dan sangat pemalu.

Malam tadi, beliau menjadi kapten mengemudi Croatia ke perlawanan Final pertama buat negaranya.

Bak kata sifu M Nasir dalam lagu Impian Anak Jalanan

Kau mampu patahkan sayapku
Kau mampu tambatkan kedua kakiku
Tapi kau tak akan dapat
Mematahkan semangatku untuk hidup

Keghairahan.

Barangkali ini adalah elemen penting yang kita dapat pelajari dari Piala Dunia.

Kita menyaksikan dengan jelas bagaimana keghairahan jurulatih dan pemain terhadap sukan ini menyebabkan mereka memberikan segala yang mereka ada untuk memastikan kemenangan milik mereka.

Sebagaimana kata Steve Jobs

“Kerja kita akan mengisi sebahagian besar hidup kita, justeru satu satunya cara untuk kita gembira ialah untuk melaksanakan kerja yang kita minati sebaik mungkin.Dan untuk melakukan ia sebaik mungkin, kita perlulah meminati serta mencintai apa yang kita lakukan. Selagi kita belum berjumpa dengan kerja sebegitu, jangan sesekali berhenti dan rasa selesai. Teruskan mencari. Kerna apa sahaja perkara yang berkait dengan hati, kita akan mengetahuinya sebaik sahaja kita berjumpa dengannya.”

Oleh itu, jika ada perkara yang membuatkan kita terasa hidup maka janganlah berfikir lama tentangnya. Teruskan saja berusaha melaksanakannya.

Jika ada insan yang senyumannya menangkap hati kita dan pandangan matanya membuatkan ruh kita tersedar dari lena, langkah ke depan dan cubalah.

The beatles mengungkap dengan cantik melalui Hey Jude

Hey Jude, don’t let me down
You have found her, now go and get her
Remember to let her into your heart
Then you can start to make it better

Sejarah mengajar kita, rasa malu kita untuk mencuba kerna sebuah kebimbangan adalah sebenarnya satu kesilapan.

Gagal mencuba ertinya kita mati. Mencuba tapi gagal sebaliknya akan menghidupkan kita. Membuka lembaran baru kehidupan kita.

Cuma beringatlah.

Dalam keghairahan menjadi manusia, jangan sesekali kita hilang nilai dan jati diri sebagai seorang hamba.

Tulisan asal adalah hasil nukilan Saudara Suzaime Zakaria, dan diolah mengikut selera tekak The Sukan

Baca Juga

Baca Juga