Kenapa Perlunya Gaji Siling Dalam Liga Bola Sepak di Malaysia?

Gaji siling kini menjadi sebutan di liga Malaysia, kenapa Perlunya gaji siling dalam liga bola sepak Malaysia? Kenapa tidak gaji lantai, dinding dan lain-lain?

Liga Malaysia 2021 boleh dikatakan memasuki era baharu pada tahun ini di mana semua pasukan yang bertanding didaftarkan sebagai kelab, bukan lagi sebagai FA.

Walaupun ada sebahagian pasukan hanya menyamar sebagai kelab, secara keseluruhannya dan teknikalnya semua pasukan dikira sebagai kelab swasta lah.

Kalau diikutkan, tahun 2021 ni pasukan Liga M boleh dikatakan sebagai professional sepenuhnya lah kan.

Memasuki era baharu tidak semestinya bermula terus dengan sempurna ada beberapa perkara yang kurang boleh lagi diperbaiki dari semasa ke semasa.

Siaran langsung, mutu pengadilan antara perkara yang menjadi isu namun masih ada ruang untuk diperbetulkan.

Namun jika bayaran kepada pemain masih lagi tersangkut-sangkut dan terjadi selepas baru saja sebulan liga bermula ini sangat padu.

Masalah Gaji Berterusan

Tetapi seperti biasa, acara tahunan Liga M tetap akan berlaku – masalah gaji. Setakat 6-7 perlawanan ni, sudah ada cerita pemain tidak dibayar gaji, seperti;

i. Pemain pasukan berjersi kuning tidak dibayar gaji selama 2 bulan, sehingga tonggak pertahanan mereka sudah mula mengintai pasukan lain.

ii. Pasukan dari Borneo ditakatan tidak membayar gaji selama 3 bulan sehingga membuatkan para pemain memboikot sesi latihan. Lebih teruk lagi, jurulatih dikatakan sudah tidak menerima gaji selama 4 bulan.

iii. Pasukan dari utara, meskipun berada di kedudukan yang baik dalam liga, turut berhutang gaji 2 bulan dengan pemainnya namun akhirnya diselesaikan oleh Menteri Besar negeri tersebut selaku presiden persatuan melalui penajaan yang masuk.

Itu cerita yang diketahui, cerita yang tak diketahui mungkin ada banyak lagi, kan?

Jadi, buat kesekian kalinya kami mencadangkan, untuk mengatasi masalah gaji ni, agar peraturan gaji siling diperkenalkan.

Kau jangan faham bayar gaji guna duit syiling pula. Itu gila.

Hak Penyiaran

Kalau kita tengok liga-liga besar di Eropah, terutamanya The Big 5 – EPL, La Liga, Serie A, Bundesliga dan Ligue 1, mungkin kita tak akan temui peraturan sebegini.

Hal ini kerana pasukan yang bertanding dalam liga Big 5 ini adalah pasukan yang kaya dan ada pendapatan yang stabil melalui jualan hak penyiaran perlawanan liga masing-masing.

Kita ambil contoh liga yang ada pasukan jersi merah yang selalu buat kelakar musim ini, EPL, jumlah keuntungan tahunan mereka adalah sekitar £636juta yang dibahagikan sama rata kepada setiap kelab yang bertanding.

Nilai Hak Penyiaran Setiap Musim

Itu baru pendapatan hak penyiaran, belum lagi hasil yang lain seperti jualan jersi, juga kedudukan liga dan sebagainya.

Andai musim tiada covid, jualan tiket di stadium juga mencecah jutaan Pound Sterling.

Tapi itu laj, EPL ni mungkin terlalu besar untuk dijadikan perbandingan. Maka kita lihat liga yang tidak berapa mendapat perhatian umum di seluruh dunia.

Liga Turki(Super Lig) – keuntungan kasar bagi hak penyiaran liga mereka adalah bernilai £393j, selama 6 tahun.

Nilai Hak Penyiaran Bagi Satu Perlawanan

Liga Brazil (Campeanato Serie A) – rekod keuntungan kasar mereka adalah £250j untuk penyiaran dari 2016 sehingga 2019.

Major League Soccer, Amerika – £71j untuk tempoh dari 2015 sehingga 2022.

Senarai liga dan keuntungan kasar melalui hak penyiaran boleh dilihat di sini.

Dahtu, kenapa nak cerita tentang keuntungan hak penyiaran pula? Apa kaitan dengan gaji siling?

Sabar. Tenangkan diri.

Apa kaitan Hak Penyiaran dengan gaji siling?

Data dan nilai tersebut adalah untuk menunjukkan bahawa liga-liga tersebut mempunyai keuntungan atas kertas yang tinggi, dan boleh dikatakan bahawa setiap musim kelab dalam liga yang bertanding pasti akan mendapat duit yang dikaut daripada keuntungan keseluruhan tersebut.

Dalam bahasa yang mudah, mereka adalah pasukan kaya dan tidak perlu risau untuk menggaji pemain dengan kemampuan yang tinggi.

Berbalik kepada Liga M pula, keuntungan melalui hak penyiaran ini kita belum nampak lagi dengan jelas.

Mungkin suatu ketika dahulu Astro pernah membeli hak penyiaran dengan nilai RM220 untuk tempoh 4 tahun dari 2011 sehingga 2014.

Dikhabarkan ketika itu Astro membayar RM30 juta setahun dan RM100 juta lagi dalam bentuk promosi selama 4 tahun. Meriah masa tu kan?

Akan tetapi selepas Astro, tidak dapat dipastikan berapa nilai keseluruhan hak penyiaran liga Malaysia.

Berbanding dengan pasukan di liga Brazil, Turki dan Amerika, pasukan-pasukan di Malaysia menghadapi situasi ‘uncertain’ tentang jumlah duit yang akan masuk daripada penganjur liga, kerana keuntungan daripada jualan hak penyiaran perlawanan adalah sangat-sangat rendah!

Maka pasukan yang bertanding di Liga M terpaksa bergantung sepenuhnya kepada pemilik, penaja, jualan tiket dan juga cenderamata.

Daripada kategori-kategori tersebut, faktor pemilik adalah senjata utama bagi pasukan untuk mendapatkan duit.

Sekiranya pemilik adalah golongan VVVVIP dan VVVVVVVVVVIP, maka banyaklah duit penajaan yang masuk daripada syarikat-syarikat swasta, syarikat kerajaan negeri, kontraktor yang mendapat projek di negeri tersebut, atau syarikat menjual barang konsumer.

Kalau pemilik pasukan adalah golongan bukan VVIP, maka sukar sekali untuk mendapatkan tajaan.

Nampak tak ‘uncertainty’ tu?

Kenapa Perlunya Gaji Siling

Kenapa perlunya gaji di siling di liga Malaysia? Liga Malaysia memerlukan gaji siling untuk mengawal perbelanjaan pasukan yang tiada duit, lepas tu tak bayar gagi.

Maka untuk membantu pasukan Liga M serabut kepala dalam menghadapi uncertainty tersebut, apa kata peraturan gaji siling diperkenalkan, atau dalam bahasa Inggerisnya – salary cap.

Gaji siling di sini bukan bermaksud gaji maksimum setiap pemain, tetapi lebih kepada had perbelajaan tahunan setiap pasukan.

Apabila diperkenalkan gaji maksimum, maka gaji minimum juga perlu dikuat-kuasakan sekali. Barulah ada keseimbangan di situ.

Contohnya A-League. Secara purata gaji minimum pemain bola sepak di liga tersebut adalah AUD3750. Cukup untuk bayar rumah dan Toyota Hilux setiap bulan tu.

Gaji Siling A-League

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut berkenaan teknikaliti dan syarat gaji siling, boleh baca di sini.

Kalau kita kaji, ada beberapa liga utama di dunia yang menggunakan peraturan gaji siling, antaranya ialah Major League Soccer di Amerika Syarikat, A-League di Australia dan juga Liga Super China.

Malah, kalau kita perhalusi lagi, peraturan gaji siling ini bukan sekadar digunapakai dalam bola sepak sahaja, malah di sukan lain yang lain juga di Amerika Syarikat.

National Football League – NFL, liga bola sepak Amerika atau dipanggil American Football, setiap tahun mencatat keuntungan bilion ringgit melalui hak penyiaran dan penajaan, namun masih mengekalkan peraturan gaji siling.

Sukan lain yang bernilai bilion ringgit seperti NBA dan Major League Baseball turut menggunapakai peraturan ini.

Kalau nak ikut logik, pasukan-pasukan yang dipanggil francais ini setiap tahun mencatat keuntungan ratusan juta ringgit, jadi tiada masalah buat mereka untuk menggaji pemain tanpa nilai yang terhad.

Tetapi bagi penganjur, demi keselamatan kewangan untuk jangka masa yang panjang, maka peraturan tersebut dikekalkan dengan nilai gaji siling dikaji setiap 2-3 musim.

Nampak tak?

Gaji Siling Mampu Mengawal Perbelanjaan Mengikut Kemampuan

Pasukan yang menjana keuntungan ratusan juta Ringgit setiap tahun pun masih lagi patuh kepada peraturan gaji siling ni. Kita yang jana ratusan Ringgit setiap tahun ni, tak nak ke ikut?

Lagi pula, dengan pelaksanaan gaji siling untuk setiap pasukan, boleh dikatakan persaingan di dalam pertandingan akan menjadi lebih sama rata dan tidak didominasi satu dua pasukan sahaja.

Kita ambil contoh A-League lagi. Dalam tempoh 10 tahun mutakhir, sebanyak 6 pasukan yang berjaya muncul sebagai juara.

Bagi MLS pula, 7 pasukan berjaya muncul pemenang MLS Cup sejak 2010 sehinggan 2020. Dalam NFL pula, 13 pasukan berlainan muncul juara Super Bowl sejak tahun 2000.

Tak rasa lebih meriah ke kalau macam ni?

Oleh sebab itu, penganjur liga kita dan para penyokong perlu sedar di mana kedudukan Liga M dalam peta bola sepak dunia, dan juga peta sukan dunia.

Kita bukanlah EPL yang ditayangkan di setiap negara di seluruh dunia. Kita juga bukan La Liga walaupun Barcelona dan Elche turut berentap dalam liga kita.

Cadangan gaji siling ini bukanlah bertujuan untuk menutup periuk nasi mana-mana pemain pun, akan tetapi lebih kepada untuk menjaga kewangan para pemain untuk jangka masa panjang.

Seorang hulubalang daripada pengajur liga kita ada menyebut jika peraturan gaji siling ini diperkenalkan, dikhuatiri pemain yang bagus tidak berminat untuk bermain di negara ini.

Baguslah!

Lagi ramai pemain kita merantau dan mencedok ilmu bola sepak di negara orang, kan?

Di Premier League walaupun tiada gaji siling tetapi mereka ada financial fair play (FFP) di mana setiap pasukan tidak dibenarkan berbelanja melebihi jumlah keuntungan yang dikaut oleh pasukan tersebut setiap musim.

Financial fair play (FFP) dibuat bagi mengawal perbelanjaan pasukan supaya tidak dibebani hutang dan demi kemandirian pasukan untuk masa depan.

Lihat apa terjadi kepada Portsmouth yang berbelanja sakan untuk mendapatkan pemain dan akhirnya menanggung hutang sebanyak £59,458,603 selepas ditolak segala aset yang bernilai.

Baca Juga

Baca Juga