Kenyataan ‘Poyo’ Grealish Buat Pep Ketawa Terbahak-bahak

Jack Grealish merampas microphone dari Riyad Mahrez ketika keraian kejuaraan Premier League Manchester City dengan beliau kemudiannya mengeluarkan kenyataan poyo yang membuatkan Pep Guardiola ketawa terbahak-bahak.

Walau kenyataan beliau bakal membuatkan Kyle Walker berasa menyampah, namun hal itu membuatkan Pep Guardiola rasa terhibur.

Manchester City telah dinobatkan sebagai juara saingan Premier League musim ini selepas kejayaan mereka menewaskan Aston Villa 3-2 pada aksi perlawanan terakhir saingan musim ini.

Hari ini, seluruh kem Man City turun ke jalanan untuk meraikan kejayaan mereka menjuarai saingan Premier League itu.

Selepas bersiar-siar di bandar Manchester, para pemain, barisan kejurulatihan dan staff kembali ke Etihad untuk sesi akhir perayaan mereka hari ini.

Riyad Mahrez ketika itu sedang bercakap tentang Kyle Walker dan turut bertanya kepada bintang England itu siapa yang pernah menewaskan beliau ketika berdepan situasi 1 lawan 1.

“Kylian Mbappe? Neymar?”

Soal Mahrez kepada Kyle Walker.

Mahrez kemudiannya menyebut nama Grealish namun belum sempat beliau meneruskan perbicaraannya bintang England itu segera merampas microphone dan menyatakan:

“Saya ketika masih bersama Aston Villa, dan kerana itulah Pep menandatangani saya.”

Jelas Grealish menjawab persoalan dari Riyad Mahrez itu.

Kamera kemudiannya merakam reaksi Pep Guardiola bersama barisan kejurulatihannya yang ketawa terbahak-bahak mendengar jawapan dari Jack Grealish itu.

Para peminat tertarik dengan jawapan dan keyakinan yang ditunjukkan oleh Jack Grealish itu dengan mereka hangat membincangkan hal itu di media sosial.

“Walau dia tak ada sumbangan besar, tapi dia meraikan kejayaan City seolah-olah dia punca City juara.”

“City menandatangani Jack Grealish sememangnya hanya untuk berpesta, itu sahaja peranan dia dan nampaknya dia berjaya jalankan tugas dia dengan sempurna.”

“Selama ini saya mencari jawapan kenapa Man City menandatangani dia, hari ini saya dah dapat jawapan. Di sini lah sebenarnya tempat untuk Jack Grealish menyerlah.”

“Mahal hiburan yang Man City perlu bayar, mereka keluarkan £100 juta untuk badut dari Aston Villa ini.”

“Keyakinan dia memang menakjubkan, adakah dia di bawah pengaruh alkohol? Atau memang dia benar-benar maksudkan hal itu?”

Tidak dinafikan lagi yang Jack Grealish sememangnya benar-benar menikmati perayaan tersebut dengan beliau naik ke pentas turut membawa vodka dan Coca-Cola di tangannya.

Ketika berada di atas bas, beliau bahkan turut menganjing rakan sepasukannya, Bernardo Silva.

Bernardo Silva telah dikeluarkan ketika Man City sedang ketinggalan 2-0 di tangan Aston Villa dan sebaik beliau keluar, Man City berjaya melakukan comeback.

IIkay Gundogan yang masuk menggantikan Bernardo Silva berjaya menjaringkan dua gol seterusnya menjadi wira kebangkitan City menewaskan Aston Villa dalam perlawanan tersebut.

Dua gol jaringan Gundogan dan satu gol jaringan Rodri sudah cukup untuk mengesahkan kejayaan City memenangi gelaran Premier League keempat mereka dalam tempoh lima tahun terakhir ini.

“Saya dah kata awal tadi, ia merupakan satu perasaan yang sangat hebat untuk memenangi Piala pertama saya. Saya mahu ucapkan terima kasih kepada semua orang. Tapi yang paling utama, saya mahu ucapkan terima kasih kepada Bernardo Silva kerana keluar pada minit ke-70 permainan.”

Jack Grealish menyertai Manchester City dari kelab kesayangannya, Aston Villa dengan yuran perpindahan bernilai £100 juta pada musim panas lalu.

Beliau sepertinya masih gagal untuk menyesuaikan diri dengan sistem Man City dan jelas sekali beliau masih gagal untuk mendapatkan tahap persembahan terbaiknya pada ketika ini.

Beliau merupakan nadi penting ketika beraksi bersama Aston Villa, namun hal sama tak berlaku di Etihad dan para peminat sangat berharap beliau akan mampu buktikan kemampuan sebenarnya selepas ini.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Grealish Sudah Hampir Pasti Sertai City Dengan Yuran Perpindahan Bernilai £100 Juta