Keputusan Berani Ruben Amorim Beri Kemenangan Penting Buat United

Manchester United Mara ke Pusingan Kelima Piala FA Dengan Kemenangan Dramatik

Manchester United sekali lagi mencipta detik dramatik dalam kempen Piala FA 2024-25. Selepas menang penentuan penalti menentang Arsenal pada pusingan ketiga, mereka menewaskan Leicester City 2-1 dengan gol kemenangan pada minit ke-93.

Gol itu mungkin offside tetapi United tetap melangkah ke pusingan kelima dengan gaya klasik “Fergie Time”. Malah ia dilakukan di hadapan Sir Alex Ferguson. United hampir kalah dengan cara yang memalukan tetapi mereka berjaya mengubah kepada kemenangan penuh emosi.

Namun, sebelum semua itu, satu keputusan taktikal Ruben Amorim telah mencuri tumpuan. Amorim meletakkan Patrick Dorgu di posisi sayap kanan.


Keputusan Taktikal Amorim Yang Mengejutkan Ramai

Pada musim lalu United mengalami masalah di bahagian kiri kerana mereka tidak mempuanyai pemain berkaki kiri yang boleh bermain di posisi bek kiri atau sayap kiri. Ia menyebabkan pasukan sukar mengekalkan lebar serangan dan menghasilkan hantaran lintang dari sebelah kiri.

Kehilangan Lisandro Martinez kerana kecederaan ACL dan pemulihan Luke Shaw agak lambat menambah keperluan mendesak untuk United membeli pemain pertahanan berkaki kiri. Disebabkan masalah itu United telah membelanjakan £25.2 juta untuk mendapatkan Dorgu dari Lecce pada jendela perpindahan Januari.

Akhirnya, Amorim mengejutkan ramai apabila meletakkan Dorgu di posisi bek sayap kanan ketika menentang Leicester.


Penampilan Sulung Yang Menjanjikan

Amorim menjelaskan bahawa Dorgu pernah bermain di kedua-dua sisi ketika di Lecce.

“Pada awalnya dia sedikit gementar kerana ini liga yang berbeza dengan tempo lebih pantas tetapi dia bermain dengan baik,” kata Amorim.

Dalam penampilan sulungnya selama 45 minit, Dorgu bekerjasama dengan Amad Diallo dan membantu pertahanan dengan baik. Dia dikeluarkan pada separuh masa, digantikan oleh Alejandro Garnacho. Amorim tidak menjelaskan sebab pertukaran itu tetapi memberi bayangan Dorgu mungkin akan terus digunakan di posisi kanan.


Masalah Yang Masih Wujud Dalam Pasukan

Walaupun menang United masih bergelut dengan beberapa masalah:

  • Mereka kerap memindahkan bola perlahan-lahan antara bek sayap dan pertahanan dalam corak berbentuk ‘tapal kuda’.
  • Pemain tengah sukar mengawal dan membawa bola ke zon serangan.
  • Rasmus Hojlund kurang mendapat hantaran berkualiti di kawasan gol lawan.

Pada minit ke-42, ketika Bobby De Cordova-Reid menjaringkan gol untuk Leicester, United sekali lagi kelihatan akan tewas di Old Trafford.


Perubahan Yang Mengubah Permainan

Amorim melakukan beberapa perubahan taktikal untuk mengatasi masalah ini:

  • Noussair Mazraoui diletakkan sebagai pertahanan tengah sebelah kiri sebelum digantikan oleh Leny Yoro pada babak kedua.
  • Joshua Zirkzee dimasukkan menggantikan Kobbie Mainoo untuk membantu menghubungkan permainan dan bersaing dalam perebutan bola tinggi.
  • Garnacho yang menggantikan Dorgu, membawa impak besar dalam serangan.

Garnacho beberapa kali mencipta peluang, walaupun dia membuat keputusan kurang tepat ketika memilih untuk melakukan percubaan di near post berbanding menghantar bola kepada Hojlund.

Gol penyamaan Zirkzee pada minit ke-68 menghidupkan semula harapan United. Kemudian, Bruno Fernandes dan Harry Maguire memainkan peranan penting dalam gol kemenangan yang kontroversi tetapi dikira oleh pengadil.


Amorim: Masih Banyak Yang Perlu Diperbaiki

Selepas perlawanan itu Amorim mengakui walaupun pasukannya menang tetapi prestasi belum memuaskan.

“Hari ini, yang penting adalah kemenangan. Pemain menunjukkan semangat juang lebih tinggi di separuh masa kedua. Namun masih banyak yang perlu diperbaiki,” katanya.

United perlu mencari kestabilan dan konsistensi untuk mencapai tahap lebih baik. Walaupun perjalanan masih panjang, kemenangan dramatik ini sekurang-kurangnya memberi keyakinan kepada pasukan dan penyokong.

Artikel asal dari Carl Anka

BACA:  Apa Yang Membuatkan Jadon Sancho Istimewa