Kerajaan Luluskan Penjualan Chelsea RM23.42 Bilion Kepada Todd Boehly

Kerajaan United Kingdom (UK) telah meluluskan penjualan kelab bola sepak London, Chelsea dengan nilai £4.25 bilion bersamaan RM23.42 Bilion duit Malaysia kepada orang konsortium yang dikepalai jutawan Amerika Syarikat Todd Boehly.

Penjualan Chelsea kepada pemilik baru agak memakan masa lantaran campur tangan kerajaan dan selepas sebulan rundingan berjalan, perjanjian akhirnya telah diluluskan.

Ini kerana pihak kerajaan telah memperoleh jaminan yang sah bahawa Roman Abramovich yang kini semua asetnya di UK telah dibekukan tidak akan mendapat sebarang keuntungan dari penjualan ini.

Hasil dari penjualan ini akan dibekukan dalam akaun bank di UK sehingga kerajaan mendapat jaminan bahawa wang itu akan digunakan untuk membantu misi kemanusian di Ukraine.

Proses penjualan Chelsea ini sangat dilindungi dan rumit dan tidak pernah terjadi lagi sebelum ini apabila kerajaan campur tangan dan menjadi broker jualan kelab bola sepak.

EKoran dari kelulusan ini pihak kerajaan telah mengeluarkan satu kenyataan:

“Langkah hari ini akan menjamin masa depan aset budaya penting ini dan melindungi peminat dan komuniti bola sepak dengan lebih luas. Kami telah berbincang dengan rakan kongsi antarabangsa yang berkaitan untuk mendapatkan lesen yang diperlukan dan kami mengucapkan terima kasih atas semua kerjasama mereka.”

Roman Abramovich telah membeli Chelsea pada tahun 2003 dan terus membawa kegemilangan ke kelab London itu dengan merasai semua kejuaraan yang mereka tandingi.

Pada 2 Mac 2022, Roman Abramovich tiada pilihan selain menjual Chelsea kerana pemilikkannya digantung selepas seminggu Vladimir Putin melancarkan serangan dan menceroboh Ukraine.

Sejak Abramovich disekat, Chelsea tidak dapat menjual atau menandatangani pemain atau menawarkan kontrak baharu tetapi setelah pengambilalihan selesai sekatan tersebut akan ditarik balik.

Khabar angin bertiup kencang jika Chelsea gagal memuktamadkan penjualan sebelum musim baru bermula, mungkin mereka akan kehilangan slot Champions League dan Arsenal akan menjadi pengganti.

Namun dengan kelulusan penjualan ini dan kerajaan UK mendapat jaminan yang mereka mahukan maka harapan Arsenal ke Champions League hanya tinggal harapan.

Pengambilalihan ini akan menamatkan pemilikan penuh gemilang Roman Abramovich selama 19 tahun yang telah memenangi segala pertandingan yang disertai mereka di atas uka bumi ini.

Liga Perdana Inggeris, Piala Liga, Piala FA, Liga Europa, Liga Juara-Juara UEFA dan juga Piala Dunia Kelab FIFA – kesemuanya telah dibawa pulang di bawah pemilikan Abramovich.

Walaupun firma pelaburan California, Clearlake Capital akan mengambil alih pegangan saham majoriti, Todd Boely akan menjadi pemilik yang akan mengawal kelab.

Tawaran Encik Boehly akan menyaksikan hak mengundi dikongsi sama rata antara beliau dan Clearlake Capital, sebuah firma ekuiti persendirian California.

Clearlake Capital yang tidak mempunyai sejarah pemilikan secara langsung dalam aset sukan utama akan memiliki majoriti saham dalam Chelsea.

Kumpulan itu dinasihati oleh Goldman Sachs dan Robey Warshaw, di mana bekas canselor – dan peminat Chelsea – George Osborne, kini bekerja sebagai rakan kongsi.

Todd Boehly adalah seorang peminat sukan yang sangat tegar dan telah memiliki saham dalam pasukan yang bermain di Liga Utama Besbol, Los Angeles Dddgers serta pasukan NBA, LA Lakers.

Ahli perniagaan yang menubuhkan, pengerusi dan CEO Eldridge Industries dilaporkan mempunyai kekayaan sekitar £4.72 billion, pernah menghantar dua bidaan untuk mendapatkan Chelsea pada tahun 2019.

Maka tidak hairanlah kenapa Clearlake Capital yang tiada pengalaman dalam pemilikan aset sukan bersetuju untuk Todd Boehly mengemudi hala tuju pasukan Chelsea.

Dilaporkan pemilik baru telah merancang untuk melabur sebanyak £1.75 bilion (RM9.64 bilion) ke dalam kelab, meletakkan nilai pengambilalihan keseluruhan pada £4.25 bilion.

BACA:  Pochettino: Hanya Soal Masa Chelsea Akan Keluar Dari Hutan Tebal